Sunday, 27 May 2018

SENARAI VERSI MELAYU YANG LAIN

SULALATUS  SALATIN (SEJARAH MELAYU)

Sulalatus Salatin adalah judul asal Sejarah Melayu. Dan judul asal inilah yang digunakan untuk versi terbaru ini. Sepanjang yang diketahui versi ini telah menunjukkan beberapa kelainan yang jelas dan ia lebih mendekati karya asal sekiranya dibandingkan dengan versi-versi yang sedia ada iaitu Shellabear, Abdullah Munshi dan Winstedt Raffles.
Penghargaan sewajarnalah diberikan kepada Encik A. Samad Ahmad yang telah melakukan satu kajian yang khusus dan teliti bagi menyediakan versi ini. Siapa saja sudah pasti akan dapat merasakan betapa sukamya untuk membuat kajian bagi sesebuah karya yang lama seperti Sulalatus Salatin ini. Ia menuntut satu gabungan usaha yang sulit dan rumit, selain menghendaki ketelitian dan ketekunan yang tidak jemu-jemu. Inilah yang telah dilakukan oleh penyelenggara buku ini sewaktu beliau menjadi Penulis Tamu di Dewan
Bahasadan Pustaka dalam tahun 1978. Latar belakang hidupnya banyak mendorong beliau mengetengahkan semula cerita-cerita lama kepada masyarakat han ini. Sejak kecilnya lagi beliau telah mula berminat membaca hikayat-hikayat lama sehingga beliau mengenali banyak jenis karya tersebut. Minatnya yang begitu mendalam kepada karya jenis itulah yang memungkinkan terhasilnya Sulalatus Salatin ini di samping beberapa buah yang lain seperti Batu Belah Batu Bertangkup , Nakhoda Teriggang, Singapura Dilanggar Todak, Laksamana Tun Tuah, Dosaku, Zaman Gerhana dan lain-lain. Di samping sebagai seorang penulis, Encik A. Samad Ahmad juga adalah seorang wartawan dan pejuang politik di peringkat awal kebangkitan nasionalisme di Malaysia. Beliau pernah menjadi Ketua Pengarang akhbar Majlis, sebuah akhbar yang berpengaruh di perTerigahan tahun 40-an dan awal tahun 50-an dan juga salah seorang tokoh Kesatuan Melayu Muda KMM yang bergerak bersama-sama Ibrahlm Haji Yaakub, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam dan lain-lain. Kegiatan-kegiatannya inilah yang banyak memberinya semangat menghasilkan semula karya-karya lama dalam usaha mengembalikan kedudukan bangsa Melayu ke tempatnya yang sebenar. Pada keseluruhannya, Sulalatus Salatin versi ini masih mempunyai persamaan asas dengan versi yang sedia ada. Bagaimanapun terdapat juga beberapa perbezaan yang menonjol yang rasanya tidaklah perlu diperjelaskan di sini kerana semuanya telah diSerituh oleh penyelenggara buku ini dengan panjang lebar dalam bahagian "Prolog" dan "Epilog". Dalam kedua bahagian ini beliau telah membuat kajian dengan mendalam dan juga memberikan beberapa contoh kesilapan yang dilakukan oleh para pengedit versi Sejarah Melayu sebelum ini, terutamanya tentang kesilapan mentranskripsikan ejaan jawi yang menyebabkan pengertian dan maknanya berubah. Hal ini mungkin juga disebabkan para pengedit yang terdiri dari sarjana-sarjana Barat ini kurang mendalam pengetahuan mereka dalam bahasa Melayu di samping kemungkinan didorong oleh sebab-sebab politik penjajah sebagaimana kita sekarang sebagai satu bangsa yang merdeka dan berdaulat ingin membuat tafsiran sejarah dari kepentingan dan kaca mata kita Sendiri. Kami memanglah mengharapkan kajian-kajian yang serupa ini akan terus bertambah dan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Sentiasa menyediakan kemudahan-kemudahannya. Diharap penerbitan Sulalatus Salatin ini akan dapat memberi satu pandangan dalam menganalisa Sejarah Melayu terutamanya kepada para pengkaji dan peminat kesusasteraan Melayu.

