TOKOH TUN SRI LANANG
LATAR BELAKANG TOKOH
Tun Sri Lanang adalah nama timang-timangan yang
diberikan kepada Tun Muhammad, anak Tun Ahmad Paduka Raja yang merupakan
seorang Bendahara Kerajaan Johor pada kurun ke-17 Masihi. Beliau telah
dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor pada tahun 1565. Beliau adalah
Bendahara Johor pada ketika itu dan setelah Johor kalah dalam peperangan dengan
Aceh yang pada ketika itu diperintah oleh Sultan Iskandar Muda Aceh. Beliau
kemudiannya telah dibawa ke Aceh pada tahun 1613 dan telah menetap di negeri
Samalanga. Pada ketika itu, ramai bangsawan dan rakyat Johor yang mengikut
beliau ke Aceh dan dikatakan seramai ribuan orang yang mengikut beliau ke sana.
Sultan Iskandar Muda telah melantik beliau sebagai penasihat utama Baginda dan
diberi delaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’. Beliau
telah mendirikan pusat penyebaran agama Islam dan pendidikan terutamanya di
negeri-negeri pesisir timur Aceh. Beliau kemudiannya telah di angkat menjadi
raja di negeri Samalanga pada tahun 1615. Beliau telah mangkat pada tahun 1659
di Lancok dan telah dimakamkan di sana. Pada waktu itu, beliau telah berjaya
menjadikan negeri Samalanga sebagai sebuah pusat penyebaran agama Islam di
timur Aceh dan sehingga kini pun kawasan tersebut masih lagi menjadi tumpuan
bagi sesiapa sahaja yang ingin mendalami ilmu agama.
Tun Sri Lanang sangat dikenali oleh kerana karyanya
iaitu Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu)yang merangkumi pelbagai sejarah
masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa. Kebenaran tentang beliau
sebagai penulis asal atau sekadar penyunting kitab tersebut tidak dapat
dipastikan dengan tepat. Namun menurut Syeikh Nuruddin al-Raniri dalam susunan
Suzana Othman, 2008 telah memperakukan Tun Sri Lanang sebagai pengarang dan
penyusun Sulalatus Salatin kerana beliau kenal rapat dengan Tun Sri Lanang.
Kitab tersebut telah dapat disiapkan penulisan dan penyuntingannya oleh Tun Sri
Lanang dalam masa dua tahun iaitu pada tahun 1614 selepas tarikh penulisannya
yang dimulai pada tahun 1612 Masihi. Sulalatus Salatin adalah diperakui sebagai
satu sumber terkaya dan lengkap yang menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa
di Nusantara.
MENGARANG SEJARAH MELAYU
Tun Sri Lanang mula mengarang karya Sulalatus Salatin
bermula pada tahun 1612 dan lebih terkenal sebagai pengarang dan penyusun
Sejarah Melayu di samping jawatannya sebagai Bendahara Kerajaan Johor. Beliau
disifatkan sebagai seorang yang kreatif, berpengetahuan luas dalam aspek
penggunaan gaya bahasa dan penulisan, peraturan dan adat istiadat Melayu. Karya
terunggul beliau ini berkait rapat dengan Sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan
karya tersebut seringkali dijadikan rujukan sejarah bagi mengkaji peradaban
Tamadun Islam Beraja. Karya Sulalatus Salatin yang merangkumi pelbagai aspek
penceritaan menjadikan ianya sebagai sumber rujukan utama tentang kebudayaan
dan ketamadunan masyarakat Melayu awal.
Karya ini juga dianggap sebagai karya yang begitu indah dan menarik dari
segi gaya bahasa dan persuratannya. Kandungannya yang meliputi unsur kelucuan,
kebijaksanaan, sindiran, perlambangan, peribahasa, bidalan, pantun seloka, dan
gurindam yang dikarang dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, Arab, Jawa
dan lain-lain dengan begitu teliti dan kemas. Namun, ia juga tidak terlepas
daripada ‘Polemik Sejarah’ kerana naskhah tersebut didakwa bukan naskhah asal
karangan Tun Sri Lanang tetapi kandungannya adalah daripada Hikayat Melayu yang
diberikan oleh Tun Bambang Sri Narawangsa, anak Sri Askar Raja, Patani. Hikayat
itu dikatakan telah dikarang dan disusun semula oleh Tun Sri Lanang atas titah
Raja Abdullah, iaitu adinda Sultan Alauddin Riayat Shah III yang akhirnya
menjadi Sulalatus Salatin. Sejarah penting berkaitan arahan dan galakan oleh
Raja Abdullah kepada Tun Sri Lanang untuk menulis dan mengarang tentang Sejarah
Melayu ada tercatat dalam kitab tersebut sebagai mukadimahnya. Dengan titah
Raja Abdullah tersebut, dapat disimpulkan bahawa penulisan kitab Sulalatus
Salatin telah dimulakan pada 12 Rabiul Awal 1021 Hijrah bersamaan Mei 1612
ketika itu Sultan Alauddin Riayat Shah III bersemayam di Pasir Raja.
