Sunday, 27 May 2018

Pengaruh teks Sejarah Melayu kepada teks sastera Sejarah yang lain seperti Hikayat Melayu, Tuhfat al-Nafis dan lain-lain. Pengaruh ini boleh dilihat seperti berikut:-


a.      HIKAYAT MELAYU.
Siapakah yang Mengarang Hikayat Melayu?

·         Hikayat Melayu ini telah ditulis oleh Tengku Said.

·     Hikayat Melayu ini telah disalin semula oleh Muhammad Nuruddin Acheh dan nama Tengku Said sebagai orang yang menyurat Hikayat Melayu ini telah diletakkan oleh penyalinnya. Hikayat Melayu ini telah siap disalin oleh Muhammad Nuruddin Acheh pada”sebelas bulan Zulhijah, kepada hari Sabtu. Tamat pada Sanat 1310, di Betawi.”
  •      Tengku Said disebut sebagai anak Raja Akil dan masih kuat memegang kepada kepercayaan mitos bahawa beliau adalah “pancaran Sultan Iskandar Zulkarnain”.
  •         Menurut Muhammad Yusoft Hashim (1992:76), petikan ini juga menunjukkan bahawa Tengku Said adalah seorang penulis (penyurat) diraja bagi pihak Raja Akil dalam urusan persuratan rasmi.
  •        Menurutnya lagi, bagaimanapun “anak” di sini menimbulkan kekeliruan . Pada bahagian yang lain, Hikayat Melayu menyebut bahawa suatu ketika Raja Akil menikahkan seorang anakanda yang bernama Tengku Said dengan Tengku Irang binti Yamtuan Muda Siak. Akan tetapi, Tengku Said di sini adalah putera Tengku Deris dan cucu Tengku Abdullah iaitu Raja Kampar yang bergelar Tengku Panglima Besar (Hikayat Melayu, 1998: 579). Oleh sebab Tengku Deris adalah saudara sepupu Raja Akil, maka bererti Tengku Said adalah anak saudara Raja Akil. Namun Hikayat Melayu menyebutnya sebagai “anakanda Tengku Said” sahaja apabila Raja Akil memeperkenalkannya kepada pihak-pihak tertentu.

Bilakah Teks ini Dikarang dan Mengapa?
·         Hikayat Melayu ini dikarang pada tahun 1855, kira-kira enam tahun setelah Raja Akil mangkat (1849) iaitu abad ke-19.
·         Hikayat Melayu ditulis atas perintah (Tuan Fandarwola) atau Von de Wall (penolong Residen di sukadana pada masa itu).
·         Beliau seorang tokoh asing, pegawai serta peminat bahasa dan kesusateraan  Nusantara, yang muncul daripada kalangan masyarakat Eropah iaitu Belanda, yang selama ini menjadi “sahabat karib” Tengku Akil.
·         Lazimnya, teks sastera sejarah ditulis atas perintah raja atau pemerintah, tetapi Hkayat Melayu ditulis atas perintah penjajah.
·         Walaupun begitu, ia masih mengekalkan tradisi mengangkat golongan pemerintah.
·         Pada abad ke-19, terdapat banyak teks yang lahir dengan pengarangnya menyalin semula Sejarah Melayu pada bahagian awal mukadimahnya.
·         Teks yang lahir pada masa ini masih lagi terikat dengan konvensi, di mana teks-teks yang lahir perlu merujuk teks induk sebagai pengabsahan teks yang baharu.
·         Pandangan Muhammad Yusoff Hashim (1992: 68) tentang Hikayat Melayu wajar teliti. Menurutnya, Hikayat Melayu mengandungi naratif tentang riwayat Raja Kecil yang memperjudikan nasibnya dalam pergelutan politik dengan kuasa Melayu yang menjadi musuhnya, iaitu keluarga Bugis, terdiri daripada tokoh Bugis lima beradik, Daheng Parani, Daheng Menambun, Daheng Marewah, Daheng Calak , dan Daheng Kemasi.

b.      TUHFAT AL-NAFIS.
Siapakah yang Mengarang Tuhfat al-Nafis?

Raja Ali Haji merupakan individu yang berperanan besar dalam mengarang teks Tuhfat al-Nafis. Namun begitu, terdapat juga pendapat yang mengatakan teks ini merupakan sebuah teks yang dikarang bersama oleh Raja Ali Haji dengan ayahnya, iaitu Raja Ahmad.

            Raja Ali Haji merupakan anak kepada Raja Ahmad (Raja Ali Haji bin Raja Ahmad) yang dikaitkan dalam teks ini. Raja Ahmad atau Engku Haji dilahirkan pada tahun 1778 dan mangkat pada 1878, sementara Raja Ali Haji dilahirkan pada tahun 1804 dan mangkat lebih awal daripada ayahnya, iaitu pada tahun 1872. Raja Ahmad, iaitu ayah kepada Raja Ali Haji merupakan anak kepada Raja Haji (Marhum mangkat di Ketapang, Melaka) yang merupakan Yang Dipertua Muda Keempat Johor-Riau. Manakala, Raja Haji pula merupakan anak kepada Daeng Celak bin Daeng Relaka (Yang Dipertua Muda Kedua Johor Riau) daripada keluarga Bugis di Sulawesi, iaitu tempat asal Opu Bugis Lima Bersaudara.

            Raja Ali Haji juga merupakan seorang intelektual terkenal di penghujung abad ke-19. Kecemerlangan Raja Ali Haji dalam dunia intelektual berkat karya-karya dan perjuangan dalam mencerdaskan masyarakatnya. Karya-karyanya tidak hanya terbatas pada Gurindam Dua Belas, sebagai sebuah karya sastera yang sangat terkenal, tetapi turut meliputi pelbagai bidang seperti agama, sejarah, bahasa dan budaya Melayu.

            Selain daripada faktor keturunan yang mempengaruhi Raja Ali Haji lebih pro Bugis, faktor latar belakang hidupnya juga banyak mempengaruhi beliau. Beliau telah dibesarkan di istana Riau, pernah menjawat beberapa jawatan penting kerajaan seperti penasihat raja-raja Riau, menjadi pakar undang-undang, guru agama dan hakim di Riau. Justeru itu, berdasarkan latar belakang keturunan dan kehidupan Raja Ali Haji, jelaslah menunjukkan beliau mempunyai hubungan atau pertalian darah yang amat kuat dengan Opu Bugis lima bersaudara dan yang dikaitkan dengan keturunan Raja Bugis di Sulawesi.

