Sunday, 27 May 2018

UNSUR-UNSUR TERTENTU (HUMOR, PATHOS, MITOS, LAGENDA, AGAMA, ASAL USUL, BINATANG DAN SENTUHAN BUDAYA)

UNSUR SENTUHAN BUDAYA DALAM SULALATUS SALATIN

1)     Adat Penganugerahan Gelaran

Adat ini dimulakan dengan menjemput orang yang bakal menerima gelaran ke istana. Jemputan pula penganugerahan adalah mengikut pangkat dan gelaran yang bakal diterima. Orang besar-besar akan menjemputnya jika mendapat penganugerahan ‘Perserian’. Bagi anugerah ‘Persangan’ hanya orang kecil-kecil sahaja yang akan menjemput orang yang bakal menerima anugerah. Orang yang akan menerima anugerah akan dijemput dengan menggunakan gajah atau kuda. Mereka akan diiringi dengan payung dan gendang se­runai ke istana. Ketika tiba di istana, riwayat mereka akan dibaca dan diberi persalinan mengikut gelaran yang diberikaan oleh raja. Sebagai contoh, anugerah bendahara akan diberi lima ceper persalinan. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:

Jika baginda menggelar orang, maka raja dihadap orang di balairung, orang beradat. Maka dijemput orang itu: jika “Perserian “, Orang Besar-besar menjemput dia; jika “Per­sangan”, orang kecil menjemput dia; jika “Pertuanan” orang sedang menjemput dia; dan jika orang bergelar itu patut bergajah, dibawakan gajah; yang patut berkuda, dibawakan kuda; dan jikalau tiada patut bergajah dan berkuda, dibawa berjalan dengan bingkisan, dengan payung dan gendang se­runai, tetapi payung itu, ada hijau, ada yang biru, ada yang merah, dan sebesar-besamya payung kuning; dan payung putih dengan nagara itu mahal adanya, sebaik-baiknya nafiri. Dan payung kuning itu payung anak raja-raja dan orang besar-besar; dan payung ungu dan merah dan hijau itu payung sida-sida dan ben tara hulubalang sekalian. Adapun payung biru dan hitam itu akan payung barang orang bergelar juga.
(A.  Samad Ahmad,1979: 76)

2) Adat Mengadap Raja di Balairung

Semasa mengadap raja terdapat adat istiadat mengadap raja di balairung. Pembesar-pembesar akan di susun mengikut pangkat kebesaran tersendiri seperti bendahara, penghulu bendahari, dan temenggung akan duduk di seri balai. Anak- anak raja akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Sida- sida yang muda akan duduk berselang-seli dengan bentara dan hulubalang yang berdiri di ketapakan balai memikul pedang. Petikan di bawah menggambarkan aturan mengadap raja di balairung.  Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:

Kemudian dari­pada itu maka Raja Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja dan ulama dan pendita dan segala Orang Besar-besar, dan segala pahlawan yang gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan dan belakang ba­ginda segala Hamba yang khas dan segala yang kepercayaannya.
                 (A.  Samad Ahmad, 1979:5)

Adapun apabila raja dihadap orang di balairung, maka Benda­hara dan Penghulu Bendahari dan Temenggung, dan segala menteri dan Orang Besar-besar, segala sida-sida duduk di seri balai; maka segala anak raja-raja itu duduk dikelek-kelekan balai kiri kanan, dan segala sida-sida yang muda-muda duduk diselang-selang antara Bentara, dan hulubalang muda-muda berdiri di ketapakan balai memikul pedang, dan kapala ben­tara yang di kiri itu, daripada anak cucu menteri yang patut akan menjadi Bendahara dan Penghulu Bendahari dan Temeng­gung; dan kepala bentara yang di kanan itu, daripada anak cucu hulubalang yang akan patut jadi Laksamana dan Seri Bija Diraja; dan barang siapa bergelar Sang Setia bakal Seri Bija Diraja, dan barang siapa bergelar Sang Guna bakal Lak­samana, dan barang siapa bergelar Tun Pikrama bakal Benda­hara.
                                                                                                                    (A.Samad Ahmad, 1979: 75)

3) Istiadat Raja ke Istana

Institusi beraja dalam Sulalatus Sulatin mempunyai kepelbagaian adat istiadat yang mengikut aturan termasuklah adat istiadat raja masuk ke istana. Ketika raja akan ke istana gendang akan dipalu sebanyak tujuh ragam dan nafiri akan dibunyikan. Setelah selesai palukan gendang kali ke tujuh, raja keluar bergajah diarak ke istana. Rakyat yang hadir akan duduk bersila di tanah. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:

Syahadan di Bintan gajah memangku puan baginda, dan Demang Mangku Raja, saudara Demang Lebar Daun, menyan­dang pedang badram belawa, dengan segala penjawat baginda berjalan di hadapan gajah baginda; Menteri Bupala memegang gading kanan, Aria Bupala memegang gading kiri. Maka pa­yung iram-iram kerajaan putih pun terkembanglah empat, serta cogan kerajaan panji-panji alam pun terdirilah. Maka diarak oranglah baginda masuk ke dalam kota Bintan dengan segala bunyi-bunyian diiringkan oleh segala menteri hulu­balang kedua buah negeri itu, terlalu sabur rupanya. Mereka yang melihat bersesak bertindih-tindih sepanjang pasar itu. Maka disuruh arak oleh Wan Seri Beni langsung sekali ke dalam; maka diarak oranglah masuk ke dalam rong sekali, terkepil di atas rong dalam.                                         
                                                                                                                     (A.  Samad Ahmad, 1979:25)

Berdasarkan sulalatus sulatin ini, Raja Iskandar berjalan dihadapan gajah baginda berserta dengan menteri baginda iaitu, Menteri Bupala memegang gading kanan manakala Aria Bupala memegang gading kiri. Orang suruhan baginda akan berjalan dihadapan gajah baginda. Payung iram-iram putih kerajaan juga turut digunakan semasa perarakan tersebut. Segala bunyi-bunyian dimainkan dan diiringi menteri kedua-dua buah negeri melalui pasar sebelum masuk ke balai rong.

