UNSUR-UNSUR
TERTENTU (HUMOR, PATHOS, MITOS, LAGENDA, AGAMA, ASAL USUL, BINATANG DAN SENTUHAN BUDAYA)
UNSUR
SENTUHAN BUDAYA DALAM SULALATUS SALATIN
1) Adat
Penganugerahan Gelaran
Adat
ini dimulakan dengan menjemput orang yang bakal menerima gelaran ke istana.
Jemputan pula penganugerahan adalah mengikut pangkat dan gelaran yang bakal
diterima. Orang besar-besar akan menjemputnya jika mendapat penganugerahan
‘Perserian’. Bagi anugerah ‘Persangan’ hanya orang kecil-kecil sahaja yang akan
menjemput orang yang bakal menerima anugerah. Orang yang akan menerima anugerah
akan dijemput dengan menggunakan gajah atau kuda. Mereka akan diiringi dengan
payung dan gendang serunai ke istana. Ketika tiba di istana, riwayat mereka
akan dibaca dan diberi persalinan mengikut gelaran yang diberikaan oleh raja.
Sebagai contoh, anugerah bendahara akan diberi lima ceper persalinan. Situasi
ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Jika
baginda menggelar orang, maka raja dihadap orang di balairung, orang beradat.
Maka dijemput orang itu: jika “Perserian “, Orang Besar-besar menjemput dia;
jika “Persangan”, orang kecil menjemput dia; jika “Pertuanan” orang sedang
menjemput dia; dan jika orang bergelar itu patut bergajah, dibawakan gajah;
yang patut berkuda, dibawakan kuda; dan jikalau tiada patut bergajah dan
berkuda, dibawa berjalan dengan bingkisan, dengan payung dan gendang serunai,
tetapi payung itu, ada hijau, ada yang biru, ada yang merah, dan
sebesar-besamya payung kuning; dan payung putih dengan nagara itu mahal adanya,
sebaik-baiknya nafiri. Dan payung kuning itu payung anak raja-raja dan orang
besar-besar; dan payung ungu dan merah dan hijau itu payung sida-sida dan ben
tara hulubalang sekalian. Adapun payung biru dan hitam itu akan payung barang
orang bergelar juga.
(A. Samad
Ahmad,1979: 76)
2)
Adat Mengadap Raja di Balairung
Semasa
mengadap raja terdapat adat istiadat mengadap raja di balairung.
Pembesar-pembesar akan di susun mengikut pangkat kebesaran tersendiri seperti
bendahara, penghulu bendahari, dan temenggung akan duduk di seri balai. Anak-
anak raja akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Sida-
sida yang muda akan duduk berselang-seli dengan bentara dan hulubalang yang
berdiri di ketapakan balai memikul pedang. Petikan di bawah menggambarkan
aturan mengadap raja di balairung.
Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Kemudian
daripada itu maka Raja Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh
segala raja-raja dan ulama dan pendita dan segala Orang Besar-besar, dan segala
pahlawan yang gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan dan
belakang baginda segala Hamba yang khas dan segala yang kepercayaannya.
(A. Samad
Ahmad, 1979:5)
Adapun
apabila raja dihadap orang di balairung, maka Bendahara dan Penghulu Bendahari
dan Temenggung, dan segala menteri dan Orang Besar-besar, segala sida-sida
duduk di seri balai; maka segala anak raja-raja itu duduk dikelek-kelekan balai
kiri kanan, dan segala sida-sida yang muda-muda duduk diselang-selang antara
Bentara, dan hulubalang muda-muda berdiri di ketapakan balai memikul pedang,
dan kapala bentara yang di kiri itu, daripada anak cucu menteri yang patut
akan menjadi Bendahara dan Penghulu Bendahari dan Temenggung; dan kepala
bentara yang di kanan itu, daripada anak cucu hulubalang yang akan patut jadi
Laksamana dan Seri Bija Diraja; dan barang siapa bergelar Sang Setia bakal Seri
Bija Diraja, dan barang siapa bergelar Sang Guna bakal Laksamana, dan barang
siapa bergelar Tun Pikrama bakal Bendahara.
(A.Samad Ahmad, 1979: 75)
3)
Istiadat Raja ke Istana
Institusi
beraja dalam Sulalatus Sulatin mempunyai kepelbagaian adat istiadat yang mengikut
aturan termasuklah adat istiadat raja masuk ke istana. Ketika raja akan ke
istana gendang akan dipalu sebanyak tujuh ragam dan nafiri akan dibunyikan.
Setelah selesai palukan gendang kali ke tujuh, raja keluar bergajah diarak ke
istana. Rakyat yang hadir akan duduk bersila di tanah. Situasi ini dapat
digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Syahadan
di Bintan gajah memangku puan baginda, dan Demang Mangku Raja, saudara Demang
Lebar Daun, menyandang pedang badram belawa, dengan segala penjawat baginda
berjalan di hadapan gajah baginda; Menteri Bupala memegang gading kanan, Aria
Bupala memegang gading kiri. Maka payung iram-iram kerajaan putih pun
terkembanglah empat, serta cogan kerajaan panji-panji alam pun terdirilah. Maka
diarak oranglah baginda masuk ke dalam kota Bintan dengan segala bunyi-bunyian
diiringkan oleh segala menteri hulubalang kedua buah negeri itu, terlalu sabur
rupanya. Mereka yang melihat bersesak bertindih-tindih sepanjang pasar itu.
Maka disuruh arak oleh Wan Seri Beni langsung sekali ke dalam; maka diarak
oranglah masuk ke dalam rong sekali, terkepil di atas rong dalam.
(A. Samad
Ahmad, 1979:25)
Berdasarkan sulalatus sulatin ini,
Raja Iskandar berjalan dihadapan gajah baginda berserta dengan menteri baginda
iaitu, Menteri Bupala memegang gading kanan manakala Aria Bupala memegang
gading kiri. Orang suruhan baginda akan berjalan dihadapan gajah baginda.
Payung iram-iram putih kerajaan juga turut digunakan semasa perarakan tersebut.
Segala bunyi-bunyian dimainkan dan diiringi menteri kedua-dua buah negeri
melalui pasar sebelum masuk ke balai rong.
4)
Adat Menjunjung Duli
Adat
menjunjung duli juga terdapat dalam Sulalatus Sulatin. Adat istiadat ini
diadakan apabila empat atau lima orang kepala bentara yang terdiri daripada
sida-sida akan duduk di Seri Balai. Segala perkakas seperti ketur, kendi,
kipas, dan barang yang diselang kedudukannya. Pedang pula berada di sebelah kiri
dan kanan. Pedang kerajaan dipikul oleh Laksamana atau Seri Bija Diraja.
Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Syahadan
jika menjunjung duli, dahulu kepala bentara yang empat lima orang itu daripada
sida-sida yang duduk di Seri balai itu, melainkan segala menteri yang
besar-besar. Adapun nakhoda Cempa yang pilihan duduk di seri balai; maka
segala anak tuan-tuan yang bersahaja-sahaja duduk di selasar balai. Adapun
segala perkakas raja, seperti ketur dan kendi, kipas dan barang sebagainya
diselang-selang duduknya; melainkan puan dan pedang dikelek-kelekan kiri dan
kanan; pedang kerajaan itu, Laksamana atau Seri Bija Diraja memikul pedang
itu.