            Salah satu karya besar Raja Ali Haji dalam bidang sejarah ialah Tuhfat Al-Nafis. Karya ini merupakan karya sejarah yang terpenting setelah Sejarah Melayu, karya Tun Sri Lanang, Bendahara Kerajaan Melaka. Virginia Matheson menyebut karya Raja Ali Haji ini sebagai catatan abadi tentang kerajaan Johor-Riau. Menurut Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid, tidaklah sempurna bagi seseorang sejarawan yang menulis sejarah negeri Melayu, terutama Johor, Riau dan Selangor, jika tidak merujuk pada karya ini.

             Dalam karya Tuhfat Al-Nafis, beliau lebih cenderung dengan suku kaum Bugis. Hal ini bertepatan dengan apa yang dikatakan oleh Arba’iyah Moham Nor, iaitu beliau mengatakan tema Tuhfat Al-Nafis dikatakan lebih tertumpu kepada cerita raja-raja dan rakyat Bugis atau boleh dianggap sebagai Bugis Centric. Beliau juga sedaya upaya menjadikan Tuhfat Al-Nafis sebagai alat untuk mempertahan kedudukan suku Bugis dalam kesultanan Melayu terutama Johor.

Bilakah Teks ini Dikarang dan Mengapa?
            Tuhfat al-Nafis dikarang disebabkan pengarangnya mempunyai sentimen pro Bugis. Tema Tuhfat Al-Nafis lebih cenderung kepada cerita-cerita raja dan masyarakat Bugis atau lebih dianggap sebagai Bugis centrisc. Hal ini dapat dilihat apabila pengarang bersifat antagonis terhadap suku kaum Melayu dan suku kaum Minangkabau. Pengarang sebenarnya mempunyai hubung kait dengan kaum Bugis. Dalam hal ini, pengarang merupakan keturunan daripada Yang Dipertua Kedua, iaitu Opu Daeng Celak. Selain itu, pengarang juga memberi anggapan yang negatif terhadap kaum Melayu.

Syahadan apabila dilihat oleh sesetengah suku-suku sebelah Melayu hal yang demikian itu, maka terbakarlah hatinya oleh api hasad yang tertanam di dalam hatinya.”

            Pengarang sebenarnya ingin mempengaruhi pembaca dengan memasukkan elemen-elemen positif tentang Bugis dan menyebelahi Bugis. Kredibiliti pengarang boleh dipertikaikan kerana pengarang lebih condong terhadap kaumnya sendiri.

            Selain itu, pengarang cuba menaikkan imej Opu Bugis Lima Bersaudara. Hal ini dapat dilihat apabila pengarang cuba mempengaruhi pembaca mengenai kehandalan pahlawan Bugis. Kecondongan Raja Ali Haji terhadap semangat Bugis yang sememangnya handal dalam peperangan sehingga mereka dapat memegang beberapa jawatan tinggi dalam tampuk pemerintahan kerajaan Melayu Johor pada ketika itu. Dalam penulisan Tuhfat Al-Nafis, pengarang cuba menyatakan bahawa setiap kali campur tangan, Opu Bugis Lima Bersaudara berjaya menyelesaikan masalah perebutan takhta antara dua pihak yang bersengketa. Sebagai contoh, pengarang ada menceritakan Opu Bugis Lima Bersaudara membantu Sultan Muhammad Zainuddin untuk mendapatkan takhta pemerintahan kerajaan Matan yang sebelum ini dikuasai oleh Pangeran Agung.

            Pada awal teks ini lagi, kita dapat meneliti betapa biasanya Raja Ali Haji dalam mengarang Tuhfat Al-Nafis. Ini dapat dibuktikan dengan caranya mengungkap hal-hal yang berkaitan dengan Raja Kecil dan Opu Bugis Lima Bersaudara. Seperti yang diketahui umum, Raja Kecil merupakan musuh utama kepada Opu Bugis Lima Bersaudara. Oleh sebab itu, kita dapati bahawa Raja Ali Haji seboleh mungkin memberi gambaran yang negatif terhadap Raja Kecil. Perkara ini dapat diteliti melalui bahagian-bahagian yang diperihalkan oleh Raja Ali Haji dalam teks ini, misalnya:

Adalah  Encik Pong itu dipakai memeng oleh baginda itu, telah bunting memeng, konon. Waktu baginda mangkat, orang-orang tengah bergadukan hal baginda. Maka Encik Pong dilarikan oleh Panglima Bebas, dibawahnya ke Pagar Ruyung, kepada puteri Janilan, lalu Encik Pong beranak di situ, iaitu laki-laki...”
           
 Jika dilihat secara sepintas lalu, sememangnya petikan di atas tidak banyak memberi kesan yang negatif kepada Raja Kecil. Maka dengan itu, kita dapati untuk mencapai motifnya, Raja Ali Haji cuba memberi gambaran seterusnya tentang asal-usul Raja Kecil dalam situasi yang lebih buruk. Oleh itu, dalam teks ini beliau menyebut:

“Tatkala baginda mangkat, zakarnya berdiri. Maka tidak ada orang yang berani menanam baginda itu. Maka mesyuaratlah segala menteri apa sebab pekerjaan itu, sangat ajaib. Maka kata daripada isi istana: Adalah baginda tengah berahikan Encik Pong itu, maka baginda itu pun mangkat. Maka takbir segala menterinya (yang) baginda itu takut tiada meninggalkan anak cucu yang bangsa daripadanya. Maka disuruhnya orang besar-besar itu akan Encik Pong itu setubuh dengan baginda itu konon, pada ketika itu. Maka apabila selesai baharulah rebah zakar baginda itu. Maka Encik Pong pun buntinglah konon.”

