Sunday, 27 May 2018

FUNGSI  MITOS  DAN  LAGENDA

UNSUR MITOS DALAM SULALATUS SALATIN

Mitos, sebagaimana yang diketahui umum, adalah suatu unsur dongeng atau kejadian luar biasa yang tidak dapat diterima logik akal tetapi diketengahkan sebagai suatu peristiwa yang benar-benar terjadi. Peristiwa yang berlaku itu sama ada yang berlegar di sekitar kehidupan manusia, haiwan, ataupun alam semesta - kelihatan pelik, janggal, dan melampaui lumrah alam. Walau bagaimanapun, penilaian terhadap ketakwajaran unsur mitos itu adalah mengikut acuan zaman moden sedangkan pemilik unsur tersebut, yakni masyarakat silam, meyakini bahawa mitos tersebut memang benar-benar berlaku.
Dalam konteks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, unsur mitos merupakan sebahagian daripada ciri yang signifikan, terutama pada bahagian awal teks tersebut. Kewujudan unsur mitos dalam teks tersebut berkait rapat dengan realiti kehidupan masyarakat Melayu pada zaman itu yang masih berada dalam lingkungan pengaruh Hindu dan animisme yang kuat.

CIRI-CIRI MITOS

1. Mitos dianggap sebagai kejadian atau peristiwa yang benar­benar berlaku - cerita mitos dianggap benar-benar berlaku pada zaman silam. Keyakinan tersebut, sesetengahnya, telah membentuk sistem nilai mereka dan seterusnya diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Mitos berbeza daripada unsur­unsur dongeng.
2. Mitos dianggap suci - kesucian ini terbit kerana mitos kaya dengan unsur-unsur kedewaan yang diyakini oleh masyarakat Melayu pada zaman silam. Kepercayaan tersebut terbentuk sebagai hasil daripada pengaruh animisme dan ajaran agama Hindu.
3. Mitos kaya dengan unsur-unsur alam ghaib - keyakinan masyarakat Melayu zaman silam terhadap kewujudan alam ghaib sangat tebal. Mereka percaya bahawa sesuatu yang ghaib itu, seperti kewujudan kuasa makhluk-makhluk halus (jin, syaitan, penunggu, puaka) dan alam kayangan atau alam dewa dewi dapat mempengaruhi kehidupan mereka. Malah, dalam konteks alam kayangan, masyarakat Melayu pada zaman itu yakin bahawa mereka dapat Baling berhubungan (bersahabat atau berseteru) antara satu sama lain.
4. Mitos kaya dengan peristiwa atau kejadian yang luar biasa, ganjil, dan aneh - masyarakat Melayu zaman silam mempercayai bahawa setiap kejadian luar biasa, ganjil, atau aneh mempunyai tujuan-tujuan atau alamat-alamat yang tertentu. Hal ini berlaku sebagai hasil daripada keakraban hubungan masyarakat Melayu dengan flora dan fauna di sekeliling mereka.

JENIS-JENIS MITOS

Mitos dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu:
1. mitos asal usul raja;
2. mitos pembukaan negeri;
3. mitos kedatangan Islam; dan
4 .mitos-mitos lain.

Mitos Asal Usul Raja

Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, dalam upaya hendak meningkatkan martabat dan kedudukan raja-raja Melayu, khususnya raja Melaka, telah mengaitkan bahawa raja-raja tersebut berasal usul daripada keturunan Raja Iskandar Zul­Karnain, Nabi Sulaiman, clan Nusyirwan Adil. Pertalian ini bermula apabila Raja Suran (cucu Raja Sulan) telah masuk ke dasar laut dan berkahwin dengan Puteri Mahtabu'l-Bahri dari negeri Dika. Perkahwinan tersebut telah menghasilkan tiga orang putera - Nila Pahlawan, Krisyna Pandita, dan Nila Utama. Ketiga-tiga putera ini telah naik ke bumi dan mendarat di Bukit Si Guntang, Palembang. Keistimewaan dan keluarbiasaan yang dimiliki mereka telah membolehkan mereka menjadi raja - Nila Pahlawan menjadi raja di Minangkabau; Krisyna Pandita menjadi raja di Tanjung Pura; Nila Utama pula menjadi raja di Palembang dan seterusnya di Temasek dengan gelaran Seri Teri Buana. Seri Teri Buanalah yang kemudiannya mengembangkan keturunan raja-raja Melaka.