4) Adat Menjunjung Duli

Adat menjunjung duli juga terdapat dalam Sulalatus Sulatin. Adat istiadat ini diadakan apabila empat atau lima orang kepala bentara yang terdiri daripada sida-sida akan duduk di Seri Balai. Segala perkakas seperti ketur, kendi, kipas, dan barang yang diselang kedudukannya. Pedang pula berada di sebelah kiri dan kanan. Pedang kerajaan dipikul oleh Laksamana atau Seri Bija Diraja. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:

Syahadan jika menjunjung duli, dahulu kepala bentara yang empat lima orang itu daripada sida-sida yang duduk di Seri balai itu, melainkan segala menteri yang besar-besar. Ada­pun nakhoda Cempa yang pilihan duduk di seri balai; maka segala anak tuan-tuan yang bersahaja-sahaja duduk di selasar balai. Adapun segala perkakas raja, seperti ketur dan kendi, kipas dan barang sebagainya diselang-selang duduknya; me­lainkan puan dan pedang dikelek-kelekan kiri dan kanan; pedang kerajaan itu, Laksamana atau Seri Bija Diraja memi­kul pedang itu.
                                                                                                                     (A.Samad Ahmad, 1979:75)

5) Adat Menyambut Kedatangan Utusan Kerajaan Luar

Adat menyambut utusan juga terdapat dalam Sejarah Melayu ini. Adat istiadat ini diadakan apabila kerajaan menerima kehadiran orang utusan luar yang dalam ke negeri untuk menyampai sesuatu utusan. Dalam Salalatus Salatin ada mengisahkan penerimaan surat dari Pasai atau Haru yang dijemput dengan pelbagai alat kerajaan seperti gendang, serunai, nafiri, negara, payung putih dan lain-lain lagi. Apabila surat sampai ke balai, disambut oleh hulubalang asal iaitu Kepala Bentara dari kanan. Kepala bentara yang dari kiri menyampaikan titah raja kepada utusan, Kepala Bentara yang kanan menyampaikan sembah. Jika surat dari negeri lain, sambutannya kurang sedikit. Sekadar gendang serunai dan payung kuning. Walau bagaimanapun sepersalinan tetap akan diberikan. Jika utusan raja besar yang hadir akan diberi payung kuning dan putih. Sambutan ini dibuat secara besar-besaran. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:

Dan apabila utusan datang atau pergi, ceper dan kerikal dibawa hamba raja dari dalam, maka disambut oleh kepala bentara yang di kanan, kerikal itu diletakkan had Bentara. Maka ceper dan tetampan diberikan pada orang yang membawa surat. Kija surat dari Pasai atau dari Haru, dijemput dengan selengkap alat kerajaan: Gendang, serunai, nafiri, negara, payung putih dua berapit: melainkan mendeli juga yang tiada pergi menjemput itu: dan menteri mengepalakan gajah, dan bentara di buntut gajah: sida-sida membawa surat dengan penghulu biduanda kecil; dan gajah dikepilkan di hujung balai, kerana raja dua buah negeri itu sama besarnya dengan raja Melaka, tua muda sekaliannya berkirim salam jua.
(A.Samad Ahmad, 1979:76)

6) Adat Memberi Persalinan
Adat persalinan ini diadakan kepada utusan. Persalinan merupakan pakaian akan diberikan kepada utusan mengikut darjat. Adat diceritakan dalam Salalatus Salatin jika Bendahara lima ceper persalinan, anak raja empat ceper, tidak ada ikat pinggang. Bendahara sida-seda hulubalang, kita ceper. Orang bersalin memakai pontoh dan petam. Cara memakai pontoh mengikut  gelaran dan darjat. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:

Maka datanglah persalin; jika akan jadi Bendahara, lima ceper persalinannya; baju seceper, kain seceper, destar seceper, sebai seceper, ikat pinggang seceper; jikalau anak raja-raja dan para menteri cateria empat ceper juga, ikat pinggang tiada; jikalau bentara sida-sida hulubalang tiga ceper; kain seceper, baju seceper, destar seceper, ada yang semunya sekali seceper, ada yang tiada berceper, kain, baju destar di biru-biru sahaja, maka diampu oleh hamba raja, datang pada orang bergelar itu disampaikan di lehernya. Maka dipeluk oleh orang itu lalu dibawanya keluar. Dan jila persalinan utusan, demikian juga adatnya, masing-masing pada patutnya.
(A.Samad Ahmad, 1979:77)

7) Adat Raja Berangkat Pada Hari Raya Secara Berusungan

Raja akan berangkat dengan usungan.  Kepala usungan kanan akan dipegang oleh Penghulu  Bendahari   dan sebelah kiri oleh Laksamana.  Di sebelah belakang pula Menteri Kedua.  Hulubalang berjalan di hadapan raja dengan membawa alat kerajaan di kiri dan kanan,  sementara Bentara memikul pedang.  Bendahara berjalan di belakang raja dengan kadi, pakeh segala orang besar dan segala menteri yang tua. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:

Syahadan apabila raja berangkat hari raya berusung, Penghulu Bendahari memegang kepala usungan yang di kanan, dan yang di kiri  Laksamana, dan di belakang itu Menteri keduanyya memegang dia, dan pada rantai dekat kaki raja. Seri Bija Diraja memegang dia; dan bentara, hulubalang berjalan dahulu di hadapan raja, masing-masing dengan jawatannya. Segala alat kerajaan dibawa orang berjalan di hadapan raja, tombak kerajaan sebatang sebatang dari kiri dan sebatang dari kanan; di hadapan raja segala bentara memikul pedang, dan dihadapan sekali segala orang yang berlembing adapun jogan di hadapan raja, dan di hadapannya gong gendang dan segala bunyi-bunyian, negara dari kanan, nafiri dari kiri; jikalau berjalan, lebih kanan daripada kir; pada kedudukan, lebih kiri daripada kanan …
(A.Samad Ahmad, 1979:78)

8) Adat Menyambut Hari Raya

Bendahara dan segala Orang Besar-besar akan duduk berkampung dan usungan akan diarak oleh Penghulu Bendahari.   Apabila usungan tiba, segala orang yang duduk dibalai turun berdiri, beratur bersaf-saf gendang akan dipalu tujuh ragam, diiringi nafiri. Selepas tujuh kali, raja berangkat menaiki gajah dan diarak ke masjid dan barulah ke istana.

9) Adat Raja Menunggang Gajah

Temenggung berada di bahagian kepala gajah, Laksamana di buntut gajah dan bebtara pula memikul pedang kerajaan. Orang besar-besar berada di sebelah kiri gendang dan orang berpangkat rendah berada di sebelah kanan gendang. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:
Bermula jika raja bergajah, Temenggung di kepala gajah, Laksamana atau Seri Bija Diraja di buntut, bentara memikul pedang kerajaan. Adapun jika mengadap nobat, barang orang Besar-besar dari kiri gendang; barang orang kecil dari kanan gendang. Adapun yang kena sirih nobat pertama Bendahara dan anak raja-raja …
(A.Samad Ahmad, 1979:78)

10) Adat Menyambut Malam Tujuh Likur Atau Malam Dua Puluh Tujuh

Pada waktu siangnya sejadah akan diarak ke masjid. Temenggung akan gajah, puan serta segala alat kerajaan dan gendang akan dibawa terlebih dulu ke masjid.  Keesokannya, laksamana akan mengarakkan serban. Raia-raja Melayu akan berangkat ke masjid bertengkolok dan berbaju sarung. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:

Syahadan jika malam dua puluh tujuh, tatkala pada siangnya mengarak sejadah ke masjid, Temenggung mengepalakan gajah; maka puan segala alat kerajaan dan gendag, semuanya diarak dahulu ke masjid. Setelah malam maka raja berangkat seperti adat hari sembahyang terawih, sudah itu berangkat kembali. Setelah esok harinya maka Laksamana mengarak serban, adat raja-raja Melayu berangkat ke masjid bertengkolok berbaju sarung, itulah yang jadi larangan pada orang kahwin; barang siapa yang dikurnia maka beroleh memakai dia; dan memakai cara Keling itu pun larangan lagi, melainkan barang siapa sedia pakaian, dapatlah dipakainya sembahyang dan kahwin.
                                                                                                                   (A.Samad Ahmad, 1979:79)

11) Adat istiadat perkahwinan Diraja

Adat ini dimulakan dengan adat meminang dan adat berjaga-jaga selama empat puluh hari empat puluh malam.  Setelah selesai adat berjaga-jaga itu barulah diadakan majlis akad nikah.  Misalnya perkahwinan antara Raja Omar dengan Raja Fatimah, bermula dengan menghantar sirih pinang dan emas belanja, perarakan dengan gajah dan akad nikah oleh kadi. Raja Omar dan Raja Fatimah dihiasi dengan pakaian kerajaan yang bertahtakan ratna mutu intan baiduri. Kemudian Raja Omar dinaikkan ke atas gajah dan diarak dengan bunyi-bunyian. Sambutan perkahwinan Diraja disambut dengan meriah sekali. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:

Setelah genaplah empat puluh hari empat puluh malam berjaga-jaga itu, kepada keesokan harinya, maka Raja Omar dan Raja Fatimah pun dihiasi oranglah dengan pakaian kerajaan kerajaan yang bertahtakan ratna mutu intan baiduri. Setelah itu maka Raja Omar pun dinaikkan orang ke atas gajah, Tun Nara Wangsa di kepala, dan Tun Mat Ali, anak Laksamana Hang Nadim di buntut; maka diaraklah dengan selengkap alat kerajaan dan dengan segala bunyi-bunyian, gendang, serunai, nafiri, negara, madeli, terlalu azamat bunyinya, bercampur dengan bunyi bedil pegawai istinggar, seperti kacang direndang; diarak lalu ke dalam, maka gajah pun terkepillah di astaka balai.maka Sultan Alau’d-Din sendiri menyambut tangan anakanda baginda, Rja Omar, sebelah kanan dan Bendahara sebelah kiri, dipimpin ke seri balai, didudukkan di atas ciu yang keemasan; maka tampillah kadi menikahkan baginda.
(A.Samad Ahmad, 1979:300)

UNSUR HOMUR

Ada seorang keeling, Miaruzu namanya, ikut askar Melaka melanggar Haru. Ketika ia hendak buang air, bertemu dengan seekor kambing randuk, kerana takut, ia menyangka kambing itu askar Haru, ia lari tunggang-langgang. Perbuatan ini menggemparkan askar-askar Melaka, Miaruzul memberitahu:
“Kita bertemu Haru tua, kita hudap ia Zughul, kita zughul ia hudap”. Tetapi bila disiasat ternyatalah hanya seekot kambing randuk.  Peristiwa itu melucukan lalu dibuat pantun mellaui kata-kata Miaruzul itu
(Sejarah Melayu)

Humor ialah perbuatan yang menimbulkan kelucuan. Dalam Sejarah Melayu terdapat unsure-unsur humor yang diceritakan oleh pengarang. Humor mempunyai nilai estetika dan memberi keindahan kepada sesebuah karya agung. Dalam petikan diatas dinyatakan sebagai terdapat keindahan unsur humor kerana seorang keling itu dengan perasaan takut tersebut sehingga menganggap seekor kambing ranuk dibayangkan sebagai askar Haru sednagkan itu adalah jauh bezanya. Teknik humor yang digunakan pengarang mampu untuk memberikan nilai estetik kepada sesebuah karya agung itu sendiri.

UNSUR PATHOS

Pengertian/Maksud:
- Istilah berasal dari perkataan Greek.
- Membawa maksud ->• penderitaan atau rasa kesedihan atau kepiluan.
- Dari segi kesusasteraan, pathos merupakan unsur yang meransangkan daya rasa kasihan, kesedihan dan dukacita dalam diri pembaca.
- Menggambarkan sifat-sifat berserah, perihal penderitaan yang tidak tertanggung, atau kesengsaraan kerana menanggung dukacita yang amat mendalam.

UNSUR PATHOS DALAM SULALATUS SALATIN.
1. Pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi keamanan negeri.
Hal ini dapat dilihat dalam kisah Sultan Muzaffar Syah terpaksa menceraikan isteri kesayangannya Tun Kudu demi menyelesaikan perbalahan antara Seri Nara Diraja Tun Ali dengan Tun Perak.
Sebagai seorang wanita yang masih muda, Tun Kudu turut terpaksa menanggung penderitaan diceraikan demi kepentingan keamanan Melaka. Kemudian berkahwin pula dengan Seri Nara Diraja Tun Ali yang telah tua. Namun Tun Kudu tidak ada pilihan. Penentuan hidupnya terserah kepada ketentuan kuasa dipihak lelaki lebih-lebih lagi atas titah sultan.

2.Pembunuhan terhadap orang yang tidak berdosa oleh pemerintah hanya kerana faktor dendam dan benci dan fitnah.
Ini bermakna tindakan pemerintah yang menjatuhkan hukuman bunuh terhadap seseorang yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Buktinya dapat dilihat dalam peristiwa pembunuhan terhadap Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, Tuan Jana Khatib, Tun Besar, Tun Ali Sandang dan sebagainya yang berpunca daripada rasa dendam dan benci. Contoh:
a. Pembunuhan terhadap Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir misalnya berpunca daripada dendam Sultan Mahmud Syah terhadap Tun Mutahir kerana tidak menunjukkan Tun Fatimah kepada baginda terlebih dulu sebelum dikahwinkan dengan Tun Ali. Ditambah pula dengan fitnah yang disampaikan oleh Raja Mendaliar dan Kitul yang memfitnah Bendahara Tun Mutahir ingin merampas tahta kerajaan Melaka.
Dalam suasana hidup yang tenang, bahagia bersama keluarga, hidup mewah dan mempunyai kedudukan (diceritakan Bendahara Seri Maharaja pembesar terkaya di Melaka) tiba-tiba berhadapan dengan malapetaka dan kemusnahan diri sendiri serta ahli-ahli keluarga tentu sekali penderitaan yang dirasai tidak tertanggung.
Turut dirasai penderitaan ini ialah Tun Fatimah yang terpaksa menghadapi kehilangan suami, ayah dan keluarga secara tragis, difitnah akan menderhaka kepada raja. Kesan kesakitan dan penderitaan Tun Fatimah diceritakan dalam Sulalatus Salatin bahawaTun Fatimah tidak pernah tersenyum selama menjadi isteri Sultan Mahmud Syah.