Dalam masa yang sama, kecenderungan Raja Ali Haji dapat dilihat dengan jelas, apabila beliau memerihalkan latar belakang Opu Bugis Lima Bersaudara. Keadaan ini bertujuan memberi gambaran kepada para pembaca bahawa Opu Bugis  berasal daripada keturunan yang baik-baik berbanding dengan Raja Kecil. Dengan cara ini Raja Ali Haji berharap para pembaca akan memberi persepsi yang positif kepada kaum Bugis. Maka tidak hairanlah, perihal-perihal yang baik-baik sahaja diberikan kepada Opu Bugis Lima Bersaudara dalam Tuhfat al-Nafis. Contohnya:

“Adalah puteranya (Tendari Burung Daeng Ralaka) yang lima orang itu baik-baik belaka parasnya, serta dengan sikap pahlawannya. Akan tetapi Opu Daeng Celak yang tersangat baik parasnya, memberi ghairah hati perempuan-perempuan memandangnya...”

            Seterusnya, dalam menceritakan peristiwa perjanjian antara Bugis dengan Minangkabau untuk menyerang Johor-Riau, Raja Ali Haji juga telah memberi satu tafsiran atau gambaran yang berpihak kepada pihak Bugis. Beliau telah mengeksploitasi peristiwa ini untuk memberi kesan yang baik kepada Bugis. Hal ini demikian kerana, apabila kita melihat Hikayat Siak, sememangnya hikayat ini telah memberi kesan yang buruk kepada Opu Bugis Lima Bersaudara. Justeru itu, dalam memerihalkan semula peristiwa tersebut, Raja Ali Haji telah menggunakan peristiwa ini untuk menunjukkan bahawa pihak Raja Kecillah yang bersalah dalam peristiwa ini. Raja Ali Haji mengatakan (berdasarkan teks), Raja Kecillah yang sebenarnya telah berjumpa dengan Opu Bugis Lima Bersaudara untuk melanggar Johor. Akan tetapi, pihak Bugis telah menolak pelawaan tersebut kerana pada fikiran mereka, itu adalah tipu dan muslihat Raja Kecil sahaja. Justeru itu, Raja Ali Haji mengungkapkan dalam teks ini:


“Syahadan di dalam tengah-tengah bersiap akan alat peperangan itu maka Opu Bugis yang berlima beradik itu pun tibalah ke Bengkalis datang daripada mengembara. Maka berjumpalah ia dengan Raja Kecil. Maka Raja Kecil pun mengajaklah ia melanggar negeri Johor, maka tiada ia mahu. Maka didalihkannya hendak ke Langat dahulu, mencari muafakat dengan Bugis yang di Langat itu. Maka tiadalah jadi bantu membantu itu.”


            Di dalam episod bantuan Bugis kepada Johor-Riau untuk mengalahkan Raja Kecil, Raja Ali Haji telah menyebut kisah ini agar ianya berpihak kepada Bugis. Maka berkatalah ia:


“Maka menjawablah Opu Dahing Parani, ‘Seperti saya semua adik-beradik sama saja yang patut kepada hati baginda Sultan Sulaiman saya terimalah, akan tetapi yang saya seorang, tiada saya mahu jadi raja kerana saya ini yang tua sekali, tiada lain hanyalah mencari ketetapan saudara saya yang berempat ini.’ Maka menjawab pula Opu Dahing Menambu, ‘Saya ini tiada sanggup menjadi Yang Dipertua Muda di tanah barat ini, kerana saya sudah berjanji dengan Sultan Mantan akan memelihara akan negeri Mempawa, tiadalah saya mahu mengecilkan hati mertua saya itu.’ Maka menjawablah Dahing Celak , ‘Saya ini selagi ada abang saya ini, iaitu Kelana Jaya Putera, tiada saya mahu menjadi Yang Dipertua Muda.’ Maka menjawablah Opu Dahing Kemasi, ‘Adapun saya ini tada berhajat menjadi Yang Dipertua Muda di tanah barat kerana jauh amat dengan Bugis, bersalahan  jikalau seperti di Mantan dan Sambas itu mana kemuafakatan abang-abang sayalah.’ Menjawab pula Kelana Jaya Putera, ‘Adapun saya jikalau bercerai dengan saudara-saudara saya, tiada saya mahu menjawab Yang Dipertua Muda di tanah barat ini.’ Demikianlah kata sekalian Opu-opu Bugis itu.”
            Dengan melihat petikan di atas, Raja Ali Haji telah sedaya upaya cuba memberi satu gambaran yang baik kepada Opu Bugis Lima Bersaudara berhubung dengan kedatangan mereka ke Johor khasnya dan Tanah Melayu, umumnya. Lantaran itu, tidak hairanlah apabila Raja Ali Haji mengarang satu bentuk petikan yang menunjukkan bahawa Opu Bugis Lima Bersaudara bukannya gilakan atau mahukan kuasa. Sebaliknya ianya telah diberi sukarela oleh Sultan Sulaiman.
            Seterusnya, pengarang cuba menyatakan bahawa suku kaum Melayu ada menyimpan perasaan dengki terhadap kaum Bugis yang dikatakan rapat dan baik dengan Sultan Sulaiman. Pengarang cuba mempengaruhi pembaca dengan menyatakan kaum Melayu tidak baik dan tidak menyebelahi mereka secara halus melalui penulisannya. Hal ini dapat dibuktikan apabila pengarang menyatakan kaum Melayu termasuk Raja Terengganu dikatakan membuat fitnah terhadap kaum Bugis untuk menghalau mereka daripada terus tinggal di Johor-Riau. Pada hakikatnya, Bugis mempunyai agendanya yang tersendiri. Mereka bukanlah golongan yang berpengaruh seperti yang disangkakan. Oleh itu, pengarang menerapkan sentimen kebugisan kerana pengarang sendiri berketurunan Bugis.
            Walaupun, penulisan Tuhfat Al-Nafis mempunyai kecondongan tetapi berdasarkan penulisan pengarang, terdapat juga keobjektifan dalam Tuhfat Al-Nafis. Hal ini dapat dilihat apabila penulis menghuraikan tarikh yang tepat bagi segala peristiwa kelahiran, kemangkatan dan pertabalan. Ini adalah keobjektifan yang sebenar. Pengarang juga ada menghuraikan tentang tarikh kemangkatan Sultan Mahmud.
“Syahadan apabila baginda itu mangkat maka segala orang-orang besar negeri Johor pun mengangkatlah akan Datuk Bendahara menjadi Raja Johor. Adalah mangkatnya pada Hijrah sanat 1111 pada bulan Safar, hari Jumaat dan menggantikan kerajaanlah Bendahara Tun Habib, pada delapan hari bulan Rabiul Awal, hari Khamis, waktu loha dan Raja Sulaiman pun lahir ke dunia pada waktu itu.”