Mitos Pembukaan Negeri

Sulalatus Salatin Sejarah Melayu banyak juga mengetengahkan mitos yang berkaitan dengan pembukaan sesebuah negeri. Dalam hal memilih dan memberikan nama negeri ini, penamaan tersebut dibuat berdasar kepada keyakinan para raja terhadap sesuatu keganjilan dan kejadian luar biasa yang pada pandangan mereka akan mendatangkan keberuntungan kepada negeri tersebut. Antaranya termasuklah:
1. Pembukaan negeri Singapura yang dikaitkan dengan peristiwa kemunculan seekor binatang yang bernama “Singa”
2. Pembukaan negeri Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa seekor pelanduk putih yang telah mengalahkan anjing;
3. Pembukaan Semundra yang dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bertemu dengan seekor semut besar seperti kucing.
4. Pembukaan Pasai yang dikaitkan dengan peristiwa anjing Sultan Maliku's-Salleh yang bernama si Pasai menyalak di suatu kawasan tanah tinggi.

Mitos Kedatangan Islam

Sebagaimana mitos asal usul, tujuan mitos kedatangan Islam ini diselitkan dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu adalah untuk mengangkat darjat raja-raja Melayu. Ada dua peristiwa yang memerihalkan mitos kedatangan Islam ini, iaitu:
1. kedatangan Islam di Semundra yang dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad s. a. w. Dalam mimpi itu, Nabi Muhammad s. a. w. telah meludah ke dalam mulut Merah Silu dan sebagai hasilnya, Merah Silu dapat mengaji pada keesokan harinya manakala tubuhnya pula berbau narawastu.
2. kedatangan Islam di Melaka yang dikaitkan dengan peristiwa Raja Kecil Besar (Sultan Muhammad Syah) telah diislamkan oleh Nabi Muhammad s. a. w. melalui mimpi. Dalam mimpi itu, dikatakan bahawa Raja Kecil Besar telah diajar mengucap dua kalimah syahadat, dikhatankan, dan diberi nama Islam. Keesokannya, semua yang dimimpikan oleh baginda menjadi kenyataan dan tubuh baginda turut berbau narawastu.

Mitos-mitos Lain

Dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, terdapat beberapa peristiwa berunsur mitos yang ditulis untuk tujuan yang khusus. Antaranya termasuklah untuk menggambarkan kepercayaan sesuatu anggota masyarakat ataupun untuk mengkritik raja secara halus. Yang berikut adalah antara beberapa contoh mitos tersebut :
1. Peristiwa Badang menjadi gagah setelah makan muntah hantu - Badang telah beroleh kekuatan dan kegagahan yang sangat luar biasa setelah memakan muntah hantu yang mencuri hasil tangkapannya. Kegagahan Badang yang luar biasa itu telah membolehkan dia mencabut pokok-pokok kayu Yang besar dengan akarnya sekali dan hal ini menggembirakan majikannya kerana ladangnya telah dapat dibersihkan dalam masa yang singkat.
2. Peristiwa ikan todak menyerang Singapura - peristiwa ini berlaku semasa Singapura diperintah oleh Paduka Seri Maharaja. Banyak rakyat negeri itu yang mati ditikam oleh ikan todak yang mampu melompat hingga ke pantai. Untuk mengatasi serangan tersebut, Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkubukan betis tetapi perintah itu lebih banyak menyebabkan kematian dan kecederaan kepada rakyat yang terlibat. Akhirnya, serangan ikan todak itu dapat diatasi melalui kebijaksanaan seorang budak yang menyarankan penggunaan batang pisang sebagai kubu. serangan ikan todak tersebut ada kaitannya dengan pembunuhan Tuan Jana Khatib yang "mahir akan ilmu khayal lillah lagi tamam dua belas".
3. Peristiwa Sang Rajuna Tapa menjadi batu - peristiwa ini menimpa Sang Rajuna Tapa kerana dia telah mengkhianati Raja Iskandar Syah. Pengkhianatan itu dilakukannya selepas Raja Iskandar membunuh anak perempuannya dengan cara yang sangat memalukan dirinya. Untuk membalas perbuatan Raja Iskandar Syah itu, dia telah bersekongkol dengan Majapahit yang menyebabkan Singapura jatuh ke tangan kuasa besar itu.