b. Pembunuhan kejam ke atas Tuan Jana Khatib oleh Paduka Seri Maharaja juga menimbulkan unsur pathos kerana tidak setimpal dengan kesalahannya menilik batang pinang hingga terbelah dua di hadapan permaisuri Singapura. Pembunuhan akibat rasa cemburu dan tanpa alasan kukuh ini amat kejam dan menimbulkan simpati pembaca terhadap watak tersebut.

c. Pembunuhan ke atas anak Sang Rajuna Tapa. – Anak Sang Rajuna Tapa merupakan gundik kepada Raja Iskandar Syah. Dia telah difitnah dan dijatuhkan hukuman bunuh secara yang amat kejam dan mengaibkan iaitu disula dihujung pasar.

d. Pembunuhan Tun Besar gara-gara bermain sepak raga.

e. Pembunuhan Sultan Abu Syahid oleh Raja Rekan. Orang yang tidak berdosa menjadi mangsa balas dendam dan tamak kuasa.

3. Terkorban kerana menegakkan keadilan dan perbezaan prinsip:
Buktinya tergambar dalam episod pertikaman dan pembunuhan Hang Jebat oleh sahabatnya Hang Tuah.
Kesedihan, kepiluan dan rasa penyesalan yang bukan sahaja dirasai oleh watak-watak tetapi turut dirasai oleh kita sendiri sebagai pembaca ketika mengikuti episod pertikaman antara dua orang sahabat baik iaitu antara Hang Tuah dan Hang Jebat.
Kita merasa sedih kerana pengorbanan Hang Jebat untuk membela penganiayaan ke atas sahabatnya Hang Tuah yang dihukum bunuh hanya kerana fitnah dan tanpa usul periksa oleh Sultan Mansur Syah akhirnya membawa kecelakaan pada dirinya kerana pada zaman itu tindakan Hang Jebat bertentangan dengan sistem sosial yang menjadi amalan masyarakat Melayu .
Hal ini terjadi kerana perbezaan prinsip di antara dua sahabat tersebut. Hang Tuah berpegang dan menjunjung prinsip “Pantang Melayu Derhaka kepada raja” sebaliknya Hang Jebat berpegang kepada prinsip “ Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah”
Berpegang kepada prinsip itu Hang Tuah tidak boleh sama sekali bertolak ansur terhadap sesiapa sahaja yang menderhaka kepada rajanya. Sebagai seorang hamba yang setia kepada tuannya, Hang Tuah menepikan rasa persahabatan/persaudaraannya terhadap Hang Jebat. Hang Tuah tetap menurut titah raja. Kesetiaan Hang Tuah tidak berbelah bagi kepada raja Melaka. Sungguhpun Hang Jebat menderhaka kerana membela "kematian" Hang Tuah, namun kesetiaan Hang Tuah tidak ada tandingannya .

4. Rakyat menjadi mangsa kesetiaan kepada pemerintah.
Kepedihan dan kesakitan yang dirasai oleh rakyat dan hulubalang Singapura akibat tercedera diserang todak berlaku kerana kesetiaan mereka terhadap pemerintah. Titah raja Singapura tidak boleh dibantah. Kisah ini berlaku dalam episod Singapura dilanggar todak
- Titah raja supaya rakyat berkubukan betis (tubuh badan) telah menyebabkan ramai rakyat terkorban dan cedera parah.
- Dalam episod ini juga, berlaku peristiwa tragis yang amat mengusik perasaan belas kasihan serta kepiluan hati apabila mendapati budak cerdik yang telah berjasa menyelamatkan Singapura daripada serangan todak itu tidak diberi penghargaan sewajarnya. Sebaliknya budak cerdik ini telah menjadi korban fitnah akibat perasaan iri hati pembesar-pembesar negeri. Begitu juga seksa keluarga budak cerdik ini menanggung penderitaan kematian anak mereka kerana berjasa kepada negara.
- Budak cerdik ini tidak berdosa belum mengenal pancaroba dunia dihukum bunuh, mati dalam keadaan terseksa benar-benar meninggalkan kesan pada jiwa kita.
5. Penganiayaan dan penafian hak terhadap pewaris tahta juga merupakan suatu unsur pathos.
Ini terlihat dalam peristiwa penyingkiran Raja Kassim daripada menaiki tahta Kerajaan Melaka oleh Puteri Rekan. Raja Kassim sepatutnya menaiki tahta selepas kemangkatan Sultan Muhammad Syah, tetapi telah dinafikan haknya oleh Puteri Rekan yang bertindak melantik anaknya Raja Ibrahim sebagai sultan Melaka. Raja Kassim diusir dari istana dan menjadi nelayan di pantai Melaka. Peristiwa penyingkiran ini menimbulkan rasa simpati dan belas kasihan khalayak terhadap Raja Kassim.

KESAN PENERAPAN (PENGGUNAAN) UNSUR PATHOS

1. Unsur pathos dapat melahirkan rasa sedih, marah, simpati, benci dan kasihan khalayak terhadap watak-watak yang menjadi mangsa dalam cerita atau karya.
Pembaca dapat melahirkan/meluahkan perasaan yang dirasai atau dialami setelah membaca sesebuah karya. Perasaan seperti simpati, sedih, pilu dan belas kasihan, kepada watak-watak yang teraniaya. Sebaliknya timbul rasa benci terutama kepada watak-watak yang zalim dan kejam.
MIsalnya peristiwa pembunuhan Tuan Jana Khatib, Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, Tun Besar dan lain-lain yang dibunuh di atas kesalahan yang tidak setimpal dengan hukuman yang diterima menyebabkan timbul perasaan sedih, marah, kasihan dan sebagainya terhadap mereka oleh khalayak / pembaca.

2. Unsur Pathos juga dapat memberi pengajaran, teladan, keinsafan kepada pembaca setelah menghayati cerita/episod tersebut. Kita boleh mengambil iktibar di sebalik kisah-kisah yang berlaku itu.
Misalnya peristiwa kematian Hang Jebat di tangan Hang Tuah memperlihatkan bahawa nilai persahabatan yang ditunjukkan oleh Hang Jebat langsung tidak dihargai oleh Hang Tuah malah sanggup pula bertindak membunuh Hang Jebat.
Dari peristiwa tersebut pembaca boleh mengambil pengajaran, iaitu kita hendaklah bersifat setiakawan dan menghargai pengorbanan seorang sahabat. Golongan pemerintah pula tidak sepatutnya melakukan kezaliman terhadap rakyat yang tidak berdosa seperti yang berlaku dalam peristiwa pembunuhan Tuan Jana Khatib, Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dan sebagainya.