            Oleh hal yang demikian, jelas menunjukkan pengarang menggunakan sumber yang benar dalam penulisannya tanpa condong kepada mana-mana pihak. Selain daripada sistem pentarikhan, penggunaan ‘aku’ dalam penulisan pengarang adalah objektif. Hal ini demikian kerana, pengarang berada ditempat kejadian dan mengalami sendiri kejadian tersebut. Di samping itu, ia menunjukkan peristiwa itu berlaku di depan mata pengarang sendiri. Situasi ini dapat dilihat apabila pengarang sendiri menyatakan:


Demikianlah khabar dari orang tua entahkah apa ertinya aku pun tak tahu. Wallahua’lam mana-mana aku lihat dan aku dengar dan aku lihat dalam sejarah itulah yang aku suratkan.”
Begitulah yang digambarkan oleh penulis tentang kejadian yang berlaku ketika pengarang berada di tempat kejadian.

c.       HIKAYAT SIAK.
Cerita dalam Hikayat Siak menceritakan kisah Raja Kecil yang semasa kecil dipanggil Tuan Bujang. Raja Kecil merupakan anak Sultan Mahmud (Sultan Abdul Jalil Syah) yang memerintah Johor Lama. Sultan Mahmud lebih dikenali sebagai Raja Mangkat Dijulan( Marhum Mangkat Dijulang ). Makam baginda masih ada di kampung Makam Kota Tinggi dan diwartakan sebagai lokasi sejarah negeri Johor. Sultan Mahmud dipercayai merupakan raja dari keturunan Sultan Mahmud dari Kesultanan Melayu Melaka yang tewas diserang Portugis. Sultan Mahmud dari Kesultanan Melayu Melaka telah melarikan diri ke Kampar , Sumatera dan berkahwin dengan seorang anak raja di sana. Baginda dikurniakan dua orang anak lelaki. Seorang anaknya berhijrah ke Perak membuka kerajaan di sana dan seorang lagi berhijrah ke Johor Lama (Kota Tinggi) Johor dan membina sebuah negara di panggil Kerajaan Johor. Pemerintahan Johor dari keturunan Kesultanan Melayu Melaka, sampai kepada Marhum Mangkat Dijulang. Baginda berkahwin dengan orang kebanyakan iaitu Encik Pung. Encik Apung dikatakan telah hamil akibat tertelan manikam Sultan Abdul Jalin Syah. Baginda mangkat kerana dibunuh oleh Laksamananya sendiri iaitu Megat Seri Rama. Megat Seri Rama bertindak sedemikian kerana isterinya telah dihukum mati kerana memakan seulas nangka yang ingin dipersembahkan kepada sultan. Hal ini telah menyebabkan MSR bertindak dengan membunuh sultan. Pada ketika itu, Encik Pung sedang mengandungkan Tuan Bujang (Raja Kecil). Sultan Mahmud Mangkat Dijulang tidak mempunyai anak dengan permaisurinya ,( tiada anak gahara) Setelah Marhum Mangkat Dijulang mangkat, Encik Pung berjanji tidak akan menuntut takhta kerajaan Johor daripada Bendahara yang diberi kuasa memerintah kerana Marhum Mangkat Dijulang tiada zuriat daripada anak gahara. Setelah melahirkan Raja Kecil , Bendahara amat khuatir Encik Pung akan menuntut takhta. Menyedari keselamatan Raja Kecil dalam bahaya, Encik Pung menyerahkan Raja Kecil kepada Temenggung Muar. Akan tetapi ketika Raja Kecil berusia 6 tahun, beliau dibawa berjumpa ibunya tetapi kedatangannya dapat dikesan oleh Bendahara. Menyedari keselamatannya terancam, Raja Kecil dibawa lari oleh Raja Negara Selat melalui pertolongan Nakhoda ke Palembang dan akhirnya dibawa ke Pagaruyung dan bertemu dengan kaum keluarganya dan dipelihara oleh Puteri Jilan iaitu keluarga Raja Kecil yang berpangkat nenek kepada Raja Kecil. Baginda dibesarkan dengan nama Tuan Bujang. Tuan bujang telah berkahwin dengan anak Dipati Batu Kucing. Selain itu, berdasarkan niat Puteri Jilan beliau ingin berperang dengan Johor untuk tujuan membalas dendam diatas kematian ayahandanya serta merampas kembali takhta kerajaan Johor yang sememangnya milik beliau. Setelah sampai di Johor, Raja Kecil (Tuan Bujang) mendakwa kepada penduduk Johor bahawa beliau merupakan anak kepada Marhum Mangkat Dijulang. Tetapi ternyata mereka tidak mempercayai kata-kata beliau melainkan beliau dapat membuktikan kebenaran daulatnya sebagai putera Marhum Mangkat Dijulang. Namun setelah beliau berjaya membuktikan daulatnya, akhirnya seluruh rakyat Johor berpuas hati. Beliau segera dilantik menjadi Yang Dipertuan Johor, bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah. Semasa beliau menjadi Yang Dipertuan Johor, beliau telah berkahwin dengan anak Bendahara iaitu Tengku Kamariah, walaupun sebenarnya baginda telah pun mengikat tali pertunangan dengan kakanda kepada Tengku Kamariah iaitu Tengku Tengah.