(A.Samad Ahmad, 1979:75)
5)
Adat Menyambut Kedatangan Utusan Kerajaan Luar
Adat
menyambut utusan juga terdapat dalam Sejarah Melayu ini. Adat istiadat ini
diadakan apabila kerajaan menerima kehadiran orang utusan luar yang dalam ke
negeri untuk menyampai sesuatu utusan. Dalam Salalatus Salatin ada mengisahkan
penerimaan surat dari Pasai atau Haru yang dijemput dengan pelbagai alat kerajaan
seperti gendang, serunai, nafiri, negara, payung putih dan lain-lain lagi.
Apabila surat sampai ke balai, disambut oleh hulubalang asal iaitu Kepala
Bentara dari kanan. Kepala bentara yang dari kiri menyampaikan titah raja
kepada utusan, Kepala Bentara yang kanan menyampaikan sembah. Jika surat dari
negeri lain, sambutannya kurang sedikit. Sekadar gendang serunai dan payung
kuning. Walau bagaimanapun sepersalinan tetap akan diberikan. Jika utusan raja
besar yang hadir akan diberi payung kuning dan putih. Sambutan ini dibuat
secara besar-besaran. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di
bawah:
Dan
apabila utusan datang atau pergi, ceper dan kerikal dibawa hamba raja dari
dalam, maka disambut oleh kepala bentara yang di kanan, kerikal itu diletakkan
had Bentara. Maka ceper dan tetampan diberikan pada orang yang membawa surat.
Kija surat dari Pasai atau dari Haru, dijemput dengan selengkap alat kerajaan:
Gendang, serunai, nafiri, negara, payung putih dua berapit: melainkan mendeli
juga yang tiada pergi menjemput itu: dan menteri mengepalakan gajah, dan
bentara di buntut gajah: sida-sida membawa surat dengan penghulu biduanda
kecil; dan gajah dikepilkan di hujung balai, kerana raja dua buah negeri itu
sama besarnya dengan raja Melaka, tua muda sekaliannya berkirim salam jua.
(A.Samad
Ahmad, 1979:76)
6)
Adat Memberi Persalinan
Adat
persalinan ini diadakan kepada utusan. Persalinan merupakan pakaian akan
diberikan kepada utusan mengikut darjat. Adat diceritakan dalam Salalatus
Salatin jika Bendahara lima ceper persalinan, anak raja empat ceper, tidak ada
ikat pinggang. Bendahara sida-seda hulubalang, kita ceper. Orang bersalin
memakai pontoh dan petam. Cara memakai pontoh mengikut gelaran dan darjat. Situasi ini dapat
digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Maka
datanglah persalin; jika akan jadi Bendahara, lima ceper persalinannya; baju
seceper, kain seceper, destar seceper, sebai seceper, ikat pinggang seceper;
jikalau anak raja-raja dan para menteri cateria empat ceper juga, ikat pinggang
tiada; jikalau bentara sida-sida hulubalang tiga ceper; kain seceper, baju
seceper, destar seceper, ada yang semunya sekali seceper, ada yang tiada
berceper, kain, baju destar di biru-biru sahaja, maka diampu oleh hamba raja,
datang pada orang bergelar itu disampaikan di lehernya. Maka dipeluk oleh orang
itu lalu dibawanya keluar. Dan jila persalinan utusan, demikian juga adatnya,
masing-masing pada patutnya.
(A.Samad
Ahmad, 1979:77)
7)
Adat Raja Berangkat Pada Hari Raya Secara Berusungan
Raja
akan berangkat dengan usungan. Kepala
usungan kanan akan dipegang oleh Penghulu
Bendahari dan sebelah kiri oleh
Laksamana. Di sebelah belakang pula
Menteri Kedua. Hulubalang berjalan di
hadapan raja dengan membawa alat kerajaan di kiri dan kanan, sementara Bentara memikul pedang. Bendahara berjalan di belakang raja dengan
kadi, pakeh segala orang besar dan segala menteri yang tua. Situasi ini dapat
digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Syahadan
apabila raja berangkat hari raya berusung, Penghulu Bendahari memegang kepala
usungan yang di kanan, dan yang di kiri
Laksamana, dan di belakang itu Menteri keduanyya memegang dia, dan pada
rantai dekat kaki raja. Seri Bija Diraja memegang dia; dan bentara, hulubalang
berjalan dahulu di hadapan raja, masing-masing dengan jawatannya. Segala alat
kerajaan dibawa orang berjalan di hadapan raja, tombak kerajaan sebatang
sebatang dari kiri dan sebatang dari kanan; di hadapan raja segala bentara
memikul pedang, dan dihadapan sekali segala orang yang berlembing adapun jogan di
hadapan raja, dan di hadapannya gong gendang dan segala bunyi-bunyian, negara
dari kanan, nafiri dari kiri; jikalau berjalan, lebih kanan daripada kir; pada
kedudukan, lebih kiri daripada kanan …
(A.Samad
Ahmad, 1979:78)
8)
Adat Menyambut Hari Raya
Bendahara
dan segala Orang Besar-besar akan duduk berkampung dan usungan akan diarak oleh
Penghulu Bendahari. Apabila usungan
tiba, segala orang yang duduk dibalai turun berdiri, beratur bersaf-saf gendang
akan dipalu tujuh ragam, diiringi nafiri. Selepas tujuh kali, raja berangkat
menaiki gajah dan diarak ke masjid dan barulah ke istana.
9)
Adat Raja Menunggang Gajah
Temenggung
berada di bahagian kepala gajah, Laksamana di buntut gajah dan bebtara pula
memikul pedang kerajaan. Orang besar-besar berada di sebelah kiri gendang dan
orang berpangkat rendah berada di sebelah kanan gendang. Situasi ini dapat
digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Bermula
jika raja bergajah, Temenggung di kepala gajah, Laksamana atau Seri Bija Diraja
di buntut, bentara memikul pedang kerajaan. Adapun jika mengadap nobat, barang
orang Besar-besar dari kiri gendang; barang orang kecil dari kanan gendang.
Adapun yang kena sirih nobat pertama Bendahara dan anak raja-raja …
(A.Samad
Ahmad, 1979:78)
10)
Adat Menyambut Malam Tujuh Likur Atau Malam Dua Puluh Tujuh
Pada
waktu siangnya sejadah akan diarak ke masjid. Temenggung akan gajah, puan serta
segala alat kerajaan dan gendang akan dibawa terlebih dulu ke masjid. Keesokannya, laksamana akan mengarakkan
serban. Raia-raja Melayu akan berangkat ke masjid bertengkolok dan berbaju
sarung. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Syahadan
jika malam dua puluh tujuh, tatkala pada siangnya mengarak sejadah ke masjid,
Temenggung mengepalakan gajah; maka puan segala alat kerajaan dan gendag,
semuanya diarak dahulu ke masjid. Setelah malam maka raja berangkat seperti
adat hari sembahyang terawih, sudah itu berangkat kembali. Setelah esok harinya
maka Laksamana mengarak serban, adat raja-raja Melayu berangkat ke masjid
bertengkolok berbaju sarung, itulah yang jadi larangan pada orang kahwin;
barang siapa yang dikurnia maka beroleh memakai dia; dan memakai cara Keling
itu pun larangan lagi, melainkan barang siapa sedia pakaian, dapatlah dipakainya
sembahyang dan kahwin.