KEPENTINGAN MITOS

Penerapan mitos dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini mempunyai matlamat dan kepentingannya yang tersendiri dan khusus, sesuai dengan zaman teks ini dihasilkan. Di pihak pemerintah, peristiwa yang berunsur mitos itu secara umumnya dapat meningkatkan darjat dan kedaulatan mereka. Di pihak hamba rakyat pula, unsur mitos tersebut dapat mendidik serta meyakinkan mereka tentang kehebatan dan kedaulatan raja serta perkara-perkara yang berkaitan dengan institusi beraja. Kepentingan mitos dalam penulisan teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini dapat dijelaskan seperti yang berikut:
1. Menunjukkan Keagungan Keturunan Raja
Iskandar Zulkarnain berbangsa Rom dan berasal dari Makaduniah.  Sebagaimana yang tercatat dalam sejarah, beliau merupakan seorang raja yang agung dan penakluk dunia yang terbilang.  Berdasarkan Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, raja-raja Melayu dikatakan berasal daripada keturunan beliau walaupun menurut Sejarah, Iskandar Zul-Karnain (Alexander The Great) tidak pernah menakluki India. Oleh itu, mitos yang mengaitkan raja-raja Melayu bersusur galur daripada keturunan Iskandar Zul-Karnain itu mempunyai kepentingannya yang tersendiri, iaitu untuk mengangkat darjat raja-raja Melayu ke tahap yang tinggi, yakni memiliki ciri-ciri kepahlawanan, kehebatan, dan keagungan, sama seperti yang dimiliki oleh datuk nenek mereka yang bernama Iskandar Zul-Karnain itu.
2. Menunjukkan Sifat Luar Biasa Raja
Salah satu mitos yang terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu adalah tentang pengembaraan Raja Suran ke dasar laut. Baginda dikatakan telah tiba di sebuah negeri yang bernama Dika dan seterusnya berkahwin dan hidup di negeri itu. Hal ini memang di luar mats fikir manusia dan melampaui hukum alam, namun penerapan mitos yang sedemikian ada kepentingannya. Penerapan unsur tersebut adalah untuk menggambarkan bahawa raja-raja Melayu sangat luar biasa dan berbeza daripada manusia biasa dan oleh itu, merekalah yang layak memimpin manusia lain.
3. Menyindir atau Mengkritik Raja
Mitos lain yang terdapat dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ialah serangan ikan todak terhadap Singapura. Penerapan mitos ini bertujuan untuk menyindir atau mengkritik golongan raja atau pembesar yang menzalimi rakyat. Mitos itu juga bertujuan untuk menyedarkan raja dan pemerintah bahawa setiap hamba rakyat, tidak kira sekecil mana pun mereka itu, perlu dihormati dan disayangi kerana mereka mempunyai kelebihan masing-masing. Jelas dalam hal ini, budak yang menyarankan rakyat Singapura menggunakan batang pisang sebagai kubu untuk meredakan serangan todak, mempunyai kelebihannya walaupun masih kecil.
4. Mendidik dan Menakutkan Rakyat
Sesetengah mitos dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ini sengaja diterapkan bagi mendidik rakyat supaya senantiasa menghormati dan mentaati raja sebagaimana yang dipersetujui dalam waad antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana dahulu. Dalam hal ini, mitos yang memaparkan Sang Rajuna Tapa menjadi batu setelah mengkhianati Sultan Iskandar Syah menunjukkan bahawa sumpahan Seri Teri Buana yang mengatakan bahawa rakyat yang derhaka akan "dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas" menjadi kenyataan. Peristiwa itu juga dapat menimbulkan rasa gerun di hati rakyat supaya tidak mengkhianati waad tersebut.
5. Mempelbagaikan Kaedah/Teknik Penulisan
Penerapan unsur mitos dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu juga bertujuan untuk mewujudkan variasi dalam stail penulisannya. Penerapan itu juga memperlihatkan kekreatifan pengarang dalam usaha hendak menarik hati para pembaca.