Versi R.O Winstedt

Latar Belakang
            Nama sebenar R.O Windsted ialah Richard Olaf Winstedt. Beliau dilahirkan pada 2 Ogos 1878 di kota Oxford, England. Ayahnya berasal dari Sweden dan telah menjadi rakyat Britain. Beliau mendapat pendidikan di Magdalen College School dan di New College, Oxford dan dari situlah beliau telah menerima satu MA. Beliau telah berkahwin dengan dengan Sarah Castell, daripada sebuah keluarga yang telah lama menetap di kota Oxford. Menurut Bastin (1964:1), Winstedt cepat dan rajin membaca, tetapi sering mengalami penyakit beguk dan tidak dapat menyertai aktiviti sukan. Oleh itu, beliau memilih hidup yang alternatif yang wujud dalam buku dan dunia intelektual.
            Menurut Sheppard (Winstedt, 1969), Windsted telah memilih kursus metafizika di Oxford dan pernah mengikuti kursus Undang-undang selama setahun di universiti yang sama. Tetapi beliau ternyata lebih tertawan kepada karya-karya Robert Luois Stevenson pada akhir tahun ketiga di New College. Jika dilihat dari satu sudut, beliau tidak mempunyai pengkhususan dalam bidang antropologi, sastera mahupun bahasa yang merupakan bidang yang diceburinya ketika berada di Tanah Melayu.
            Winstedt juga telah menduduki peperiksaan Gabungan Perkhidmatan dalam Negeri India dan Tanah Jajahan adalah bertujuan untuk menjadi Pegawai Kolonial di India, tetapi akibat kecuaiannya yang telah tersilap membaca soalan peperiksaan (Bastin, 1964:2) telah menyebabkan markahnya agak rendah dan beliau telah dihantar untuk berkhidmat di Tanah Melayu iaitu di negeri Perak pada tahun 1902 sebagai Pegawai Pelatih. Melalui pengaruh R.J Wilkinson, Winstedt akhirnya dipindahkan ke Kuala Pilah, sekali gus memberi beliau peluang untuk mempelajari sistem matrilenial. Pada tahun 1913, beliau telah dilantik sebagai Pegawai Derah dalam Kuala Pilah, dan pada tahun 1916, beliau dilantik pula untuk berkhidmat di Jabatan Pendidikan. Pada tahun 1920-an, Winstedt menerima DLittnya daripada Oxford. Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Presiden pertama di Raffles College Singapura, dari tahun 1921 hingga 1931. Sepanjang memegang jawatan sebagai Presiden, beliau turut berkhidmat sebagai setiausaha bagi Pesuruhjaya Tinggi pada tahun 1923; bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS), dan anggota Majlis Perundangan, Negeri-negeri Selat, 1924 hingga 1931; dan sebagai anggota FMS Federal Council, 1927 hingga 1931.
            Setelah pencen daripada Perkhidmatan Awam Melayu, beliau telah dilantik pula sebagai pensyarah, pembaca dan kemudian sebagai Honorary Fellow dalam kajian bahasa Melayu di School Oriental Studies, di mana beliau juga berkhidmat sebagai ahli Badan Pentadbiran pada tahun 1939 hingga 1959. Pada tahun 1938, beliau telah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Penasihat Pejabat Tanah Jajahan Mengenai Pendidikan, pada tahun 1936 hingga 1939. Kemudian, beliau telah dilantik sebagai Presiden di Royal Asiatic Society pada tahun 1947. Beliau juga turut berkhidmat di British Academy dan menjadi ahli kehormat bagi Southeast Asia Institute, Royal Batavian Society, dan di Kon Institut voor TaalLanden Volkenkunde. Beliau telah meninggal dunia pada 2 Jun 1966.