(A.Samad Ahmad, 1979:79)
11)
Adat istiadat perkahwinan Diraja
Adat
ini dimulakan dengan adat meminang dan adat berjaga-jaga selama empat puluh
hari empat puluh malam. Setelah selesai
adat berjaga-jaga itu barulah diadakan majlis akad nikah. Misalnya perkahwinan antara Raja Omar dengan
Raja Fatimah, bermula dengan menghantar sirih pinang dan emas belanja,
perarakan dengan gajah dan akad nikah oleh kadi. Raja Omar dan Raja Fatimah
dihiasi dengan pakaian kerajaan yang bertahtakan ratna mutu intan baiduri.
Kemudian Raja Omar dinaikkan ke atas gajah dan diarak dengan bunyi-bunyian.
Sambutan perkahwinan Diraja disambut dengan meriah sekali. Situasi ini dapat
digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Setelah
genaplah empat puluh hari empat puluh malam berjaga-jaga itu, kepada keesokan
harinya, maka Raja Omar dan Raja Fatimah pun dihiasi oranglah dengan pakaian
kerajaan kerajaan yang bertahtakan ratna mutu intan baiduri. Setelah itu maka
Raja Omar pun dinaikkan orang ke atas gajah, Tun Nara Wangsa di kepala, dan Tun
Mat Ali, anak Laksamana Hang Nadim di buntut; maka diaraklah dengan selengkap
alat kerajaan dan dengan segala bunyi-bunyian, gendang, serunai, nafiri,
negara, madeli, terlalu azamat bunyinya, bercampur dengan bunyi bedil pegawai
istinggar, seperti kacang direndang; diarak lalu ke dalam, maka gajah pun
terkepillah di astaka balai.maka Sultan Alau’d-Din sendiri menyambut tangan anakanda
baginda, Rja Omar, sebelah kanan dan Bendahara sebelah kiri, dipimpin ke seri
balai, didudukkan di atas ciu yang keemasan; maka tampillah kadi menikahkan
baginda.
(A.Samad
Ahmad, 1979:300)
UNSUR HOMUR
Ada
seorang keeling, Miaruzu namanya, ikut askar Melaka melanggar Haru. Ketika ia
hendak buang air, bertemu dengan seekor kambing randuk, kerana takut, ia
menyangka kambing itu askar Haru, ia lari tunggang-langgang. Perbuatan ini
menggemparkan askar-askar Melaka, Miaruzul memberitahu:
“Kita
bertemu Haru tua, kita hudap ia Zughul, kita zughul ia hudap”. Tetapi bila
disiasat ternyatalah hanya seekot kambing randuk. Peristiwa itu melucukan lalu dibuat pantun mellaui
kata-kata Miaruzul itu
(Sejarah
Melayu)
Humor
ialah perbuatan yang menimbulkan kelucuan. Dalam Sejarah Melayu terdapat
unsure-unsur humor yang diceritakan oleh pengarang. Humor mempunyai nilai
estetika dan memberi keindahan kepada sesebuah karya agung. Dalam petikan
diatas dinyatakan sebagai terdapat keindahan unsur humor kerana seorang keling
itu dengan perasaan takut tersebut sehingga menganggap seekor kambing ranuk
dibayangkan sebagai askar Haru sednagkan itu adalah jauh bezanya. Teknik humor
yang digunakan pengarang mampu untuk memberikan nilai estetik kepada sesebuah
karya agung itu sendiri.
UNSUR
PATHOS
Pengertian/Maksud:
-
Istilah berasal dari perkataan Greek.
-
Membawa maksud ->• penderitaan atau rasa kesedihan atau kepiluan.
-
Dari segi kesusasteraan, pathos merupakan unsur yang meransangkan daya rasa
kasihan, kesedihan dan dukacita dalam diri pembaca.
-
Menggambarkan sifat-sifat berserah, perihal penderitaan yang tidak tertanggung,
atau kesengsaraan kerana menanggung dukacita yang amat mendalam.
UNSUR PATHOS DALAM SULALATUS
SALATIN.
1.
Pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi keamanan negeri.
Hal
ini dapat dilihat dalam kisah Sultan Muzaffar Syah terpaksa menceraikan isteri
kesayangannya Tun Kudu demi menyelesaikan perbalahan antara Seri Nara Diraja
Tun Ali dengan Tun Perak.
Sebagai
seorang wanita yang masih muda, Tun Kudu turut terpaksa menanggung penderitaan
diceraikan demi kepentingan keamanan Melaka. Kemudian berkahwin pula dengan
Seri Nara Diraja Tun Ali yang telah tua. Namun Tun Kudu tidak ada pilihan.
Penentuan hidupnya terserah kepada ketentuan kuasa dipihak lelaki lebih-lebih
lagi atas titah sultan.
2.Pembunuhan
terhadap orang yang tidak berdosa oleh pemerintah hanya kerana faktor dendam
dan benci dan fitnah.
Ini
bermakna tindakan pemerintah yang menjatuhkan hukuman bunuh terhadap seseorang
yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Buktinya
dapat dilihat dalam peristiwa pembunuhan terhadap Bendahara Seri Maharaja Tun
Mutahir, Tuan Jana Khatib, Tun Besar, Tun Ali Sandang dan sebagainya yang
berpunca daripada rasa dendam dan benci. Contoh:
a.
Pembunuhan terhadap Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir misalnya berpunca
daripada dendam Sultan Mahmud Syah terhadap Tun Mutahir kerana tidak
menunjukkan Tun Fatimah kepada baginda terlebih dulu sebelum dikahwinkan dengan
Tun Ali. Ditambah pula dengan fitnah yang disampaikan oleh Raja Mendaliar dan
Kitul yang memfitnah Bendahara Tun Mutahir ingin merampas tahta kerajaan
Melaka.
Dalam
suasana hidup yang tenang, bahagia bersama keluarga, hidup mewah dan mempunyai
kedudukan (diceritakan Bendahara Seri Maharaja pembesar terkaya di Melaka)
tiba-tiba berhadapan dengan malapetaka dan kemusnahan diri sendiri serta
ahli-ahli keluarga tentu sekali penderitaan yang dirasai tidak tertanggung.
Turut
dirasai penderitaan ini ialah Tun Fatimah yang terpaksa menghadapi kehilangan
suami, ayah dan keluarga secara tragis, difitnah akan menderhaka kepada raja.
Kesan kesakitan dan penderitaan Tun Fatimah diceritakan dalam Sulalatus Salatin
bahawaTun Fatimah tidak pernah tersenyum selama menjadi isteri Sultan Mahmud
Syah.
b.