Selain itu, Tengku Tengah turut menyimpan dendam yang sama terhadap YDPJ kerana malu baginda telah berkahwin dengan adindanya walaupun mereka telah bertunang. Tengku Tengah telah meminta bantuan daripada Raja Sulaiman untuk membalas segala dendamnya terhadap YDPJ. Mereka telah berkomplot dengan Daheng Parani dan bertindak untuk menculik Tengku Kamariah dan mencetuskan peperangan. Hal ini, telah menyebabkan YDPJ melarikan diri ke Riau. Daheng Parani pun datang menyerang Riau. Pada masa yang sama di Kedah, telah berlaku perbalahan diantara dua orang putera raja, untuk merebut pucuk pemerintahan. Anak yang tua telah meminta bantuan dari Daheng Parani, manakala adindanya telah meminta bantuan dari Yang Dipertuan Siak, Raja Kecil. Hal ini telah menyebabkan berlakunya peperangan yang berlarutan diantara Daheng Parani dengan Yang Dipertuan Johor atau Siak iaitu Raja Kecil. Peperangan ini berlaku selama dua tahun dan diakhiri dengan kematian tragsis Daheng Parani, dan adinda Raja Kedah telah berjaya menaiki takhta. Tengku Kamariah telah meninggal dunia dan telah menyebabkan Raja Kecil jadi tidak siuman. Takhta kerajaan telah digantikan oleh anakanda baginda iaitu Raja Alam. Namun, telah berlaku perebutan takhta kerajaan di antara Raja Alam dengan adindanya Tengku Mahmud. Akhirnya, Tengku Mahmud iaitu (anak yang gahara) menjadi raja kerana dibantu oleh bapa saudaranya iaitu Raja Sulaiman.

Sultan Mahmud Syah telah berangkat ke Riau dan semua puteranya ditinggalkan di Siak. Di Riau tersebar cerita mengenai pembunuhan Tengku Akil menyebabkan yang telah Sultan Mahmud Syah murka lalu telah berbincang dengan bapa saudaranya, Raja Sulaiman untuk menyerang Siak. Hal ini telah diketahui oleh Raja Alam iaitu saudara Sultan Mahmud Syah. Tengku Muhammad Ali, Putera Raja Alam telah berkahwin dengan puteri sulung Sultan Mahmud Syah. Telah berlaku peperangan antara Raja Alam dengan Sultan Mahmud Syah, akhirnya Raja Alam dapat dikalahkan dan Sultan Mahmud Syah berjaya berkerajaan di Siak. Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah, Kompeni Belanda telah datang ke Siak dan meminta kebenaran untuk membina loji perniagaan di Pulau Gontong. Semasa Belanda tinggal di Siak mereka telah melakukan perbuatan yang tidak elok pada gadis-gadis di kampung.  Hal ini telah menyebabkan, SMS bertindak menyerang Melaka. Kemudiannya baginda melancarkan serangan ke atas Siak dan berjaya mengusir Belanda dari Siak serta berjaya membunuhfetor Belanda di situ.
Semasa Raja Alam memerintah di Siantan, beliau telah diserang oleh Raja Sulaiman dari Riau. Dalam peperangan tersebut Raja Alam telah bertindak dengan meminta bantuan dari Siak. Tetapi, SMS tidak ingin ,menghulurkan bantuan kepada Raja Alam, baginda menasihatinya supaya berundur sahaja dari Siantan. Kemudian, SMS pun mangkat, takhtanya telah diganti pula oleh puteranya iaitu Tengku Ismail. Ketika itu, Raja Alam telah berpakat dengan Belanda untuk menyerang Siak. Peperangan ini telah mengambil masa selama enam bulan lamanya. Dalm perang tersebut Siak telah berjaya dikalahkan. Setelah kalah, Yang Dipertuan Siak telah berundur ke Tambelan. Pada masa yang sama, Riau telah dikuasai oleh Daheng Kemboja iaitu orang yang berasal dari puak Bugis yang ingin menghapuskan jurai keturunan raja yang berasal dari orang Melayu.  Hal demikian telah menyebabkan Temenggung Johor meminta bantuan dari Terengganu dan Pahang. Raja Siak telah berangkat ke Tambelan dan Kelantan dan bersetuju untuk menyerang Bugis. Peperangan telah meletus di antara oatan Bugis dengan orang Siak yang diketuai oleh Tengku Abdullah dan Tengkau Abdul Rahman. Dalam peperangan tersebut Siak telah dikalahkan lagi. Kemudian, YDS telah berlayar ke Buantan, Mampura, Retih, Kuala Jambi dan akhirnya baginda tinggal di Palembang. YDS telah menolak permintaan Raja Haji untuk menyerang Palembang dan juga menolak permintaan Sultan Jambi untuk menyerang loji Belanda. Tetapi, YDS berhasrat ingin menyerang Mempawah. Mempawah dapat dikalahkan dan putera-putera Raja Siak bermohon diri untuk meneruskan perjalanan ke Terengganu. YDS (Raja Ismail) telah berkahwin dengan puteri Yamtuan Terengganu, di Terengganu.  Semasa berlakunya peperangan antara Kelantan dan Terengganu, orang Siak telah membantu Terengganu di dalam peperangan tersebut. Akhirnya Terengganu telah berjaya mengalahkan Kelantan. Mereka telah merajakan Tengku Muhammad. 

Sultan Ahmad Abdul Jalil Syah (Raja Ismail) telah pun mangkat lalu diganti oleh Tengku Sulung. Belanda pula cuba untuk menyerang Riau tetapi tidak berjaya. Mereka pun kembali ke Melaka. Raja Haji ingin menyearng balas tetapi tidak jadi keran Belanda di Melaka merupakan sahabat Riau. Raja Haji telah meninggal dunia dan telah diganti oleh Raja Ali, sebagai Yamtuan Muda Riau. Yamtuan Muda Ali pergi ke Melaka merancang untuk menyerang Selangor, bersama Sayyid Ali. Selangor telah dapat dikalahkan lalu dilantiknya Sayyid Ali sebagai Yamtuan Selangor. Kemudian Yamtuan Muhammad Ali kembali ke Siak.Berlaku banyak peperangan yang dilancarkan oleh Sayyid Ali. Sayyid Ali bertindak dengan menyerang Senggora dan Terengganu kerana ingin mempertahankan Siak daripada diserang oleh mereka. Namun, kedua-dua pihak ini dapat didamaikan oleh Yamtuan Lingga. Pada masa yang sama juga, Sayyid Abdul Rahman telah berjaya mengalahkan Simpang seterusnya mengajak Sayyid Ali melanggar Sambas. Selain itu, di Kuala Cerucuk Sayyid Ali berperang dengan Ki Agus Serbudin dan berjaya mengalahkannya. Kemudian dengan bantuan Sayyid Abdul Rahman dan orang Pontianak Sayyid Ali Sambas, tetapi ramai panglima Sayyid Ali mati dan mereka berundur ke Pontianak dan Tambelan. Yamtuan Muhammad Ali telah membenarkan Sayyid Ali melanggar Pertapahan dan berjaya. Tetapi, kemudiannya Bendahara Pertapahan telah meminta bantuan dan akhirnya Sayyid Ali kalah. Yamtuan Muda berasa malu dan menyuruh Sayyid Ali menyerang lagi. Kemudian mereka berdamai.