SUMBANGAN

           Sepanjang ketelibatan R.O.Winstead di Tanah Melayu banyak sumbangan yang telah dihasilkan antaranya sewaktu beliau bekerja di Kuala Pilah, beliau telah menghasilkan dua buah buku yang berjudul colloquial (Malay: A Simple Grammar with Consorvations) dan sebuah kamus yang dianggap sangat penting dalam perkembangan bahasa Melayu iaitu A Dictionary of colloquial Malay-English and English-Malay pada tahun 1920. Kamus beliau dianggap baik kerana mengandungi banyak maklumat tentang geografi tempatan. Di samping itu, beliau banyak memasukkan kata-kata bahasa Indonesia. Menurut Jurnal Australian Journal of Politics and History, “Winstedt adalah cendekiawan British pertama untuk membuat satu kajian yang sistematik mengenai bahasa Melayu untuk tujuan-tujuan bersejarah, malah mengaplikasikan pendekatan saintifik dalam tulisannya mengenai Sejarah Melayu”.
             Menjelang abad ke-20, Winstedt telah menghasilkan buku tatabahasa Melayu yang berjudul Malay Grammar iaitu pada tahun 1913. Namun begitu, pada tahun 1958, Winstedt telah menghasilkan An Unabridget English-Malay Dictionary diikuti dengan Kamus Bahasa Melayu pada tahun 1960.Selain itu,beliau juga turut memainkan peranan penting dalam system pendidikan orang Melayu.Hal ini demikian kerana,beliau sendiri begitu berminat mendidik orang-orang Melayu.Hasil pemikiran dan candangan beliau,maka Sultan Idris Training College (S.I.T.C) telah ditubuhkan pada 1922. Pada tahun 1997, kerajaan Malaysia telah menaik tarafkan Maktab Perguruan Sultan Idris (UPSI). Manakala Winstedt telah dianugerahkan Order of British Empire, Order of St Michael and St George oleh kerajaan British. Dari segi kerjaya pula, Winstedt telah berkhidmat di Pejabat Karang Mengarang yang telah ditubuhkan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada tahun 1924. R.O Winstedt bersama-sama O.T Dussek telah dilantik menjadi penasihat. Antara tahun 1924-1957, Pejabat Karang Mengarang berada di bawah nasihat R.O Winstedt telah berjaya menerbitkan 85 buah buku bacaan sekolah di bawah Malay School Series.
            Di samping itu, R.O Winstedt telah banyak menghasilkan buku-buku berkaitan kesusasteraan Melayu sepanjang perkhidmatannya sebagai pegawai British di Tanah Melayu. Pada tahap awal penulisannya dalam bidang sastera bermula pada tahun 1907 iaitu lima tahun sejak beliau menetap di Perak. Atas dorongan R.J Wilkinson, Winstedt telah berjaya menghasilkan esei yang berjuduI “The literature of Malay Folklore. Beginning: Fables, Farcical Tales, Romance”. Wan Abdullah Sabary misalnya telah menggolongkan esei ini dalam siri Papers of Malay Subject yang agak khusus ditujukan pada pegawai kolonial Inggeris untuk mengenali Tanah Melayu. Selanjutnya, pada tahap kedua, beliau telah menerbitkan A History of Classical Malay Literature diikuti dengan “Father Civet” pada tahun 1908 dan setahun selepas itu diikuti dengan “Musang Berjanggut”. Inti cerita yang didengar berpuluh-puluh zaman telah dihidupkan kembali bersesuaian dengan zaman tersebut oleh R.O Winstedt.  