Pembunuhan kejam ke atas Tuan Jana Khatib oleh Paduka Seri Maharaja juga
menimbulkan unsur pathos kerana tidak setimpal dengan kesalahannya menilik
batang pinang hingga terbelah dua di hadapan permaisuri Singapura. Pembunuhan akibat
rasa cemburu dan tanpa alasan kukuh ini amat kejam dan menimbulkan simpati
pembaca terhadap watak tersebut.
c.
Pembunuhan ke atas anak Sang Rajuna Tapa. – Anak Sang Rajuna Tapa merupakan
gundik kepada Raja Iskandar Syah. Dia telah difitnah dan dijatuhkan hukuman
bunuh secara yang amat kejam dan mengaibkan iaitu disula dihujung pasar.
d.
Pembunuhan Tun Besar gara-gara bermain sepak raga.
e.
Pembunuhan Sultan Abu Syahid oleh Raja Rekan. Orang yang tidak berdosa menjadi
mangsa balas dendam dan tamak kuasa.
3.
Terkorban kerana menegakkan keadilan dan perbezaan prinsip:
Buktinya
tergambar dalam episod pertikaman dan pembunuhan Hang Jebat oleh sahabatnya
Hang Tuah.
Kesedihan,
kepiluan dan rasa penyesalan yang bukan sahaja dirasai oleh watak-watak tetapi
turut dirasai oleh kita sendiri sebagai pembaca ketika mengikuti episod
pertikaman antara dua orang sahabat baik iaitu antara Hang Tuah dan Hang Jebat.
Kita
merasa sedih kerana pengorbanan Hang Jebat untuk membela penganiayaan ke atas
sahabatnya Hang Tuah yang dihukum bunuh hanya kerana fitnah dan tanpa usul
periksa oleh Sultan Mansur Syah akhirnya membawa kecelakaan pada dirinya kerana
pada zaman itu tindakan Hang Jebat bertentangan dengan sistem sosial yang
menjadi amalan masyarakat Melayu .
Hal
ini terjadi kerana perbezaan prinsip di antara dua sahabat tersebut. Hang Tuah
berpegang dan menjunjung prinsip “Pantang Melayu Derhaka kepada raja”
sebaliknya Hang Jebat berpegang kepada prinsip “ Raja Adil Raja Disembah, Raja
Zalim Raja Disanggah”
Berpegang
kepada prinsip itu Hang Tuah tidak boleh sama sekali bertolak ansur terhadap
sesiapa sahaja yang menderhaka kepada rajanya. Sebagai seorang hamba yang setia
kepada tuannya, Hang Tuah menepikan rasa persahabatan/persaudaraannya terhadap
Hang Jebat. Hang Tuah tetap menurut titah raja. Kesetiaan Hang Tuah tidak
berbelah bagi kepada raja Melaka. Sungguhpun Hang Jebat menderhaka kerana
membela "kematian" Hang Tuah, namun kesetiaan Hang Tuah tidak ada
tandingannya .
4.
Rakyat menjadi mangsa kesetiaan kepada pemerintah.
Kepedihan
dan kesakitan yang dirasai oleh rakyat dan hulubalang Singapura akibat
tercedera diserang todak berlaku kerana kesetiaan mereka terhadap pemerintah.
Titah raja Singapura tidak boleh dibantah. Kisah ini berlaku dalam episod
Singapura dilanggar todak
-
Titah raja supaya rakyat berkubukan betis (tubuh badan) telah menyebabkan ramai
rakyat terkorban dan cedera parah.
-
Dalam episod ini juga, berlaku peristiwa tragis yang amat mengusik perasaan
belas kasihan serta kepiluan hati apabila mendapati budak cerdik yang telah
berjasa menyelamatkan Singapura daripada serangan todak itu tidak diberi
penghargaan sewajarnya. Sebaliknya budak cerdik ini telah menjadi korban fitnah
akibat perasaan iri hati pembesar-pembesar negeri. Begitu juga seksa keluarga
budak cerdik ini menanggung penderitaan kematian anak mereka kerana berjasa
kepada negara.
-
Budak cerdik ini tidak berdosa belum mengenal pancaroba dunia dihukum bunuh,
mati dalam keadaan terseksa benar-benar meninggalkan kesan pada jiwa kita.
5.
Penganiayaan dan penafian hak terhadap pewaris tahta juga merupakan suatu unsur
pathos.
Ini
terlihat dalam peristiwa penyingkiran Raja Kassim daripada menaiki tahta
Kerajaan Melaka oleh Puteri Rekan. Raja Kassim sepatutnya menaiki tahta selepas
kemangkatan Sultan Muhammad Syah, tetapi telah dinafikan haknya oleh Puteri
Rekan yang bertindak melantik anaknya Raja Ibrahim sebagai sultan Melaka. Raja
Kassim diusir dari istana dan menjadi nelayan di pantai Melaka. Peristiwa
penyingkiran ini menimbulkan rasa simpati dan belas kasihan khalayak terhadap
Raja Kassim.
KESAN PENERAPAN (PENGGUNAAN) UNSUR
PATHOS
1.
Unsur pathos dapat melahirkan rasa sedih, marah, simpati, benci dan kasihan
khalayak terhadap watak-watak yang menjadi mangsa dalam cerita atau karya.
Pembaca
dapat melahirkan/meluahkan perasaan yang dirasai atau dialami setelah membaca
sesebuah karya. Perasaan seperti simpati, sedih, pilu dan belas kasihan, kepada
watak-watak yang teraniaya. Sebaliknya timbul rasa benci terutama kepada
watak-watak yang zalim dan kejam.
MIsalnya
peristiwa pembunuhan Tuan Jana Khatib, Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, Tun
Besar dan lain-lain yang dibunuh di atas kesalahan yang tidak setimpal dengan
hukuman yang diterima menyebabkan timbul perasaan sedih, marah, kasihan dan
sebagainya terhadap mereka oleh khalayak / pembaca.
2.
Unsur Pathos juga dapat memberi pengajaran, teladan, keinsafan kepada pembaca
setelah menghayati cerita/episod tersebut. Kita boleh mengambil iktibar di
sebalik kisah-kisah yang berlaku itu.
Misalnya
peristiwa kematian Hang Jebat di tangan Hang Tuah memperlihatkan bahawa nilai
persahabatan yang ditunjukkan oleh Hang Jebat langsung tidak dihargai oleh Hang
Tuah malah sanggup pula bertindak membunuh Hang Jebat.
Dari
peristiwa tersebut pembaca boleh mengambil pengajaran, iaitu kita hendaklah
bersifat setiakawan dan menghargai pengorbanan seorang sahabat. Golongan
pemerintah pula tidak sepatutnya melakukan kezaliman terhadap rakyat yang tidak
berdosa seperti yang berlaku dalam peristiwa pembunuhan Tuan Jana Khatib,
Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dan sebagainya.
3.
Unsur pathos dapat menimbulkan unsur suspens / ketegangan kepada khalayak /
pembaca.