3. Unsur pathos dapat menimbulkan unsur suspens / ketegangan kepada khalayak / pembaca.
Dengan kata lain unsur pathos dapat menarik minat pembaca mengikuti cerita hingga akhirnya. Dengan mengikuti cerita-cerita yang mengandungi unsur sedih, kecewa, pilu dan menyayat hati, kita sentiasa rasa ingin tahu kesudahan cerita kesan tindakan watak-watak dalam cerita tersebut. Unsur suspens/tegangan ini menjadikan cerita menarik.
Misalnya dalam episod penyingkiran Raja Kassim sebagai pengganti sultan oleh Puteri Rekan menyebabkan khalayak tertanya-tanya apakah kesudahan nasib yang akan dialami oleh Raja Kassim.

4. Unsur pathos berkesan untuk menjadikan cerita semakin kompleks dan penuh permasalahan.
Di dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu terdapat pelbagai peristiwa dan konflik dipaparkan dengan tujuan menjadikan cerita lebih kompleks. Pembaca akan dibuai oleh berbagai-bagai perasaan ketika mengikuti episod demi episod cerita tersebut. Keadaan seperti ini merupakan suatu tarikan pada karya tersebut.
Misalnya dapat dilihat dalam peristiwa penyingkiran Raja Kassim dari tahta Melaka. Sekiranya Raja Kassim tidak disingkir kemungkinan cerita tidak menjadi sebegitu rumit dan permasalahan tidak akan wujud.
Jelaslah bahawa penganiyaan dan penafian hak ke atas Raja Kassim tersebut telah menjadikan cerita lebih kompleks, apabila baginda terpaksa menjadi rakyat biasa dan nelayan. Peristiwa tersebut telah mewujudkan permasalahan baru iaitu peristiwa rampasan kuasa.

5. Unsur Pathos memberi kesan tersendiri kepada pembaca.
Pembaca akan merasa seolah-olah turut terlibat dalam peristiwa yang berlaku dan turut sama merasai apa yang dialami oleh watak-watak dalam cerita.


UNSUR MITOS

Dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, terdapat beberapa peristiwa berunsur mitos yang ditulis untuk tujuan yang khusus. Antaranya termasuklah untuk menggambarkan kepercayaan sesuatu anggota masyarakat ataupun untuk mengkritik raja secara halus. Yang berikut adalah antara beberapa contoh mitos tersebut :

1. Peristiwa Badang menjadi gagah setelah makan muntah hantu - Badang telah beroleh kekuatan dan kegagahan yang sangat luar biasa setelah memakan muntah hantu yang mencuri hasil tangkapannya. Kegagahan Badang yang luar biasa itu telah membolehkan dia mencabut pokok-pokok kayu Yang besar dengan akarnya sekali dan hal ini menggembirakan majikannya kerana ladangnya telah dapat dibersihkan dalam masa yang singkat.

2. Peristiwa ikan todak menyerang Singapura - peristiwa ini berlaku semasa Singapura diperintah oleh Paduka Seri Maharaja. Banyak rakyat negeri itu yang mati ditikam oleh ikan todak yang mampu melompat hingga ke pantai. Untuk mengatasi serangan tersebut, Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkubukan betis tetapi perintah itu lebih banyak menyebabkan kematian dan kecederaan kepada rakyat yang terlibat. Akhirnya, serangan ikan todak itu dapat diatasi melalui kebijaksanaan seorang budak yang menyarankan penggunaan batang pisang sebagai kubu. serangan ikan todak tersebut ada kaitannya dengan pembunuhan Tuan Jana Khatib yang "mahir akan ilmu khayal lillah lagi tamam dua belas".

3. Peristiwa Sang Rajuna Tapa menjadi batu - peristiwa ini menimpa Sang Rajuna Tapa kerana dia telah mengkhianati Raja Iskandar Syah. Pengkhianatan itu dilakukannya selepas Raja Iskandar membunuh anak perempuannya dengan cara yang sangat memalukan dirinya. Untuk membalas perbuatan Raja Iskandar Syah itu, dia telah bersekongkol dengan Majapahit yang menyebabkan Singapura jatuh ke tangan kuasa besar itu.

UNSUR LAGENDA

Menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986), legenda merupakan kisah-kisah mengenai keperibadian dan keunggulan dalam peribadi yang dimiliki oleh tokoh-tokoh manusia tertentu, tokoh-tokoh yang berkemungkinan besar memang hidup dalam sejarah umpamanya.  Seterusnya, tokoh-tokoh ini pula tidak sunyi daripada dikaitkan dengan tokoh-tokoh yang ada hubungannya dengan kekuatan politik dan agama.

Di samping itu, keunggulan tokoh-tokoh ini sering dihubungkaitkan dengan watak-watak istimewa dan supernatural seperti gagah, berani, kuat, pintar dan bijak, mempunyai kebolehan dan kekuatan batin yang luar biasa serta sangat terkenal dalam sejarah tempatan sesuatu masyarakat.  Justeru, legenda menjadi kebanggaan bahkan kerap diteladani oleh masyarakat setempat, lalu menjadi milik seluruh masyarakat tersebut.Berdasarkan hal tersebut, dapatlah diketahui bahawa legenda ini mempunyai fungsinya yang tersendiri.

Masyarakat Melayu amat sinonim dengan konsep ‘tulah raja’. Barangsiapa yang menderhaka kepada sultan atau raja, mereka akan mendapat hukuman atau terkena ‘tulah raja. Sehubungan dengan itu, antara fungsi legenda menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163) adalah untuk memperkuat konsep ‘daulat’, ‘taat’ dan ‘derhaka’ dalam masyarakat Melayu.

Sesuai dengan hal ini, Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah telah diangkat menjadi model atau simbol kepada ketiga-tiga konsep tersebut. Hal ini dapat dilihat apabila ia sanggup membunuh sahabat baiknya sendiri, iaitu Hang Jebat yang pada pandangannya telah menderhaka kepada Sultan mereka, iaitu Sultan Mansur Syah sebagai tanda taat dan setianya yang tidak berbelah bahagi kepada rajanya. Selain itu, Hang Tuah juga sanggup mati untuk memenuhi kehendak sultan Melaka pada ketika itu (Hasbullah Ibrahim dan Noor Aini Shaari, 1993). Beliau diceritakan sanggup untuk masuk ke dalam kubur disebabkan sultannya yang ingin mengetahui keadaan sebenar di dalam kubur.