Berikutnya, Tengku Abdullah kembali ke Kampar dan mengisahkan pengalamannya semasa berada di Bulang, kepada Yamtuan Muda Siak, iaitu Tengku Ibrahim. Beliau kemudiannya membenarkan Tengku Abdullah pergi dengan janji bahawa Tengku Ibrahim akan menanti Tengku Tua di Palembang.  Yamtuan Siak, Tengku Muhammad Ali, gering dan mangkat lalu dikebumikan di Pekan Baru. Sayyid Ali mengatakan bahawa dia Cuma mahu berpindah dari Bukit Batu. Yamtuan Muda Siak tidak percaya lalu mengarahkan orang membina kubu. Dengan tipu helahnya, Sayyid Ali dapat mempengaruhi Yang Dipertuan Besar, dan kemudiannya bercadang menyerang Kampar. Yamtuan Muda cuba menghalang. Tengku Besar yang baru sedar akan kesilapannya meminta bantuan perahu dan tentera dari Lingga. Dengan bantuan Lingga dan juga Kampar, Tengku Tua mengetuai pasukan Siak, memerangi pasukan Sayyid Ali, yang akhirnya kalah dan terpaksa berundur ke Siak. Setelah Kampar kalah, pembesar-pembesar dan kerabat raja semuanya berundur ke Inderagiri. Yamtuan Muda meminta meriam dan ini membawa kepada permusuhan dan pertentangan di anatara Yamtuan Muda dengan Tuan Besar, yang akhirnya berjaya dibunuh. Orang-orang Dayak turut menentang Yamtuan Muda, sultan Pontianak menyuruh orang mencari jenazahYamtuan Muda dan beberapa orang lagi, berundur ke hutan. Kemudian Yamtuan Muda bertemu lanun dan berjaya memperdayakan mereka.

Anak-anak perahu Panglima Senang mengenali Yamtuan Muda dan memeberitahu Panglima Senang yang akhirnya mengambil Yamtuan Muda. Lanun marah. Ini menyebabkan Panglima Senang mengisahkan hal yang sebenarnya mengenai Yamtuan Muda. Panglima Senang belayar untuk bertemu dengan ayahandanya dan akhirnya beliau menetap di Belitung. Tengku Akil juga belayar ke beberapa tempat untuk berdagang. Di Pulau Ara, beliau telah memberikan afiun (candu) kepada Panglima Raja lalu berlayar pula ke Lingga. Dia juga membawa Tengku Kecik Muda dan Tengku Sulung Muda untuk menemui Yamtuan Sambas. Setahun kemudian, Tengku Akil belayar ke Tambelan bersama Tengku Simbok untuk bertemu ayahandanya, Tengku Mahmud. Seterusnya, bersama-sama dengan Tengku Mahmud, Tengku Akil belayar pula ke Karimata dan Kotaringin. Setelah mendapat bekalan makanan, Tengku Akil belayar pula ke Bawal, kemudian pergi ke Belitung untuk mendapatkan Tengku Muhammad Tahak dan akhirnya kembali ke Lingga. Panglima Raja hendak melanggar Cerucuk.  Adipati pula meminta bantuan dari Tengku Akil. Dengan bantuan Tengku Muhammad Tahak, Panglima Raja dikalahkan. Seterusnya, Encik Wan Muhammad pula hendak melanggar Mapar. Sultan Lingga menghantar bantuan dan mengalahkan Encik Wan Muhammad. Tengku Akil kemudiannya membantu Kornel Raffles membawa Raden Keling menemui Mejar Robson kerana kesalahannya menjual tanah kepada orang Pontianak. Mejar Robson dan Adipati Belitung berangkat ke Muntok dengan dikuti oleh Tengku Akil, Raden Keling dan kapitan (nakhoda) kapal. Apabila tiba di Pulau Kalamambang, Tengku Akil menyuruh mereka berlabuh dan memerintahkan Raden Keling agar turun ke darat dan mudik Sungai Cerucuk, untuk pergi ke Tabualih bersama kapitan kapal. 

Akhirnya, dengan bantuan anak Raja Minangkabau, Adipati Belitung berjaya dibunuh. Dalam pada itu, orang Belanda kembali ke tanah Jawa. Mejar Kot dan Tengku Ali berangkat ke Betawi untuk berunding dengan Belanda, tentang pemulangan tanah Belitung.  Jeneral Van der Capellan meminta supaya hal ini dirujuk kepada Residen Inggeris di Muntok. Tengku Akil menemui residen dan berbicara dengannya. Idelir Menteng datang dari Batawi, dan disambut dengan tembakan meriam. Tengku Akil berkunjung ke rumah Idelir Menteng, membawa surat Pangeran Karmadiraja. Tengku Akil pun memberitahu Karma, yang beliau disuruh oleh Idelir Menteng melihat kapal, sekiranya sudah sampai. Selepas itu, Idelir Menteng menyuruh lagi pergi ke Songsang. Idelir Menteng mangajak Tengku Akil berangkat ke Palembang dan didapati bahawa Tengku Simbok sudah berada di sana. Pada suatu malam, berlaku kebakaran ketika Tengku Akil sedang menonton wayang, Lantas, beliau dimarahi oleh Idelir Menteng. Diperolehi khabar bahawa pasukan Inggeris sudah menghilir. Oleh itu, Idelir Menteng mengumpulkan orang-orangnya dan pengeran-pengeran untuk berjaga-jaga. Belanda ingin berkompromi dengan Inggeris supaya peperangan dapat dielakkan. Idelir Menteng mudik ke Hulu Muara Beliti untuk menemui Inggeris. Tengku Akil dan Tengku Said dijemput oleh orang Minangkabau, melawat negeri mereka. Beberapa ketika berada di Selangit sampai berita bahawa Raja Pagaruyung ditangkap oleh Belanda, lalu Tengku Akil pergi menemui Idelir Menteng di Beliti. Dewasa itu, Idelir Menteng telah menahan seorang Minangkabau. Tetapi tindakan tersebut tidak disukai oleh Tengku Akil, demi untuk memelihara hubungan antara mereka. Justeru itu, bersama putera-puteranya, Tengku Said, Panglima Perang dan anak Raja Minangkabau, mereka pun belayar ke Selangit.