Dengan
kata lain unsur pathos dapat menarik minat pembaca mengikuti cerita hingga
akhirnya. Dengan mengikuti cerita-cerita yang mengandungi unsur sedih, kecewa,
pilu dan menyayat hati, kita sentiasa rasa ingin tahu kesudahan cerita kesan
tindakan watak-watak dalam cerita tersebut. Unsur suspens/tegangan ini
menjadikan cerita menarik.
Misalnya
dalam episod penyingkiran Raja Kassim sebagai pengganti sultan oleh Puteri
Rekan menyebabkan khalayak tertanya-tanya apakah kesudahan nasib yang akan
dialami oleh Raja Kassim.
4.
Unsur pathos berkesan untuk menjadikan cerita semakin kompleks dan penuh
permasalahan.
Di
dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu terdapat pelbagai peristiwa dan
konflik dipaparkan dengan tujuan menjadikan cerita lebih kompleks. Pembaca akan
dibuai oleh berbagai-bagai perasaan ketika mengikuti episod demi episod cerita
tersebut. Keadaan seperti ini merupakan suatu tarikan pada karya tersebut.
Misalnya
dapat dilihat dalam peristiwa penyingkiran Raja Kassim dari tahta Melaka.
Sekiranya Raja Kassim tidak disingkir kemungkinan cerita tidak menjadi sebegitu
rumit dan permasalahan tidak akan wujud.
Jelaslah
bahawa penganiyaan dan penafian hak ke atas Raja Kassim tersebut telah
menjadikan cerita lebih kompleks, apabila baginda terpaksa menjadi rakyat biasa
dan nelayan. Peristiwa tersebut telah mewujudkan permasalahan baru iaitu
peristiwa rampasan kuasa.
5.
Unsur Pathos memberi kesan tersendiri kepada pembaca.
Pembaca
akan merasa seolah-olah turut terlibat dalam peristiwa yang berlaku dan turut
sama merasai apa yang dialami oleh watak-watak dalam cerita.
UNSUR MITOS
Dalam
teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, terdapat beberapa peristiwa berunsur
mitos yang ditulis untuk tujuan yang khusus. Antaranya termasuklah untuk
menggambarkan kepercayaan sesuatu anggota masyarakat ataupun untuk mengkritik
raja secara halus. Yang berikut adalah antara beberapa contoh mitos tersebut :
1.
Peristiwa Badang menjadi gagah setelah makan muntah hantu - Badang telah
beroleh kekuatan dan kegagahan yang sangat luar biasa setelah memakan muntah
hantu yang mencuri hasil tangkapannya. Kegagahan Badang yang luar biasa itu
telah membolehkan dia mencabut pokok-pokok kayu Yang besar dengan akarnya
sekali dan hal ini menggembirakan majikannya kerana ladangnya telah dapat
dibersihkan dalam masa yang singkat.
2.
Peristiwa ikan todak menyerang Singapura - peristiwa ini berlaku semasa
Singapura diperintah oleh Paduka Seri Maharaja. Banyak rakyat negeri itu yang
mati ditikam oleh ikan todak yang mampu melompat hingga ke pantai. Untuk
mengatasi serangan tersebut, Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya
berkubukan betis tetapi perintah itu lebih banyak menyebabkan kematian dan
kecederaan kepada rakyat yang terlibat. Akhirnya, serangan ikan todak itu dapat
diatasi melalui kebijaksanaan seorang budak yang menyarankan penggunaan batang
pisang sebagai kubu. serangan ikan todak tersebut ada kaitannya dengan
pembunuhan Tuan Jana Khatib yang "mahir akan ilmu khayal lillah lagi tamam
dua belas".
3.
Peristiwa Sang Rajuna Tapa menjadi batu - peristiwa ini menimpa Sang Rajuna
Tapa kerana dia telah mengkhianati Raja Iskandar Syah. Pengkhianatan itu
dilakukannya selepas Raja Iskandar membunuh anak perempuannya dengan cara yang
sangat memalukan dirinya. Untuk membalas perbuatan Raja Iskandar Syah itu, dia
telah bersekongkol dengan Majapahit yang menyebabkan Singapura jatuh ke tangan
kuasa besar itu.
UNSUR LAGENDA
Menurut
Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986), legenda merupakan kisah-kisah
mengenai keperibadian dan keunggulan dalam peribadi yang dimiliki oleh
tokoh-tokoh manusia tertentu, tokoh-tokoh yang berkemungkinan besar memang
hidup dalam sejarah umpamanya.
Seterusnya, tokoh-tokoh ini pula tidak sunyi daripada dikaitkan dengan
tokoh-tokoh yang ada hubungannya dengan kekuatan politik dan agama.
Di
samping itu, keunggulan tokoh-tokoh ini sering dihubungkaitkan dengan watak-watak
istimewa dan supernatural seperti gagah, berani, kuat, pintar dan bijak,
mempunyai kebolehan dan kekuatan batin yang luar biasa serta sangat terkenal
dalam sejarah tempatan sesuatu masyarakat.
Justeru, legenda menjadi kebanggaan bahkan kerap diteladani oleh
masyarakat setempat, lalu menjadi milik seluruh masyarakat tersebut.Berdasarkan
hal tersebut, dapatlah diketahui bahawa legenda ini mempunyai fungsinya yang
tersendiri.
Masyarakat
Melayu amat sinonim dengan konsep ‘tulah raja’. Barangsiapa yang menderhaka
kepada sultan atau raja, mereka akan mendapat hukuman atau terkena ‘tulah raja.
Sehubungan dengan itu, antara fungsi legenda menurut Yusoff Iskandar dalam
Zahrah Ibrahim (1986: 163) adalah untuk memperkuat konsep ‘daulat’, ‘taat’ dan
‘derhaka’ dalam masyarakat Melayu.
Sesuai
dengan hal ini, Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah telah diangkat menjadi model
atau simbol kepada ketiga-tiga konsep tersebut. Hal ini dapat dilihat apabila
ia sanggup membunuh sahabat baiknya sendiri, iaitu Hang Jebat yang pada
pandangannya telah menderhaka kepada Sultan mereka, iaitu Sultan Mansur Syah
sebagai tanda taat dan setianya yang tidak berbelah bahagi kepada rajanya.
Selain itu, Hang Tuah juga sanggup mati untuk memenuhi kehendak sultan Melaka
pada ketika itu (Hasbullah Ibrahim dan Noor Aini Shaari, 1993). Beliau
diceritakan sanggup untuk masuk ke dalam kubur disebabkan sultannya yang ingin
mengetahui keadaan sebenar di dalam kubur.
Seterusnya,
legenda juga berfungsi untuk memuji serta menunjukkan kekuatan fizikal dan mental
orang-orang Melayu. Hal ini dapat digambarkan melalui kebijaksanaan Sultan
Mansur Syah dalam mentadbir kerajaannya. Baginda bertindak menjalin hubungan
diplomatik dengan beberapa buah kuasa besar sebagai langkah berjaga-jaga.
Meskipun Siam pada ketika itu telah menyerang Melaka sebanyak dua kali dan
tewas, namun itu bukanlah bermakna mereka tidak akan menyerang Melaka lagi.