            Pada tahun 1910 pula, Winstedt sendiri telah merumikan “Hikayat Seri Rama” dan setahun selepas itu beliau menghasilkan esei yang berjudul “Awang Sulung Merah Muda”, iaitu sebuah sastera rakyat yang dituturkan oleh Pawang Ana, seorang penglipur lara keturunan Temusai. Selepas itu, esei berjudul “Hikayat Anggun Che Tunggal” pula menyusul pada tahun 1914. Beliau juga turut menghasilkan esei yang berjudul “Misa Melayu” pada tahun 1919 dan diikuti dengan “Shaman, Saiva and Sufi. A study of evolution of Malay magic” pada tahun 1925. Dalam bidang kesusasteraan Melayu, R.O Winstedt menghasilkan karyanya yang berjudul “A Malay History of Riau and Johore”, etc. (Malay text of the tuhfat al-nafs) pada tahun 1932. Pada tahun yang sama juga, beliau telah menerbitkan karyanya yang berjudul “A History of Johore”. Iaitu mengenai silsilah kerajaan Johor. Sumbangannya dalam bidang sastera tidak terbatas, malah tulisan yang berjudul “A History of Perak” dan diikuti dengan “A History of Malaya”. Pada tahun 1938, beliau telah menghasilkan karya yang berjudul “Tha Date, Autorship, Content and Some New MSS. Of the Malay Romance of Alexander the Great” diikuti dengan “The Malay Annals or Sejarah Melayu;, (with ‘ An Outline of the Malay Annals...). Manakala, pada tahun 1940, beliau menghasilkan karya yang berjudul “Valentjin Copy of The Sejarah Melayu”.
            Pada tahun 1941, beliau menghasilkan karya yang berjudul “The Panji Tales” dan “A Literacy Device Common to Homer and the East”. Pada tahun 1943 pula, karya beliau yang berjudul “Nature in Malay Literature and Folk Verse” menyusul. Manakala, pada tahun seterusnya iaitu 1944 pula beliau menghasilkan “An Undescribed Malay Version of the Ramayana”. Sumbangannya dalam bidang bahasa dan sastera amat besar dengan kemunculan “The Malays: a cultural history” pada tahun 1947. Pada tahun yang sama juga, Winstedt telah menghasilkan karyanya yang berjudul “Notes On Malay Subjects”.
            Sumbangan beliau dalam bahasa Melayu tidak berhenti di sini sahaja. Pada tahun 1949, beliau telah menghasilkan “A Panji Tale From Kelantan” dan “Malay Annals Again, Goa and the King of Singapore”. Pada tahun 1961, beliau telah menghasilkan sebuah lagi tulisannya yang berjudul “Modern Malay Poetry”.