FUNGSI LAGENDA

Menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986), legenda merupakan kisah-kisah mengenai keperibadian dan keunggulan dalam peribadi yang dimiliki oleh tokoh-tokoh manusia tertentu, tokoh-tokoh yang berkemungkinan besar memang hidup dalam sejarah umpamanya.  Seterusnya, tokoh-tokoh ini pula tidak sunyi daripada dikaitkan dengan tokoh-tokoh yang ada hubungannya dengan kekuatan politik dan agama.
Di samping itu, keunggulan tokoh-tokoh ini sering dihubungkaitkan dengan watak-watak istimewa dan supernatural seperti gagah, berani, kuat, pintar dan bijak, mempunyai kebolehan dan kekuatan batin yang luar biasa serta sangat terkenal dalam sejarah tempatan sesuatu masyarakat.  Justeru, legenda menjadi kebanggaan bahkan kerap diteladani oleh masyarakat setempat, lalu menjadi milik seluruh masyarakat tersebut.Berdasarkan hal tersebut, dapatlah diketahui bahawa legenda ini mempunyai fungsinya yang tersendiri.
Masyarakat Melayu amat sinonim dengan konsep ‘tulah raja’. Barangsiapa yang menderhaka kepada sultan atau raja, mereka akan mendapat hukuman atau terkena ‘tulah raja. Sehubungan dengan itu, antara fungsi legenda menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163) adalah untuk memperkuat konsep ‘daulat’, ‘taat’ dan ‘derhaka’ dalam masyarakat Melayu.
Sesuai dengan hal ini, Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah telah diangkat menjadi model atau simbol kepada ketiga-tiga konsep tersebut. Hal ini dapat dilihat apabila ia sanggup membunuh sahabat baiknya sendiri, iaitu Hang Jebat yang pada pandangannya telah menderhaka kepada Sultan mereka, iaitu Sultan Mansur Syah sebagai tanda taat dan setianya yang tidak berbelah bahagi kepada rajanya. Selain itu, Hang Tuah juga sanggup mati untuk memenuhi kehendak sultan Melaka pada ketika itu (Hasbullah Ibrahim dan Noor Aini Shaari, 1993). Beliau diceritakan sanggup untuk masuk ke dalam kubur disebabkan sultannya yang ingin mengetahui keadaan sebenar di dalam kubur.