Maka, Sultan Mansur Syah telah membuat keputusan untuk berbaik-baik dengan
Siam. Hal ini tidak lain dan tidak bukan
adalah untuk memastikan keamanan kerajaan Melaka. Berikut merupakan petikan
kata-kata baginda:
“Apa
bicara tuan hamba sekalian, baiklah kita menyuruh ke benua Siam; apa sudahnya
kita beralangan selama ini; kita kelahi dengan dia pun tidak, dan berdamai pun
tiada…”
(Sulalatus
Salatin, hlm. 107)
Hal
tersebut jelas menunjukkan kebijaksanaan Sultan Mansur Syah yang secara tidak
langsung telah mengangkat kehebatan orang Melayu. Tujuan tokoh ini ditampilkan
adalah untuk memuji ketangkasan mental dan fizikal orang-orang Melayu,
sebagaimana Sejarah Melayu dalam memetik kata-kata Betara Majapahit;
“Adapun
orang Melayu ini terlalu cerdik daripada segala orang negeri lain; pada
sebarang permainan pun tewas juga orang lain oleh orang Melaka”.
(Sulalatus Salatin, hlm. 22)
Selain
itu, legenda turut berfungsi menguatkan keyakinan orang Melayu terhadap agama
Islam. Hal ini dapat dilihat daripada kisah Tok Senik di Beserah yang merupakan
seorang pemimpin agama telah bertindak membuka Pekan Beserah setelah merantau
dari satu tempat ke satu tempat di utara Semenanjung Tanah Melayu (Aripin Said,
1996: 57).
Kisah
ini menunjukkan betapa pengaruh seorang pemimpin agama itu sangat memberi kesan
yang besar kepada orang di sekelilingnya. Hal ini demikian kerana, ketika Tok
Senik datang ke pekan tersebut yang pada asalnya masih belum mempunyai nama,
beliau terus mencadangkan nama Pekan Beserah kerana dikaitkan dengan kehidupan
seorang Islam yang sentiasa berserah kepada Allah dalam apa-apa jua
perkara. Kisah ini juga telah dibawa
turun-temurun oleh rakyat tempatan dan dipercayai ramai. Pada masa yang sama, perkara ini juga
sebenarnya mampu mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap sesuatu tokoh dan
peristiwa bercorak sejarah.
Selanjutnya,
legenda juga direka adalah untuk menonjolkan tokoh-tokoh legenda. Sebagai contoh, watak Hang Tuah dalam Hikayat
Hang Tuah. Hang Tuah diceritakan dan
dilambangkan sebagai seorang yang sangat gagah perkasa. Sebagai buktinya, dia
dapat mengalahkan orang Jawa yang mengamuk dan kemudiannya dilantik menjadi
laksamana (Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 162). Sehubungan dengan
itu, perihebatnya tokoh ini di mata masyarakat telah digambarkan dalam Sejarah
Melayu:
“Adapun
akan Laksamana Hang Tuah barang tempat ia pergi, gegak-gempita bunyi orang
daripada hebat melihat sikap lakunya. Jika ia peseban, peseban gempar; jika ia
di panggungan, panggungan gaduh dan segala perempuan Jawa anak-anak dara,
jikalau ia berjalan ke pasar atau barang ke mana, banyaklah yang gila akan Hang
Tuah itu. Dan apabila Hang Tuah lalu, perempuan di dalam pangkuan lakinya itu
pun bangun hendak melihat Hang Tuah; itulah dipantunkan Jawa…
”
Semua
ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menonjolkan tokoh Hang Tuah itu
sendiri sekaligus mengangkat watak tersebut. Fungsi legenda yang seterusnya
adalah untuk memberikan hak legalisasi terhadap raja-raja yang berkenaan
(Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 163). Berhubung dengan hal ini,
perihal menghubungkan tokoh-tokoh bersejarah dengan tokoh-tokoh legenda zaman
dahulu sebenarnya bukanlah dibuat secara kebetulan, sebaliknya ada kepentingannya
yang tersendiri, iaitu untuk kepentingan politik.
Keseluruhannya,
dapat dikatakan bahawa tokoh-tokoh sejarah yang dihubungkaitkan dengan unsur-unsur legenda ini ialah
raja-raja sendiri. Hal ini demikian kerana, mereka berpendapat adalah menjadi
haknya merajai sesebuah kerajaan kerana keturunannya sendiri berasal daripada
raja-raja, baik raja tersebut muncul dalam bentuk mitos mahupun legenda. Menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim
(1986: 163), raja-raja ini berpendapat mereka bukan daripada manusia biasa dan
dijadikan daripada hukum akal dan bersifat biologis.
Di
samping itu, legenda turut berfungsi untuk memperingati peristiwa penting yang
berlaku dalam masyarakat Melayu. Hal ini sangat penting bagi memastikan
kelestarian cerita-cerita terdahulu yang boleh dijadikan panduan buat generasi
terkemudian baik sebagai hiburan, pengetahuan mahupun peringatan. Hal ini dapat
dilihat dalam Hikayat Hang Tuah yang mengisahkan pertarungan Hang Tuah dan Hang
Jebat. Kisah ini secara tidak langsung dapat membuatkan orang ramai
memperingati peristiwa tersebut dan dibawa turun-temurun dari generasi ke
generasi.
Akhir sekali, legenda juga berfungsi
menceritakan salasilah raja-raja. Hal
ini dapat dibuktikan melalui Hikayat Raja-raja Pasai, iaitu mengenai salasilah
Merah Silau atau Sultan Malikul Saleh, yakni nama baginda selepas memeluk
Islam.Pada awal hikayat ini ada disebutkan tentang salasilah Merah Silau dari
awal yang bermula daripada kisah Raja Ahmad dan Raja Muhammad yang
masing-masing menjumpai seorang kanak-kanak (Puteri Betung) daripada buluh
betung dan seorang lagi dijumpai bersama-sama dengan seekor gajah (Merah
Gajah). Setelah kedua-dua mereka
membesar, mereka pun dikahwinkan dan dikurniakan dua orang cahaya mata, iaitu
Merah Silau dan Merah Hasum (Russell Jones, 1997).
Secara umumnya, legenda-legenda ini sengaja diwujudkan
dengan tujuan-tujuan tertentu yang dihubungkan dengan seseorang tokoh, raja,
pahlawan, ulama dan sebagainya. Pelbagai
sanjungan diberikan kepada individu-individu tersebut. Di samping itu,
sanjungan tersebut pula lahir sesuai dengan fungsinya yang berfungsi
memperbesar-besarkan taraf, keturunan dan kedudukan raja yang disanjung.
UNSUR AGAMA
UNSUR-UNSUR
ISLAM DALAM SULALATUS SALATIN: SEJARAH KEDATANGAN ISLAM DI PASAI DAN MELAKA
Penceritaan
mengenai kemasukan Islam ke Pasai dan Melaka telah dimetoskan Di Pasai, Merah
Silu diislamkan oleh Fakir Muhammad. Pada malamnya bermimpi berpandangan dengan
Rasulullah. Rasulullah meminta baginda menganga mulut. Diludahinya, pada
keesokannya badannya berbau narawastu Baginda dapat membaca al-Quran tanpa
diajar, kemudian menukar namanya kepada Sultan Malikul Salleh.