Seterusnya, legenda juga berfungsi untuk memuji serta menunjukkan kekuatan fizikal dan mental orang-orang Melayu. Hal ini dapat digambarkan melalui kebijaksanaan Sultan Mansur Syah dalam mentadbir kerajaannya. Baginda bertindak menjalin hubungan diplomatik dengan beberapa buah kuasa besar sebagai langkah berjaga-jaga. Meskipun Siam pada ketika itu telah menyerang Melaka sebanyak dua kali dan tewas, namun itu bukanlah bermakna mereka tidak akan menyerang Melaka lagi. Maka, Sultan Mansur Syah telah membuat keputusan untuk berbaik-baik dengan Siam.  Hal ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan keamanan kerajaan Melaka. Berikut merupakan petikan kata-kata baginda:
“Apa bicara tuan hamba sekalian, baiklah kita menyuruh ke benua Siam; apa sudahnya kita beralangan selama ini; kita kelahi dengan dia pun tidak, dan berdamai pun tiada…”
                                                                                                                     (Sulalatus Salatin, hlm. 107)

Hal tersebut jelas menunjukkan kebijaksanaan Sultan Mansur Syah yang secara tidak langsung telah mengangkat kehebatan orang Melayu. Tujuan tokoh ini ditampilkan adalah untuk memuji ketangkasan mental dan fizikal orang-orang Melayu, sebagaimana Sejarah Melayu dalam memetik kata-kata Betara Majapahit;
“Adapun orang Melayu ini terlalu cerdik daripada segala orang negeri lain; pada sebarang permainan pun tewas juga orang lain oleh orang Melaka”.
                                                                                                                       (Sulalatus Salatin, hlm. 22)
     
Selain itu, legenda turut berfungsi menguatkan keyakinan orang Melayu terhadap agama Islam. Hal ini dapat dilihat daripada kisah Tok Senik di Beserah yang merupakan seorang pemimpin agama telah bertindak membuka Pekan Beserah setelah merantau dari satu tempat ke satu tempat di utara Semenanjung Tanah Melayu (Aripin Said, 1996: 57).

Kisah ini menunjukkan betapa pengaruh seorang pemimpin agama itu sangat memberi kesan yang besar kepada orang di sekelilingnya. Hal ini demikian kerana, ketika Tok Senik datang ke pekan tersebut yang pada asalnya masih belum mempunyai nama, beliau terus mencadangkan nama Pekan Beserah kerana dikaitkan dengan kehidupan seorang Islam yang sentiasa berserah kepada Allah dalam apa-apa jua perkara.  Kisah ini juga telah dibawa turun-temurun oleh rakyat tempatan dan dipercayai ramai.  Pada masa yang sama, perkara ini juga sebenarnya mampu mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap sesuatu tokoh dan peristiwa bercorak sejarah.

Selanjutnya, legenda juga direka adalah untuk menonjolkan tokoh-tokoh legenda.  Sebagai contoh, watak Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah.  Hang Tuah diceritakan dan dilambangkan sebagai seorang yang sangat gagah perkasa. Sebagai buktinya, dia dapat mengalahkan orang Jawa yang mengamuk dan kemudiannya dilantik menjadi laksamana (Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 162). Sehubungan dengan itu, perihebatnya tokoh ini di mata masyarakat telah digambarkan dalam Sejarah Melayu:

“Adapun akan Laksamana Hang Tuah barang tempat ia pergi, gegak-gempita bunyi orang daripada hebat melihat sikap lakunya. Jika ia peseban, peseban gempar; jika ia di panggungan, panggungan gaduh dan segala perempuan Jawa anak-anak dara, jikalau ia berjalan ke pasar atau barang ke mana, banyaklah yang gila akan Hang Tuah itu. Dan apabila Hang Tuah lalu, perempuan di dalam pangkuan lakinya itu pun bangun hendak melihat Hang Tuah; itulah dipantunkan Jawa…
Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menonjolkan tokoh Hang Tuah itu sendiri sekaligus mengangkat watak tersebut. Fungsi legenda yang seterusnya adalah untuk memberikan hak legalisasi terhadap raja-raja yang berkenaan (Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 163). Berhubung dengan hal ini, perihal menghubungkan tokoh-tokoh bersejarah dengan tokoh-tokoh legenda zaman dahulu sebenarnya bukanlah dibuat secara kebetulan, sebaliknya ada kepentingannya yang tersendiri, iaitu untuk kepentingan politik.

Keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa tokoh-tokoh sejarah yang dihubungkaitkan  dengan unsur-unsur legenda ini ialah raja-raja sendiri. Hal ini demikian kerana, mereka berpendapat adalah menjadi haknya merajai sesebuah kerajaan kerana keturunannya sendiri berasal daripada raja-raja, baik raja tersebut muncul dalam bentuk mitos mahupun legenda.  Menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163), raja-raja ini berpendapat mereka bukan daripada manusia biasa dan dijadikan daripada hukum akal dan bersifat biologis.

            Di samping itu, legenda turut berfungsi untuk memperingati peristiwa penting yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Hal ini sangat penting bagi memastikan kelestarian cerita-cerita terdahulu yang boleh dijadikan panduan buat generasi terkemudian baik sebagai hiburan, pengetahuan mahupun peringatan. Hal ini dapat dilihat dalam Hikayat Hang Tuah yang mengisahkan pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat. Kisah ini secara tidak langsung dapat membuatkan orang ramai memperingati peristiwa tersebut dan dibawa turun-temurun dari generasi ke generasi.

 Akhir sekali, legenda juga berfungsi menceritakan salasilah raja-raja.  Hal ini dapat dibuktikan melalui Hikayat Raja-raja Pasai, iaitu mengenai salasilah Merah Silau atau Sultan Malikul Saleh, yakni nama baginda selepas memeluk Islam.Pada awal hikayat ini ada disebutkan tentang salasilah Merah Silau dari awal yang bermula daripada kisah Raja Ahmad dan Raja Muhammad yang masing-masing menjumpai seorang kanak-kanak (Puteri Betung) daripada buluh betung dan seorang lagi dijumpai bersama-sama dengan seekor gajah (Merah Gajah).  Setelah kedua-dua mereka membesar, mereka pun dikahwinkan dan dikurniakan dua orang cahaya mata, iaitu Merah Silau dan Merah Hasum (Russell Jones, 1997).

 Secara umumnya, legenda-legenda ini sengaja diwujudkan dengan tujuan-tujuan tertentu yang dihubungkan dengan seseorang tokoh, raja, pahlawan, ulama dan sebagainya.  Pelbagai sanjungan diberikan kepada individu-individu tersebut. Di samping itu, sanjungan tersebut pula lahir sesuai dengan fungsinya yang berfungsi memperbesar-besarkan taraf, keturunan dan kedudukan raja yang disanjung.

UNSUR AGAMA

UNSUR-UNSUR ISLAM DALAM SULALATUS SALATIN: SEJARAH KEDATANGAN ISLAM DI PASAI DAN MELAKA
Penceritaan mengenai kemasukan Islam ke Pasai dan Melaka telah dimetoskan Di Pasai, Merah Silu diislamkan oleh Fakir Muhammad. Pada malamnya bermimpi berpandangan dengan Rasulullah. Rasulullah meminta baginda menganga mulut. Diludahinya, pada keesokannya badannya berbau narawastu Baginda dapat membaca al-Quran tanpa diajar, kemudian menukar namanya kepada Sultan Malikul Salleh.