Selepas itu, kedengaran pula berita, bahawa orang-orang Minangkabau telah menyerang Idelir Menteng, di Beliti. Serangan itu dihentikan dengan kemunculan Tengku Akil. Selepas itu, Tengku Akil, Tengku Said dan Idelir Menteng berangkat ke Muara Beliti. Di sana, Pangeran Semangun telah membawa 300 orang askar, dengan niat hendak menipu. Tetapi, hal ini disedari oleh Tengku Akil dan beliau telah menasihat Idelir Menteng supaya jangan menerima tawaran Pangeran Semangun. Idelir Menteng dan pengikutnya pergi pula ke Musi. Di Kuala Rawas dengan bantuan Tengku Akil, dia berjaya menawan Benteng. Kemudian, dia ke hilir, lalu bertemu Tengku Simbok, Tengku Celak dan Tengku Mansor. Mereka juga berjumpa bidar yang membawa surat sultan, untuk diberi kepada seorang orang hulu, supaya membunuh Holanda, dan memaksa Idelir mengadap sultan. Hal ini menyebabkan berlakunya peperangan. Pada awalnya, putera sultan, iaitu Pengeran Ratu, mencapai kemenangan. Tetapi, kerana bantuan Tengku Simbok dan seldadu Belanda, akhirnya Palembang ditewaskan. Peperangan terus berlaku di antara Belanda, yang dibantu oleh Tengku Akil, dengan saudara-saudaranya di Lingga, Palembang dan Pulau Beringin.
Belanda menaikkan gaji Tengku Akil dan para pengikutnya. Tentangan diberikan oleh orang-orang Selat Lipar dan Tabualih di bawah pimpinan Raden Keling. Belanda berjaya mengalahkan Palembang dan membawa sultannya ke Betawi. Kesannya, ialah perdagangan bertambah maju di Palembang dan di Pulau Bangka. Selepas itu, berlaku pula beberapa siri peperangan di Puntianak. Belanda terpaksa membina benteng di Sambas. Akhirnya, Belanda berjaya menawan Karimata dan Kayung. Raja Akil yang menetap di Sikudana, dijadikan Panembahan dan kemudian diangkat menjadi sultan lalu digelar Sultan Abdul Jalil Syah. Di antara yang berpindah ke Sekudana ialah Encik Yahya bersama-sama 30 orang-orangnya, termasuklah Khatib Uban, Tengku Seha, Tengku Anum dan Kyai Sampit. Pangeran Mangkurat, Pangeran Wira Kesuma dan Pangeran Cakra juga datang menetap di Sikudana. Oleh sebab Raja-raja di Matan enggan mengikut perintah Sultan Abdul Jalil Syah, maka sultan mencadangkan, agar mereka mengadap saja Van den Bosch, di Betawi. Akhirnya, Raja-raja Matan bersetuju mengikut perintah Sultan Sikudana. Kemudian negeri Matan enggan memberikan hasil Kayung kepada Sultan Abdul Jalil. Residen Puntianak pula tidak mempedulikan sultan. Sementara itu, sultan menyuruh Tengku Besar pergi ke Betawi, untuk memulangkan kontrak. Kemudian, sultan bertemu dengan Jeneral dan Tuan Merkus. Tuan Merkus kemudiannya menjadi Gabenor Jeneral Betawi. Istana Sultan Abdul Jalil Syah dipanah halilintar. Menyebabkan harta binasa dan banyak nyawa terkorban. Sultan meminta bantuan residen untuk mendirikan istana yang baru. Beberapa tahun kemudian, baginda mangkat dan digantikan oleh puteranya, Tengku Anum, yang menaiki takhta kerajaan dengan gelaran Panembahan Anum Sikudana. Adinda baginda pula, Tengku Panglima Besar, dijadikan ketua di Pulau Karimata.


d.      BUSTANUS SALATIN.

Siapakah yang Mengarang Bustanus Salatin, Bilakah Teks ini Dikarang dan Mengapa?