Di Melaka, Raja Kecil Besar bermimpi
berpandangan dengan keelokkan Rasulullah. Rasulullah meminta baginda mengucap
dua kalimah syahadat dan meminta Raja Kecil Besar menukar namanya kepada Raja
Muhammad. Keesokan harinya didapati badannya berbau narawastu dan kalam sudah
dikhatankan. Baginda dapat membaca al-Quran.Mimpi baginda menjadi kenyataan
dimana pada waktu asar kapal Syed Abdul Aziz turun ke pantai Melaka dan beliau
bersembahyang di situ.
Tujuan dimitoskan kedatangan Islam ini adalah
bertujuan mengagungkan Islam. Ia memberi gambaran bahawa Islam benar-benar
berkembang di Melaka, bermula di istana Melaka dan terus berkembang di kalangan
rakyat jelata. Raja Melaka pertama beragama Islam ialah Sultan Muhammad Syah.
Gelaran Sultan digunakan setelah Melaka memeluk Islam.
1.
PENYEBUTAN DAN PENONJOLAN TOKOH-TOKOH ISLAM
Tokoh
Iskandar Zulkarnain adalah pahlawan Islam yang terkenal gagah berani dalam
menaikkan martabat Islam di dunia. Tokoh ini dikaitkan dengan asal usul
keturunan raja Melaka bertujuan untuk menunjukkan keagungan raja. Tokoh-tokoh
lain yang disebut seperti tokoh pahlawan Islam yang terkenal Amir Hamzah
Tokoh-tokoh pendakwah Islam, ulama-ulama Islam dari Asia Barat datang ke Melaka
bertujuan mengembangkan agama Islam dan mengajar ilmu Islam berpusat di istana
Melaka.Tokoh-tokoh tersebut seperti : Syed Abdul Aziz Maulana Abu Bakar Kadi
Yusuf Maulana Sadar Jahan Tokoh-tokoh ini diberi penghormatan dan pengiktirafan
tinggi di istana Melaka. Mereka sangat berpengaruh terutama dalam soal-soal
berkaitan dengan hal-ehwal keagamaan.
2.
ADAT ISTIADAT DAN PERUNDANGAN
Unsur-unsur
Islam terdapat dalam adat istiadat dan perundangan yang diamalkan kerajaan
Melaka. Ia meliputi : Upacara akad nikah kahwin Perayaan-perayaan hari
kebesaran Islam seperti menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Korban
Adat-adat seperti berkhatan.
Amalan wasiat menjadi suatu amalan kepada
raja-raja Melaka yang mangkat meninggalkan wasiat kepada pembesar negeri dan
putera mahkota. Misalnya, wasiat kepada Raja Ahmad. Juga wasiat Sultan Alauddin
Riayat Syah kepada Sultan Mahmud. Melalui wasiat ini ia terselit serta kaya
dengan unsur-unsur pengajaran dan nasihat yang bersumberkan al-Quran dan hadis.
3.
KARYA-KARYA KESUSASTERAAN ISLAM
Istana
Melaka meyimpan karya-karya sastera Islam seperti pahlawan Islam yang terkenal
iaitu Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah. Hikayat-hikayat ini
dibaca oleh panglima-panglima Melaka untuk menaikkan semangat keperwiraan
menentang musuh/Peringgi. Penceritaan diselit dengan puisi Arab iaitu syair.
Penggunaan puisi atau bidalan Arab ini dalam menjelaskan sesuatu gambaran
berkesan memberi nilai estetika pada teks tersebut.
Contohnya
menggambarkan keadaan Sultan Mahmud Syah ketika melihat kecantikan Tun Fatimah.
4.
PENDIDIKAN DAN PERKEMBANGAN ILMU KEISLAMAN
Istana
digambarkan sebagai pusat pengajian ilmu-ilmu Islam. Contohnya : Pasai sebagai
pusat bermuzakarah mengenai ilmu fiqah menikut mazhab Shafie Istana merupakan
pusat pengajaran Islam di mana sultan dan pembesar turut belajar dan menuntut
ilmu. Ulama-ulama,guru-guru agama dan pendakwh berkumpl di istana.
Contohnya Maulana Sadar Jahan dari
Jeddah mengajar di Melaka. Maulana Yusof mengajar tasawuf. Kitab-kitab
agama seperti Kitab Darul Mazlum dibawa ke Melaka oleh Maulana Abu Bakar dan
diajar di istana Melaka. Sultan Mansur Syah turut belajar kitab itu. Utusan
Melaka ke Pasai menyelesaikan masalah-masalah berkait ilmu Islam kerana di
Pasai ramai ulama-ulama berkumpul dan bermuzakarah tentang ilmu-ilmu keislaman.
5.
TEKNIK PENULISAN SULALATUS SALATIN
Mukadimmah
dimulai dengan Bismillahirrahmanir-rahim. Dalam mukadimah juga disertakan
ayat-ayat al-Quran dan diikuti pula dengan terjemahan dalam Bahasa Melayu. Bagi
menjelaskan sesuatu atau sebagai perbandingan,pengarang memasukkan syair dan
bidalan Arab dengan disertakan terjemahannya sekali.
Struktur penulisan menggunakan gaya khutbah.
Ini jelas ketika memberi nasihat yang meleret-leret dalam wasiat. Penggunaan
kalimat-kalimat Arab-Parsi digunakan dalam ayat antaranya Syahbandar, alam,
bahara, sahibul hikayat dan lain-lain.
UNSUR ASAL USUL
SALASILAH
RAJA-RAJA MELAYU
Sejarah
Melayu atau Sulalatus Salatin turut dikenali sebagai peraturan segala
raja-raja. Karya ini turut menceritakan tentang salasilah Raja-Raja Melayu
Melaka. Menurut seorang sarjana Inggeris Roolvink, Sejarah Melayu ini asalnya
dari Sulalatul Salatin yang bermakna salasilah raja-raja. Berdasarkan kenyataan
ini, Sulalatul Salatin itu dahulunya merupakan daftar keturunan raja-raja yang
lengkap dengan tarikh lahir, ditabalkan dan mangkatnya (Muhd Mansur Abdullah,
1988:198).
Sultan Muzaffar Syah yang telah memerintah
lebih kurang tiga belas tahun. Baginda mangkat pada tahun 1459M dan telah
digantikan oleh putera sulung baginda yang bernama Raja Ibrahim. Antara sebab
pengarang mengaitkan keturunan raja-raja Melayu Melaka dengan Raja Iskandar
Zulkarnain kerana beliau merupakan tokoh lagenda dan sejarah serta dikaitkan
dengan agama Islam. Walau bagaimanapun, keturunan raja-raja Melayu Melaka adalah
satu fakta sejarah walaupun disaluti dengan unsur-unsur mitos.