SEJARAH MELAYU

Naskah Melayu dalam bentuk tulisan Jawi mula ditulis sejak zaman kedatangan Islam pada abad ke 15. Naskah asal (induk) menjadi sumber kepada berbagai ‘versi’ naskah lain. Versi ialah bentuk atau kelompok cerita yang sama sejenis tetapi berbeza dengan bentuk dan kelompok cerita yang lain, walaupun berasal dari cerita yang sama.
Misalnya, Teks Sejarah Melayu mempunyai berbagai versi. Pengkajian ke atas versi-versi naskahnya mula dilakukan oleh sarjana  Barat seperti Sir Hugh Low, Sir Stamford Raffles, R.O. Winstedt dan W.G. Shellabear. Mereka mencari dan mengumpul manuskrip-manuskrip naskah Melayu di Nusantara.

Teks Sejarah Melayu

Teks ini lahir dalam masyarakat Melayu berlatarkan zaman sebelum dan semasa kerajaan Melaka antara abad ke 15 dan 17. Nama lainnya dalam bahasa Arabnya ialah Sulalatus Salatin bererti ‘Salasilah Sultan-sultan’. Dalam edisi Shellabear, Sulalatus Salatin diberi makna sebagai ‘Peraturan Segala Raja-raja’.
Dipercayai terdapat kitab asal teks Sejarah Melayu, khususnya berasal dari sebuah Hikayat Melayu yang dibawa dari Goa.  Tun Sri Lanang adalah pengarang dan penyusun semula teks Sejarah Melayu, sebagaimana diungkapnya pada bahagian mukadimah, menyebut:
Hamba dengan ada hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Gua: barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudiannya daripada kita, dan boleh diingatkannya, oleh segala mereka itu, syahdan adalah beroleh faedah ia daripadanya. (W.G. Shellabear, 1997, hlm. 2).
Dalam Teks ini tercatat tarikh-tarikh kenaikan, kemangkatan dan tempoh pemerintahan raja-raja Melaka. Juga senarai raja-raja berkembang dan banyak perkara ditokok tambah, disisipkan bahan-bahan mana yang sesuai - akhirnya wujudlah teks Sejarah Melayu yang ada masa ini.
Pengarang asal Sejarah Melayu dipercayai seorang scholar (intelektual) Melayu - meminati sejarah dan peka terhadap perkembangan politik di Melaka ketika itu. Kemungkinan pengarangnya didorong oleh Hikayat Zulkarnain dan Hikayat Raja-Raja Pasai, yakni dua naskah sastera yang tertua yang wujud ketika itu. Ini adalah kerana dalam Sejarah Melayu dimasukkan kisah-kisah mengenai tokoh-tokoh Iskandar Zulkarnian dan peristiwa-peristiwa daripada Kesultanan Samudera-Pasai. Namun begitu, malangnya nama pengarang tidak dikenali.
Penyusunan semula teks Salalatus Salatin oleh Tun Seri Lanang pula menjadi sumber kepada penyalin-penyalin seperti Stamford Raffles, R.O. Winstedt, W.G.  Shellabear, A. Samad Ahmad, dan lain-lain, menyebabkan timbulnya berbagai versi Sejarah Melayu.
Sejarah Melayu terkenal sebagai hasil kesusasteraan yang agung di alam Melayu. Ramai sarjana Barat dan Nusantara mula mengkaji  teks ini sejak tahun 1726 hingga sekarang.  Misalnya, versi Sejarah Melayu Manuskrip Raffles M.S. 18 dikaji semula oleh R.O. Winstedt. Manakala A. Samad Ahmad telahpun mengkaji semua - 29 buah naskah versi - terdapat di perbagai koleksi dan kepustakaan dunia (12 - Netherlands, 11 - United Kingdom, 5 – Indonesia, 1 – Russia).
Kemasyhuran Sejarah Melayu amat jelas kerana mendapat perhatian para pengkaji luar dan luar negeri dalam usaha untuk mewujud sebuah naskah yang lengkap.

Punca Pelbagai Versi

Persoalan utama kini, mengapa munculnya versi-versi naskah Sejarah Melayu sehingga amat sukar untuk ditentukan induknya? Permasalahan ini boleh dijelaskan berdasarkan faktor-faktor berikut:

1. Sikap Pengarang Naskah

Asalnya – sebuah karya Kesusasteraan yang hanya berupa senarai raja-raja Melayu yang memerintah Melaka, lengkap dengan tarikh kenaikan sesorang raja, kemangkatan dan tempoh pemerintah rajanya.  Senarai raja-raja itu menjadi ‘inti’ penulisan.
Penyalinan daripada naskah induk dibuat mengikut keadaan (zaman dan tempat) ianya disalin. Hampir semua versi naskahnya dibuat pada abad ke 19.
Sikap pengarang - tidak meletakkan nama sebenar mereka pada naskah salinan. Ketika itu karya bukan milik sesiapa tetapi adalah hak masyarakatnya. Belum ada satu hakcipta yang dapat memelihara keaslian sesuatu karya.
Justeru itu, penyalin boleh membuat tokok tambah isi yang diperlukan dengan sesuka hati. Mungkin juga sebaliknya - meniadakan mana-mana isi yang tidak diperlukan. Tindakan tokok tambah ini ketika itu tidak dibantah malah disenangi. Perbezaan penceritaan wujud dengan ketara dalam pelbagai versi. Misalnya;
Dalam versi R.O. Winstedt dan W.G. Shellabear - terdapat sedikit perbezaan dari segi isi cerita. Versi Winstedt adalah lebih tua - menulis dalam cetera 3 tentang perkahwinan Sri Tri Buana dengan anak Demang Lebar Daun, Wan Sendari.  Hasil perkahwinan itu memperolehi 2 putera.  Kedua-dua rutera itu dilahirkan di Temasik - negeri baru - dibuka oleh Sri Tri Buana.
Manakala versi Shellabear adalah lebih terkemudian - menulis dalam cetera 2 tentang Sri Tri Buana dikenali sebagai Sang Sapurba, berkahwin dengan Wan Sendari.  Hasil perkahwinan ini memperolehi 2 putera dan 2 puteri - Sang Manika, Sang Nila Utama, Puteri Sri Dewi dan Puteri Cendana Dewi - dilahirkan di Palembang.
Sikap penyalin menambah dan mengurangkan perkataan-perkataan dalam teks berlaku dengan ketara. Mungkin bertujuan untuk memperbaiki mutu bahasa penceritaan. Misalnya;
…gilang-gemilang seperti cahaya matahari dan bulan, dan amat bijaksana…
(W.G.Shellabear, 1977: 4)
…gilang-gemilang seperti cahaya matahari, dan terlalu amat bijaksana…
(R.O.Winstedt, 1938: 43)
Perubahan penceritaan juga berlaku kerana ‘sikap ego’ si penyalinnya. Ini dilihat dengan tindakan mereka seperti mengubah cerita peristiwa tertentu sehingga menampakkan unsur anakronisme dalam karyanya. Contohnya, peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang oleh Sultan Melaka.  Perbezaan yang jelas wujud tentang watak yang memerintahkan peminangan itu.
Maka Sultan Mansur Syah memberi titah pada segala orang besar-besar…bahawa kita hendak beristeri terlebih dari segala raja-raja dalam dunia ini…Maka titah baginda, Kita hendak meminang Puteri Gunung Ledang, Laksamana dan Sang Setialah kita titahkan.
                                                                                                           (R.O. Winstedt, 1938: 129)
Maka titah Sultan Mahmud, Jikalau beristeri sama anak raja-raja ini, adalah raja-raja lain pun demikian juga…Akan sekarang kita hendak meminang Puteri Gunung Ledang, Laksamana dan Sang Setia kita titahkan.
                                                                                                            (W.G. Shellabear, 1977: 215)
Sikap egostik penyalin menyebabkan berlakunya pertindihan masa bagi peristiwa yang sama.

2. Anjakan Paradigma Penyalin Terkemudian

Wujudnya banyak perbezaan antara penyalin terawal dengan penyalin terkemudian adalah disebabkan oleh hakikat perbezaan corak masyarakat, pemerintahan dan gaya hidup pada zaman masing-masing. Penyalin mungkin merasai banyak perkara dalam cerita asal atau terdahulu yang tidak bersesuaian dengan keadaan pada zamannya. Winstedt dan Shellabear jelas menampakkan perbezaan ini.
Winstedt menamatkan kisahnya pada tahun 1535 (R.O. Winstedt, 1938: 189). Manakala Shellabear pula pada tahun 1612. Ini menjelaskan bahawa versi Shellabear adalah lebih terkemudian. Shellabear cuba membina versi baru dengan mengubah penceritaan tentang peminangan Puteri Gunung Ledang. Kebanyakan versi termasuk versi Winstedt menyebut Sultan Mansor Syah melainkan Shellabear menyebut Sultan Mahmud Syah.
Tujuannya agar zaman Sultan Mahmud Syah juga akan masyhur sekiranya terdapat peristiwa luar biasa setanding dengan kemasyhuran zaman Sultan Mansor Syah.

3. Percanggahan Tafsiran

Hakikat semasa proses penyalinan, faktor masalah ‘salah tafsiran’ ataupun ‘salah bacaan’ oleh penyalin dan penterjemah sering timbul.
Ada di antara penulis naskah boleh menulis tetapi tidak dapat menilai kandungan naskah tersebut. Keadaan ini berlaku kerana penyalin tidak faham isi kandungan naskah asal. Tambahan naskah asal itu ditulis dalam bentuk tulisan jawi -  bukan semua penyalin arif membaca tulisan jawi.  Jika boleh membaca pun - mungkin tidak dapat menyebut ‘bunyi’nya dengan tepat tetapi terus menulis mengikut kefahaman mereka sendiri semata-mata.
Jelas sekali Winstedt membuat kesilapan terhadap beberapa perkataan jawi diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu tetapi ejaan jawinya masih dikekalkan.  Contohnya;
Gudarz Kuhan - ?
Onang Kiu       - ?
Dika                - ?
(R.O. Winstedt, 1938: 47, 50, 52)
Tindakan seperti ini berlaku bertujuan untuk menggelakkan pertafsiran yang salah.