Kitab Bustanus Salatin karya ulama Aceh yang ulung iaitu Nuruddin al-Raniri, ditulis khusus bagi menegakkan hak Iskandar Thani, Sultan Aceh pada abad ke-17, untuk memerintah kerajaankerajaan Melayu di Johor, Pahang dan Perak, berdasarkan pertalian darah yang langsung daripada keturunan Bukit Siguntang (Noriah Taslim, 2006).  Nuruddin al-Raniri merupakan seorang ulama, pengarang, ahli Sufi dan ahli sejarah yang berasal dari Rander, Gujarat, India. Beliau tiba di Aceh sekitar tahun 1637 dan seterusnya berkhidmat di bawah naungan Sultan Iskandar Thani (1636-1641). Keilmuan Nuruddin al-Raniri dapat dikesan melalui sejumlah kira-kira 30 buah kitab yang telah dihasilkannya meliputi bidang fekah, sejarah dan perbincangan tentang persoalan tasawuf, sama ada ditulis dalam bahasa Arab ataupun bahasa Melayu. Antara kitab yang utama ialah Sirat al-Mustaqim (1634-1644), Durrat al-Fara'id bi Sharh al- `Aqa'id (1635), Hidayat al-Habib fi al-Targhib wa al-Tarhib (1635), Bustan al-Salatin (1638), Asrar al-Insan fi Ma'rifat al-Ruh wa al-Rahman (1640-1644), Tibyan fi Ma'rifat al-Adyan (1642-1644), Jawahir al-`Ulum ft Kasyf al-Ma'lum (1642-1644), Hujjat al-Shiddiq li Daf'i al-Zindiq (1638-1641) dan Al-Fath al-Mubin `ala al-Mulhidin (1657). Kajian-kajian yang telah dilakukan oleh para sarjana mendapati Nuruddin al-Raniri adalah pengamal tarekat Rifa'iyya dan Qadiriyya.' Sementara itu, kajian oleh A.H. 1 Rujuk Syed Muhammad Naguib (1966) dan Azyumardi Azra (1992).26 / Jurnal Filologi Melayu, Jilid 13, 2005 Johns (1955: 70-77) pula merumuskan, sebelum kedatangan Nuruddin al-Raniri ke Aceh, beliau telah kuat terpengaruh dengan perjuangan Syeikh Ahmad Sirhindi (1563-1624) di India. Di India ketika itu, telah berlaku polemik yang hebat terhadap fahamanWandat al-Wujud yang ditentang keras oleh Syeikh Ahmad Sirhindi yang berpegang kepada Wandat al-Shuhud. Polemik tersebut berterusan hingga zaman pemerintahan Shah Jahan (1627-1658), yakni, dalam tempoh masa yang hampir sama dengan tarikh kedatangan Nuruddin al-Raniri ke Aceh. Besar kemungkinan polemik kesufian dan keintelektualan yang berlaku di India telah memberi pengaruh kepada tindakan keras Nuruddin al-Raniri menentang ajaran Wujudiyyah pegangan Hamzah Fansuri dan Syamsuddin al-Sumaterani semasa beliau berada di Aceh.2

Dalam tulisan ini, penulis tidak berhasrat untuk membicarakan polemik pemikiran yang telah berlaku antara Nuruddin al-Raniri dengan pegangan Wujudiyyah Hamzah Fansuri dan Syamsuddin al-Sumaterani. Walau bagaimanapun, perlu disebut bahawa Nuruddin al-Raniri merupakan ulama yang pertama kali menekankan peri pentingnya masyarakat Aceh/Melayu bersikap dan berfikiran kritis terhadap amalan kerohanian, suatu bentuk pemikiran yang baru dalam masyarakat Melayu masa itu. Malahan, kritikan Nuruddin al-Raniri terhadap Wujudiyyah sudah pun disuarakan dalam karyanya yang pertama, Sirat al-Mustakim, yakni, sebuah kitab khusus yang membicarakan persoalan ilmu fikah.3 Nuruddin al-Raniri dipercayai telah pulang ke India pada tahun 1644 sewaktu perbahasan tentang Wujudiyyah semakin memuncak di Aceh ketika itu .'Menurut Syed Muhammad Naguib al-Attas (1986: 12), Nuruddin al-Raniri meninggal dunia di India pada 22 Zulhijjah 1068 / 21 September 1658.

Tajuk lengkap Bustan al-Salatin sebagaimana tercatat dalam manuskrip Raffles Malay 8 (halaman 4) ialah: 5 "Wa sammaituhu Bustan al-Salatin fi Dhikr al-Awwalin wa al-Akhirin. Dan dinamai fakir kitab ini Bustan al-salatin, ertinya, kebun segala raja-raja, dan menyatakan permulaan segala kejadian dan kesudahannya." Penulisan teks tersebut adalah atas titah perintah Sultan Iskandar Thani dan merupakan hasil kompilasi Nuruddin al-Raniri daripada beberapa sumber rujukan kitab-kitab Arab dan beberapa buah teks Melayu seperti Taj al-Salatin, Hikayat Aceh, Hikayat Iskandar Zulkarnain dan Sejarah Melayu.6 Isi kandungan teks, khususnya berdasarkan manuskrip Raffles Malay 8, terdiri daripada tujuh bab dan terbahagi kepada enam puluh fasal seperti berikut:
·      
Keterangan lanjut tentang asal-usul Nuruddin al-Raniri, sejarah kedatangannya ke Tanah Melayu dan peranannya di Aceh,serta senarai lebih kurang tiga puluh buah kitab tulisannya dalam bahasa Melayu dan Arab dapat dirujuk dalam Syed Muhammad Naguib al-Attas (1986: 25-28).Dalam Sirat al-Mustaqim, terdapat kritikan Nuruddin al-Raniri terhadap pengikut Wujudiyyah yang dikatakannya sebagai mulhid dan melarang masyarakat mengamalkannya (rujuk Sirat al-Mustaqim di bahagian sisi Sabil al-Muhtadin, halaman 212).
·         
Maklumat tentang perkara ini diperolehi melalui kajian seorang sarjana Jepun bernama Ito (1978: 489-491) yang telah menemui sebuah catatan diari seorang pegawai Belanda yang berada di Aceh ketika itu bernama Peter Sourij. Di dalam diarinya, Peter Sourij mencatatkan akan kehadiran seorang ulama baru yang berasal dari Minangkabau bernama Saifulrijal,yang telah berjaya mengumpulkan pengikut-pengikut Wujudiyyah dan seterusnya melancarkan serangan balas terhadap hujah-hujah Nuruddin al-Raniri dalam beberapa siri perdebatan di istana. Nuruddin al-Raniri akhirnya terpaksa meninggalkan Aceh untuk pulang ke tanahaimya.
·        
 Manuskrip Raffles Malay 8 kini tersimpan di Royal Asiatic Society, London.(Raffles Malay 8: halaman 3): "Dan kemudian dari itu pada tujuh haribulan Syawal, maka dititahkanyang maha mulia fakir dengan titah yang tiada dapat tiada menjunjung dia sultan mu'azzam yang hafan lagi murah, yang pertama besar martabat izzatnya, iaitu Sultan Iskandar Thani Alauddin Mughayat Syah Johan berdaulat zillullah fil alam..."

Sultan Iskandar Thani Alauddin Mughayat Syah Johan berdaulat zillullah fil alam..."

1 comment:

  1. penerangan yang cukup jelas dan lengkap, good job!

    ReplyDelete