Seterusnya, legenda juga berfungsi untuk memuji serta menunjukkan kekuatan fizikal dan mental orang-orang Melayu. Hal ini dapat digambarkan melalui kebijaksanaan Sultan Mansur Syah dalam mentadbir kerajaannya. Baginda bertindak menjalin hubungan diplomatik dengan beberapa buah kuasa besar sebagai langkah berjaga-jaga. Meskipun Siam pada ketika itu telah menyerang Melaka sebanyak dua kali dan tewas, namun itu bukanlah bermakna mereka tidak akan menyerang Melaka lagi. Maka, Sultan Mansur Syah telah membuat keputusan untuk berbaik-baik dengan Siam.  Hal ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan keamanan kerajaan Melaka. Berikut merupakan petikan kata-kata baginda:
“Apa bicara tuan hamba sekalian, baiklah kita menyuruh ke benua Siam; apa sudahnya kita beralangan selama ini; kita kelahi dengan dia pun tidak, dan berdamai pun tiada…”
                                                                                                        (Sulalatus Salatin, hlm. 107)
Hal tersebut jelas menunjukkan kebijaksanaan Sultan Mansur Syah yang secara tidak langsung telah mengangkat kehebatan orang Melayu. Tujuan tokoh ini ditampilkan adalah untuk memuji ketangkasan mental dan fizikal orang-orang Melayu, sebagaimana Sejarah Melayu dalam memetik kata-kata Betara Majapahit;
“Adapun orang Melayu ini terlalu cerdik daripada segala orang negeri lain; pada sebarang permainan pun tewas juga orang lain oleh orang Melaka”.
                                                                                                           (Sulalatus Salatin, hlm. 22)
Selain itu, legenda turut berfungsi menguatkan keyakinan orang Melayu terhadap agama Islam. Hal ini dapat dilihat daripada kisah Tok Senik di Beserah yang merupakan seorang pemimpin agama telah bertindak membuka Pekan Beserah setelah merantau dari satu tempat ke satu tempat di utara Semenanjung Tanah Melayu (Aripin Said, 1996: 57).
Kisah ini menunjukkan betapa pengaruh seorang pemimpin agama itu sangat memberi kesan yang besar kepada orang di sekelilingnya. Hal ini demikian kerana, ketika Tok Senik datang ke pekan tersebut yang pada asalnya masih belum mempunyai nama, beliau terus mencadangkan nama Pekan Beserah kerana dikaitkan dengan kehidupan seorang Islam yang sentiasa berserah kepada Allah dalam apa-apa jua perkara.  Kisah ini juga telah dibawa turun-temurun oleh rakyat tempatan dan dipercayai ramai.  Pada masa yang sama, perkara ini juga sebenarnya mampu mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap sesuatu tokoh dan peristiwa bercorak sejarah.
Selanjutnya, legenda juga direka adalah untuk menonjolkan tokoh-tokoh legenda.  Sebagai contoh, watak Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah.  Hang Tuah diceritakan dan dilambangkan sebagai seorang yang sangat gagah perkasa. Sebagai buktinya, dia dapat mengalahkan orang Jawa yang mengamuk dan kemudiannya dilantik menjadi laksamana (Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 162). Sehubungan dengan itu, perihebatnya tokoh ini di mata masyarakat telah digambarkan dalam Sejarah Melayu:
“Adapun akan Laksamana Hang Tuah barang tempat ia pergi, gegak-gempita bunyi orang daripada hebat melihat sikap lakunya. Jika ia peseban, peseban gempar; jika ia di panggungan, panggungan gaduh dan segala perempuan Jawa anak-anak dara, jikalau ia berjalan ke pasar atau barang ke mana, banyaklah yang gila akan Hang Tuah itu. Dan apabila Hang Tuah lalu, perempuan di dalam pangkuan lakinya itu pun bangun hendak melihat Hang Tuah; itulah dipantunkan Jawa…”
Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menonjolkan tokoh Hang Tuah itu sendiri sekaligus mengangkat watak tersebut. Fungsi legenda yang seterusnya adalah untuk memberikan hak legalisasi terhadap raja-raja yang berkenaan (Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986: 163). Berhubung dengan hal ini, perihal menghubungkan tokoh-tokoh bersejarah dengan tokoh-tokoh legenda zaman dahulu sebenarnya bukanlah dibuat secara kebetulan, sebaliknya ada kepentingannya yang tersendiri, iaitu untuk kepentingan politik.
Keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa tokoh-tokoh sejarah yang dihubungkaitkan  dengan unsur-unsur legenda ini ialah raja-raja sendiri. Hal ini demikian kerana, mereka berpendapat adalah menjadi haknya merajai sesebuah kerajaan kerana keturunannya sendiri berasal daripada raja-raja, baik raja tersebut muncul dalam bentuk mitos mahupun legenda.  Menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163), raja-raja ini berpendapat mereka bukan daripada manusia biasa dan dijadikan daripada hukum akal dan bersifat biologis.
            Di samping itu, legenda turut berfungsi untuk memperingati peristiwa penting yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Hal ini sangat penting bagi memastikan kelestarian cerita-cerita terdahulu yang boleh dijadikan panduan buat generasi terkemudian baik sebagai hiburan, pengetahuan mahupun peringatan. Hal ini dapat dilihat dalam Hikayat Hang Tuah yang mengisahkan pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat. Kisah ini secara tidak langsung dapat membuatkan orang ramai memperingati peristiwa tersebut dan dibawa turun-temurun dari generasi ke generasi.
 Akhir sekali, legenda juga berfungsi menceritakan salasilah raja-raja.  Hal ini dapat dibuktikan melalui Hikayat Raja-raja Pasai, iaitu mengenai salasilah Merah Silau atau Sultan Malikul Saleh, yakni nama baginda selepas memeluk Islam.Pada awal hikayat ini ada disebutkan tentang salasilah Merah Silau dari awal yang bermula daripada kisah Raja Ahmad dan Raja Muhammad yang masing-masing menjumpai seorang kanak-kanak (Puteri Betung) daripada buluh betung dan seorang lagi dijumpai bersama-sama dengan seekor gajah (Merah Gajah).  Setelah kedua-dua mereka membesar, mereka pun dikahwinkan dan dikurniakan dua orang cahaya mata, iaitu Merah Silau dan Merah Hasum (Russell Jones, 1997).

 Secara umumnya, legenda-legenda ini sengaja diwujudkan dengan tujuan-tujuan tertentu yang dihubungkan dengan seseorang tokoh, raja, pahlawan, ulama dan sebagainya.  Pelbagai sanjungan diberikan kepada individu-individu tersebut. Di samping itu, sanjungan tersebut pula lahir sesuai dengan fungsinya yang berfungsi memperbesar-besarkan taraf, keturunan dan kedudukan raja yang disanjung.

2 comments:

  1. Terim kasih di atas perkongsian maklumat ini ianya sangat membantu.isinya sangat jelas dan padat

    ReplyDelete