Karya Sulalatus Salatin ini juga cuba dinafikan oleh sesetengah pihak
tentang penulis sebenarnya termasuk seorang penulis barat iaitu R. O. Winstedt.
Namun, pendapat beliau di bantah oleh ramai sarjana tempatan dan luar Negara.
Menurut Teuku Iskandar dalam bukunya Kesusasteraan Melayu Klasik Sepanjang Abad
berkata bahawa Tun Sri Lanang bukan penulis asal Sulalatus Salatin. Walaupun
begitu, menurut beliau berdasarkan penyelidikan-penyelidikan yang dibuat
menunjukkan bahawa penyalin naskhah Melayu itu bukanlah penyalin dalam erti
kata yang sebenarnya seperti mana yang berlaku di Bali. Penyalin juga boleh
dianggap pengarang kerana banyak memperbaiki kesalahan dan menambah sebarang
kekurangan dalam karya, mengurangkan apa yang dirasakan lebih, serta mengubah
struktur dan gaya bahasa karya asal bersesuaian dengan keadaan pada zaman itu.
Jika dilihat semula pada mukadimah yang ditulis
oleh Tun Sri Lanang dalam kitab Sulalatus Salatin, Teuku Iskandar
berpendapat bahawa Tun Sri Lanang bukan sekadar penyalin bahkan merupakan
penulis asal karya tersebut.
Syeikh Nuruddin al-Raniri juga turut menjadikan Sejarah Melayu sebagai
rujukan utama dalam penulisan karyanya iaitu Bustanatus Salatin (Taman
Raja-raja) yang ditulis pada tahun 1637-1641. Beliau merupakan seorang ulama,
penulis terkenal di Nusantara dan juga sahabat akrab Tun Sri Lanang, turut
memetik banyak perkara daripada Sejarah Melayu, Bab II fasal 12 yang berbunyi
seperti berikut:
“Kata Bendahara Paduka Raja Tun Sri Lanang yang mengarang kitab misrat
Sulalatus Salatin, ia mendengar daripada bapanya, ia mendengar daripada nenek
dan datuknya, tatkala ada hijrat al Nabi SAW seribu dua puluh esa, pada bulan
Rabiul Awal pada hari ahad, a mengarang hikayat pada menyatakan segala
raja-raja kerajaan di negeri Melaka, johor, Pahang dan meyatakan bangsa dan
salasilah mereka itu daripada Sultan Iskandar Zulkarnain…”
Pendapat itu juga disokong oleh penulis buku Sejarah Johor, Buyong Adil
yang menyatakan:
“Tun
Sri Lanang selalu berguru daripada ulama terkenal di Aceh seperti Nuruddin
al-Raniri, Tun Aceh, Tun Burhat, Hamzah Fansuri, Syeikh Syamsuddin
al-Sumaterani. Dengan itu, Syeikh Nuruddin al-Raniri tentu amat mengenali Tun
Sri Lanang”.
Abdul Samad Ahmad juga dalam Sulalatus Salatin versi beliau, turut
membangkang pendapat R. O. Winstedt dengan hujah-hujah yang kukuh. Beliau
berasa hairan dengan Winstedt yang beria-ia menafikan Tun Sri Lanang sebagai
penulis dan penyusun Sulalatus Salatin sedangkan Winstedt sendiri ada
menyatakan dalam mukadimah edisinya yang berbunyi:
“…Demikian bunyinya titah Yang Maha Mulia itu, bahawa
hamba minta diperbuatkan hikayat pada Bendahara, peraturan segala raja-raja
Melayu dengan istiadatnya. Bendahara yang disebutkan itu tentunya bukan Tun
Bambang….”