    Di Melaka, Raja Kecil Besar bermimpi berpandangan dengan keelokkan Rasulullah. Rasulullah meminta baginda mengucap dua kalimah syahadat dan meminta Raja Kecil Besar menukar namanya kepada Raja Muhammad. Keesokan harinya didapati badannya berbau narawastu dan kalam sudah dikhatankan. Baginda dapat membaca al-Quran.Mimpi baginda menjadi kenyataan dimana pada waktu asar kapal Syed Abdul Aziz turun ke pantai Melaka dan beliau bersembahyang di situ.

  Tujuan dimitoskan kedatangan Islam ini adalah bertujuan mengagungkan Islam. Ia memberi gambaran bahawa Islam benar-benar berkembang di Melaka, bermula di istana Melaka dan terus berkembang di kalangan rakyat jelata. Raja Melaka pertama beragama Islam ialah Sultan Muhammad Syah. Gelaran Sultan digunakan setelah Melaka memeluk Islam.
1. PENYEBUTAN DAN PENONJOLAN TOKOH-TOKOH ISLAM
Tokoh Iskandar Zulkarnain adalah pahlawan Islam yang terkenal gagah berani dalam menaikkan martabat Islam di dunia. Tokoh ini dikaitkan dengan asal usul keturunan raja Melaka bertujuan untuk menunjukkan keagungan raja. Tokoh-tokoh lain yang disebut seperti tokoh pahlawan Islam yang terkenal Amir Hamzah Tokoh-tokoh pendakwah Islam, ulama-ulama Islam dari Asia Barat datang ke Melaka bertujuan mengembangkan agama Islam dan mengajar ilmu Islam berpusat di istana Melaka.Tokoh-tokoh tersebut seperti : Syed Abdul Aziz Maulana Abu Bakar Kadi Yusuf Maulana Sadar Jahan Tokoh-tokoh ini diberi penghormatan dan pengiktirafan tinggi di istana Melaka. Mereka sangat berpengaruh terutama dalam soal-soal berkaitan dengan hal-ehwal keagamaan.

2. ADAT ISTIADAT DAN PERUNDANGAN
Unsur-unsur Islam terdapat dalam adat istiadat dan perundangan yang diamalkan kerajaan Melaka. Ia meliputi : Upacara akad nikah kahwin Perayaan-perayaan hari kebesaran Islam seperti menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Korban Adat-adat seperti berkhatan.

    Amalan wasiat menjadi suatu amalan kepada raja-raja Melaka yang mangkat meninggalkan wasiat kepada pembesar negeri dan putera mahkota. Misalnya, wasiat kepada Raja Ahmad. Juga wasiat Sultan Alauddin Riayat Syah kepada Sultan Mahmud. Melalui wasiat ini ia terselit serta kaya dengan unsur-unsur pengajaran dan nasihat yang bersumberkan al-Quran dan hadis.

3. KARYA-KARYA KESUSASTERAAN ISLAM
Istana Melaka meyimpan karya-karya sastera Islam seperti pahlawan Islam yang terkenal iaitu Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah. Hikayat-hikayat ini dibaca oleh panglima-panglima Melaka untuk menaikkan semangat keperwiraan menentang musuh/Peringgi. Penceritaan diselit dengan puisi Arab iaitu syair. Penggunaan puisi atau bidalan Arab ini dalam menjelaskan sesuatu gambaran berkesan memberi nilai estetika pada teks tersebut.
Contohnya menggambarkan keadaan Sultan Mahmud Syah ketika melihat kecantikan Tun Fatimah.

4. PENDIDIKAN DAN PERKEMBANGAN ILMU KEISLAMAN
Istana digambarkan sebagai pusat pengajian ilmu-ilmu Islam. Contohnya : Pasai sebagai pusat bermuzakarah mengenai ilmu fiqah menikut mazhab Shafie Istana merupakan pusat pengajaran Islam di mana sultan dan pembesar turut belajar dan menuntut ilmu. Ulama-ulama,guru-guru agama dan pendakwh berkumpl di istana.

       Contohnya Maulana Sadar Jahan dari Jeddah mengajar di Melaka. Maulana Yusof mengajar tasawuf. Kitab-kitab agama seperti Kitab Darul Mazlum dibawa ke Melaka oleh Maulana Abu Bakar dan diajar di istana Melaka. Sultan Mansur Syah turut belajar kitab itu. Utusan Melaka ke Pasai menyelesaikan masalah-masalah berkait ilmu Islam kerana di Pasai ramai ulama-ulama berkumpul dan bermuzakarah tentang ilmu-ilmu keislaman.

5. TEKNIK PENULISAN SULALATUS SALATIN
Mukadimmah dimulai dengan Bismillahirrahmanir-rahim. Dalam mukadimah juga disertakan ayat-ayat al-Quran dan diikuti pula dengan terjemahan dalam Bahasa Melayu. Bagi menjelaskan sesuatu atau sebagai perbandingan,pengarang memasukkan syair dan bidalan Arab dengan disertakan terjemahannya sekali.

   Struktur penulisan menggunakan gaya khutbah. Ini jelas ketika memberi nasihat yang meleret-leret dalam wasiat. Penggunaan kalimat-kalimat Arab-Parsi digunakan dalam ayat antaranya Syahbandar, alam, bahara, sahibul hikayat dan lain-lain.

UNSUR ASAL USUL

SALASILAH RAJA-RAJA MELAYU
Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin turut dikenali sebagai peraturan segala raja-raja. Karya ini turut menceritakan tentang salasilah Raja-Raja Melayu Melaka. Menurut seorang sarjana Inggeris Roolvink, Sejarah Melayu ini asalnya dari Sulalatul Salatin yang bermakna salasilah raja-raja. Berdasarkan kenyataan ini, Sulalatul Salatin itu dahulunya merupakan daftar keturunan raja-raja yang lengkap dengan tarikh lahir, ditabalkan dan mangkatnya (Muhd Mansur Abdullah, 1988:198).

 Sultan Muzaffar Syah yang telah memerintah lebih kurang tiga belas tahun. Baginda mangkat pada tahun 1459M dan telah digantikan oleh putera sulung baginda yang bernama Raja Ibrahim. Antara sebab pengarang mengaitkan keturunan raja-raja Melayu Melaka dengan Raja Iskandar Zulkarnain kerana beliau merupakan tokoh lagenda dan sejarah serta dikaitkan dengan agama Islam. Walau bagaimanapun, keturunan raja-raja Melayu Melaka adalah satu fakta sejarah walaupun disaluti dengan unsur-unsur mitos.