RAJA
ISKANDAR SYAH
RAJA
BESAR MUDA
RAJA
TENGAH
RAJA
KECIL BESAR (SULTAN MUHAMMAD SYAH)
SULTAN
ABU SYAHID (RAJA IBRAHIM)
SULTAN
MUZAFFAR SYAH (RAJA KASSIM)
SULTAN
MANSUR SYAH(RAJA ABDULLAH)
SULTAN
ALAUDDIN RIAYAT SYAH (RAJA HUSSAIN)
SULTAN
AMHMUD SYAH (RAJA MAMAD@MUHAMMAD)
SULTAN
AHMAD SYAH (RAJA AHMAD)
RAJAH
: Salasilah Raja-Raja Melaka
UNSUR BINATANG
1. PEMBUKAAN
NEGERI MELAKA.
Pembukaan
negeri Melaka dapat dikaitkan dengan peristiwa seekor pelanduk putih yang telah
mengalahkan seekor anjing. Raja Iskandar Syah kagum dengan kekuatan pelanduk
tersebut. Baginda seterusnya bercadang untuk membuka negeri di kawasan
tersebut. Nama negeri Melaka berasal
daripada nama pokok, iaitu pokok Melaka. Raja Iskandar Syah bersandar pada
sebatang pokok dan menanyakan nama pokok berkenaan pada para pengikutnya.
Baginda seterusnya menjadikan nama pokok berkenaan sebagai nama negeri yang
baru dibuka. Mitos ini ada diceritakan dalam Sulalatus Salatin pada halaman
ke-71.
Maka
Raja Iskandar Syah pun berjalan balik membaruh, lalu terus kepada sebuah
sungai, Bertam namanya, dan kualanya berbukit. Maka baginda pun datanglah ke
sana, berhenti di bawah sepohon kayu, terlalu rampak, maka baginda menyuruh
berburu, sekonyong-konyong terjun anjing dihambat pelanduk. Titah baginda “
baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah oleh pelanduk, jikalau orangnya
betapa lagi?”. Maka sembah orang, “kayu Melaka namanya, tuanku,”. Maka titah
Raja Iskandar Syah, “ Jika demikian, Melakalah nama negeri ini.”
2. ASAL- USUL SINGAPURA
Asal-
usul Singapura pula dapat dikaitkan dengan peristiwa kemunculan seekor binatang
yang bernama ‘singa’. Pembukaan Singapura melibatkan Seri Teri Buana, Demang
Lebar Daun, Menteri Bupala dan Batala. Semasa pembukaan Singapura, Seri Teri
Buana berteduh di bawah pokok jambu. Kemudian, tiba-tiba baginda melihat seekor
binatang yang berbulu merah pada tubuh dan mempunyai kepala yang berwarna
kehitam-hitaman serta mempunyai bulu berwarna putih pada dada melintas dengan
agak pantas di hadapan baginda. Seterusnya, baginda bertanyakan nama binatang
berkenaan kepada pengikutnya dan menamakan negeri yang baru dibuka itu dengan
nama haiwan tersebut. Kisah pembukaan negeri Singapura ada diceritakan dalam
Sulalaus Salatin pada halaman ke- 40.
Maka
baginda semayam di bawah pohon jambu laut, dihadap segala Orang Besar-besar ,
berbicara hendak membuat negeri, seraya menitahkan rakyat menebas kayu di
padang itu. Maka segala rakyat pun naiklah menebas, sekonyong-konyong melintas
seekor binatang maha tangkas lakunya merah warna bulu tubuhnya, kehitam-hitaman
kepalanya, dan putih dadanya, sikapnya terlalu perkasa, besar sedikit daripada
kambing randuk. Setelah ia melihat orang banyak itu, lalu ia melompat, ghaib
daripada mereka itu. Maka titah Seri Teri Buana, “Apa nama binatang serupa
itu?”. Maka seorang pun tiada menyahut. Maka sembah Demang Lebar Daun, “
Tuanku, ceritera orang patik dengar,
yang demikian sifat dan kelakuan binatang itu, singa konon namanya, tuanku.”
Maka titah baginda, “ Patutlah kita perbuat negeri tempat ini, kerana binatang
gagah ada di dalamya, dan sebutlah Temasek ini Singapura”, sampailah sekarang
disebut orang ‘Singapura’.
3. PEMBUKAAN PASAI
3. PEMBUKAAN PASAI
Pembukaan
Pasai pula dapat dikaitkan dengan peristiwa anjing Sultan Maliku’s Salleh yang
bernama Si Pasai menyalak di suatu kawasan
tanah tinggi. Negeri yang baru dibuka oleh Sultan Maliku’s Salleh itu
diambil sempena nama anjingnya, Si Pasai. Kisah pembukaan negeri Pasai ada
diceritakan dalam Sulalatus Salatin pada halaman ke-59.
Setelah
berapa lamanya Sultan Maliku’t Tahir dan Sultan Maliku’l Mansur pun besarlah,
dan negeri Perlak pun alah oleh musuh dari seberang, dan orang Perlak pun
pindahlah ke negeri Semundra. Maka
Sultan Maliku’s Salleh pun berfikir dalam hatinya hendak berbuat negeri
akan tempat anakanda baginda, maka titah
Sultan Maliku’s Salleh pada segala Orang Besar-besar , “ Esok hari kita
pergi berburu”. Setelah pagi-pagi hari maka Sultan Maliku’s Salleh pun naiklah
gajah yang bernama Permadewan itu, lalu berangkatlah ke seberang. Datang ke
pantai, maka anjing yang bernama Si Pasai itu pun menyalak , maka Sultan
Maliku’s Salleh pun segera mendapatkan anjingnya itu menyalak tanah tinggi,
sekira-kira luas tempat istana, dengan kelengkapannya terlalu amat baik,
seperti ditempa rupanya. Maka Sultan
Maliku’s Salleh disuruhnya tebas. Setelah sudah maka diperbuatnya negeri, pada
tempat tanah tinggi itu dibuatnya istana, lalu dinamainya negeri itu ‘Pasai’,
menurut nama anjingnya itu.
4. PEMBUKAAN SEMUNDRA
Pembukaan
Semundra pula dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bertemu dengan seekor semut
besar seperti kucing. Merah Silu kemudian makan semut tersebut. Tempat tersebut
dinamakan Semundra yang bermaksud semut
besar. Kisah pembukaan negeri Semundra terdapat dalam Sulalatus Salatin pada
halaman yang ke-57.
Adalah
pada suatu riwayat Merah Silu pergi berburu, maka anjingnya bernama Si Pasai
itu pun menyalak. Dilihat Merah Silu Si Pasai menyalak itu di atas tanah
tinggi, seperti ditimbun orang rupanya. Maka Merah Silu naik di atas tanah
tinggi itu, maka dilihatnya seekor semut besar seperti kucing, maka oleh Merah
Silu semut itu diaambil dan dimakannya. Maka tanah tinggi itu diperbuatnya akan
tempat, dinamainya Semundra ertinya semut besar.
Tahniah. Saya banyak mendapat ilmu baru
ReplyDeletepenyampaian isi yang mudah difahami, tahniah.
ReplyDelete