Beliau juga menambah, Tun Sri Lanang menulis karya tersebut untuk
menggembirakan rajanya , setelah memohon petunjuk daripada Allah SWT dan
Syafaat daripada Nabi Muhammad SAW. Maka bermulalah penulisan Sulalatus Salatin
atau “Pertuturan Segala Raja-raja” berdasarkan apa yang diceritakan oleh
ayahnda datuknya. Oleh itu, sudah tentu karya tersebut dikarang dengan penuh
teliti dan berhati-hati oleh Tun Sri Lanang dan padanya karya itu cukup
sempurna dari aspek sasteranya.
Teuku Iskandar dan A. Samad Ahmad juga berpendapat bahawa bukan perkara
luar biasa jika seorang Bendahara dapat mengarang hikayat, jika dilihat semula
nendanya Tun Isap Misai pernah menulis Hikayat Anak Panah Sedasa. Malah
ketokohan dalam bidang penulisan ini juga diwarisi oleh zuriat Tun Sri Lanang
contohnya daripada pujangga Riau seperti Raja Ali Haji. Tun Sri Lanang mula
menumpukan perhatian dalam pengkajian hasil-hasil kesusasteraan Aceh selepas
perang di Batu Sawar pada tahun 1613 apabila beliau ditawan oleh Sultan
Alauddin Riayat Shah III dan dibawa ke Aceh. Oleh sebab itu, beliau mempunyai
masa yang panjang untuk mengkaji dan menelaah hasil-hasil karya tersebut.
Pada
ketika itu juga terdapat beberapa penulis masyhur Aceh seperti Syeikh
Shamsuddin Pasai, Hamzah Fansuri, Bukhari al-Jauhari dan Nuruddin al-Raniri.
Persamaan zaman antara Tun Sri Lanang dengan pengarang-pengarang hebat ini
dapat dikatakan kemungkinan besar mereka sempat bertukar maklumat dan pendapat
antara satu sama lain yang mungkin sedikit sebanyak turut mempengaruhi
penulisan beliau. Melihat kepada bukti-bukti tersebut, dapat ditegaskan bahawa
Tun Sri Lanang adalah pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin dan karya ini
seharusnya diiktiraf sebagai karya asal tulisan Tun Sri Lanang dan beliau bukan
sekadar penyalin semata-mata. Sungguhpun teks Hikayat Melayu diambil sebahagian
daripada kandungannya, namun rujukan bahan, sumber-sumber primer, serta
cerita-cerita lisan yang didengar daripada datuk neneknya dan daripada
pengalamannya sendiri yang disusun dan digarap mengikut gaya bahasa yang
tersendiri dalam pelbagai aspek sastera cukup untuk menjadikan beliau digelar
pengarang Sulalatus Salatin yang asli.
Tun
Sri Lanang seperti yang dikenali adalah seorang sasterawan Melayu yang terkenal
pada zaman kesultanan Melayu bersama karya agungnya iaitu Sulalatus Salatin
atau Sejarah Melayu. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengarang dan
meyusun kembali Hikayat Melayu di atas titah Raja Abdullah pada tahun 1612 dan
berjaya menyiapkannya pada tahun 1612. Kepengarangan beliau tidak dapat
disangkal lagi dengan wujudnya pelbagai fakta-fakta dan bukti-bukti yang
menyokong keaslian dan ketulenan beliau sebagai penulis asal kitab Sulalatus
Salatin ini. Kebijaksanaan dan kepintaran beliau dalam ilmu mengarang jelas
terpancar dalam karyanya apabila beliau berjaya menyampaikan mesej dan
pengajaran melalui kata-kata yang tersusun indah dalam bait-baitnya serta
imaginasi lakaran peristiwa yang dilukis indah dalam kitab tersebut. Maka
beliau tidak seharusnya dianggap hanya sebagai penyalin Hikayat Melayu bahkan
sebagai orang yang mengarang, menulis, memperbaiki dan mempertingkatkan mutu
karya awal sehingga terhasilnya karya agung dalam catatan sejarah Melayu yang
dikenali umum dengan nama Sulalatus Salatin. Dengan itu terserlahlah ilmu
kepengarangan dan persuratan Tun Sri Lanang dalam memartabatkan sejarah
kegemilangan masyarakat Melayu seperti yang tercatat dalam karya agungnya itu.
No comments:
Post a Comment