RAJA ISKANDAR SYAH
RAJA BESAR MUDA
RAJA TENGAH
RAJA KECIL BESAR (SULTAN MUHAMMAD SYAH)
SULTAN ABU SYAHID (RAJA IBRAHIM)
SULTAN MUZAFFAR SYAH (RAJA KASSIM)
SULTAN MANSUR SYAH(RAJA ABDULLAH)
SULTAN ALAUDDIN RIAYAT SYAH (RAJA HUSSAIN)
SULTAN AMHMUD SYAH (RAJA MAMAD@MUHAMMAD)
SULTAN AHMAD SYAH (RAJA AHMAD)
RAJAH : Salasilah Raja-Raja Melaka

UNSUR BINATANG

1. PEMBUKAAN NEGERI MELAKA.

Pembukaan negeri Melaka dapat dikaitkan dengan peristiwa seekor pelanduk putih yang telah mengalahkan seekor anjing. Raja Iskandar Syah kagum dengan kekuatan pelanduk tersebut. Baginda seterusnya bercadang untuk membuka negeri di kawasan tersebut.  Nama negeri Melaka berasal daripada nama pokok, iaitu pokok Melaka. Raja Iskandar Syah bersandar pada sebatang pokok dan menanyakan nama pokok berkenaan pada para pengikutnya. Baginda seterusnya menjadikan nama pokok berkenaan sebagai nama negeri yang baru dibuka. Mitos ini ada diceritakan dalam Sulalatus Salatin pada halaman ke-71.

Maka Raja Iskandar Syah pun berjalan balik membaruh, lalu terus kepada sebuah sungai, Bertam namanya, dan kualanya berbukit. Maka baginda pun datanglah ke sana, berhenti di bawah sepohon kayu, terlalu rampak, maka baginda menyuruh berburu, sekonyong-konyong terjun anjing dihambat pelanduk. Titah baginda “ baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah oleh pelanduk, jikalau orangnya betapa lagi?”. Maka sembah orang, “kayu Melaka namanya, tuanku,”. Maka titah Raja Iskandar Syah, “ Jika demikian, Melakalah nama negeri ini.”


  2. ASAL- USUL SINGAPURA

Asal- usul Singapura pula dapat dikaitkan dengan peristiwa kemunculan seekor binatang yang bernama ‘singa’. Pembukaan Singapura melibatkan Seri Teri Buana, Demang Lebar Daun, Menteri Bupala dan Batala. Semasa pembukaan Singapura, Seri Teri Buana berteduh di bawah pokok jambu. Kemudian, tiba-tiba baginda melihat seekor binatang yang berbulu merah pada tubuh dan mempunyai kepala yang berwarna kehitam-hitaman serta mempunyai bulu berwarna putih pada dada melintas dengan agak pantas di hadapan baginda. Seterusnya, baginda bertanyakan nama binatang berkenaan kepada pengikutnya dan menamakan negeri yang baru dibuka itu dengan nama haiwan tersebut. Kisah pembukaan negeri Singapura ada diceritakan dalam Sulalaus Salatin pada halaman ke- 40.

Maka baginda semayam di bawah pohon jambu laut, dihadap segala Orang Besar-besar , berbicara hendak membuat negeri, seraya menitahkan rakyat menebas kayu di padang itu. Maka segala rakyat pun naiklah menebas, sekonyong-konyong melintas seekor binatang maha tangkas lakunya merah warna bulu tubuhnya, kehitam-hitaman kepalanya, dan putih dadanya, sikapnya terlalu perkasa, besar sedikit daripada kambing randuk. Setelah ia melihat orang banyak itu, lalu ia melompat, ghaib daripada mereka itu. Maka titah Seri Teri Buana, “Apa nama binatang serupa itu?”. Maka seorang pun tiada menyahut. Maka sembah Demang Lebar Daun, “ Tuanku, ceritera orang  patik dengar, yang demikian sifat dan kelakuan binatang itu, singa konon namanya, tuanku.” Maka titah baginda, “ Patutlah kita perbuat negeri tempat ini, kerana binatang gagah ada di dalamya, dan sebutlah Temasek ini Singapura”, sampailah sekarang disebut orang ‘Singapura’.


   3. PEMBUKAAN PASAI

Pembukaan Pasai pula dapat dikaitkan dengan peristiwa anjing Sultan Maliku’s Salleh yang bernama Si Pasai menyalak di suatu kawasan  tanah tinggi. Negeri yang baru dibuka oleh Sultan Maliku’s Salleh itu diambil sempena nama anjingnya, Si Pasai. Kisah pembukaan negeri Pasai ada diceritakan dalam Sulalatus Salatin pada halaman ke-59.

Setelah berapa lamanya Sultan Maliku’t Tahir dan Sultan Maliku’l Mansur pun besarlah, dan negeri Perlak pun alah oleh musuh dari seberang, dan orang Perlak pun pindahlah ke negeri Semundra. Maka  Sultan Maliku’s Salleh pun berfikir dalam hatinya hendak berbuat negeri akan tempat anakanda baginda, maka titah  Sultan Maliku’s Salleh pada segala Orang Besar-besar , “ Esok hari kita pergi berburu”. Setelah pagi-pagi hari maka Sultan Maliku’s Salleh pun naiklah gajah yang bernama Permadewan itu, lalu berangkatlah ke seberang. Datang ke pantai, maka anjing yang bernama Si Pasai itu pun menyalak , maka Sultan Maliku’s Salleh pun segera mendapatkan anjingnya itu menyalak tanah tinggi, sekira-kira luas tempat istana, dengan kelengkapannya terlalu amat baik, seperti ditempa rupanya. Maka   Sultan Maliku’s Salleh disuruhnya tebas. Setelah sudah maka diperbuatnya negeri, pada tempat tanah tinggi itu dibuatnya istana, lalu dinamainya negeri itu ‘Pasai’, menurut nama anjingnya itu.


 4. PEMBUKAAN SEMUNDRA

Pembukaan Semundra pula dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bertemu dengan seekor semut besar seperti kucing. Merah Silu kemudian makan semut tersebut. Tempat tersebut dinamakan  Semundra yang bermaksud semut besar. Kisah pembukaan negeri Semundra terdapat dalam Sulalatus Salatin pada halaman yang ke-57.

Adalah pada suatu riwayat Merah Silu pergi berburu, maka anjingnya bernama Si Pasai itu pun menyalak. Dilihat Merah Silu Si Pasai menyalak itu di atas tanah tinggi, seperti ditimbun orang rupanya. Maka Merah Silu naik di atas tanah tinggi itu, maka dilihatnya seekor semut besar seperti kucing, maka oleh Merah Silu semut itu diaambil dan dimakannya. Maka tanah tinggi itu diperbuatnya akan tempat, dinamainya Semundra ertinya semut besar.


2 comments:

  1. Tahniah. Saya banyak mendapat ilmu baru

    ReplyDelete
  2. penyampaian isi yang mudah difahami, tahniah.

    ReplyDelete