4. Pengaruh Istana

Pada zaman masyarakat Melayu tradisional kegiatan menulis hanya tertumpu di istana. Golongan intelektual hanya terdiri daripada golongan istana tetapi tertakluk kepada perintah dan kehendak raja yang memerintah. Lihat seungkap kata dalam versi Winstedt menjelaskan keadaan ini;
Maka fakir karangkan hikayat ini Kama Sami ‘tu min jaddi w’abi, dan fakir himpunkan daripada segala riwayat orang tua-tua dahulu kala, supaya menyukai duli hadhrat baginda. (R.O. Winstedt, 1938: 42).
Hal ini akan memberi kesempatan kepada golongan pemerintah untuk mempengaruhi hasil penulisan agar memasukkan unsur yang boleh menaikkan martabatnya.

5. Sumber Penyalinan

Penyalin bebas memasukkan atau menambahkan bahagian-bahagian mana yang disukai dan difikirkan perlu. Sumber tulisan dan sumber lisan telah digunakan. Hal ini telah mengubah cerita sebenar. Misalnya sumber lisan walaupun hanyalah selitan kepada cerita sebenar. Begitulah juga penggunaan sumber tulisan telah menyebabkan unsur tokok-tambah tidak boleh dielakkan.
Misalnya, teks Sejarah Melayu yang asal hanya satu bentuk senarai raja-raja Melayu kerajaan Melaka daripada raja pertama hingga raja terakhir sekali. Ini dibuktikan dengan jumpaan naskah (Cod.Or.3199(3) Bahagian 4. Berdasarkan jumpaan ini penyalin memasukkan cerita-cerita, riwayat-riwayat dan isi-isi baru. Perubahan ini wujud dalam versi Maxwell No.105 yang tersimpan di Royal Asiatic Society, London. Naskah tersebut diperolehi oleh Maxwell daripada Raja Othman, Bendahara Perak.
Berdasarkan Versi Maxwell No.105, dimuatkan isi sejarah dan bukan sejarah bagi membentuk riwayat yang lebih terperinci. Perubahan juga dilakukan dalam versi Raffles M.S. 18 (diselenggarakan oleh R.O. Winstedt pada tahun 1935).
Tradisi menyalin juga dilakukan oleh penyalin dari Siak - memasukkan riwayat kekeluargaan Siak.  Kegiatan menyalin diteruskan tetapi penceritaan semua salinan (versi) adalah berakhir secara mendadak dengan peristiwa serangan Portugis terhadap Melaka pada tahun 1511. Versi yang lain diusahakan oleh Abdullah Munsyi, Situmorang, Teeuw dan Dato’ Madjoindo.
Jelas di sini bahawa dalam proses penyalinan naskah asal Sulalatus Salatin dengan bergantung kepada keupayaan si penyalin telah menyebabkan terhasilnya pelbagai versi Sejarah Melayu pada hari ini.

6. Mengikut Kehendak Penerbit

Dalam tahun 1908, pemerintah Belanda di Indonesia telah mendirikan Kantor Penterjemahan Kecil. Pada tahun 1920 ia diperluaskan lagi menjadi perusahaan penerbitan yang dinamakan Balai Pustaka. Balai Pustaka menjalankan dasar mengarahkan pegawainya sendiri membetulkan sebarang kesalahan yang dikesan dalam setiap naskah karya yang dijumpai. Akibatnya berlaku kelainan daripada versi yang asal dan ini merumitkan lagi proses menentukan naskah asalnya.

7. Mengagungkan bangsa sendiri

Naskah Sejarah Melayu disalin oleh penyalin yang terdiri daripada berbagai bangsa.  Oleh yang demikian, mengalami berbagai bentuk sisipan atas kecenderungan pengarang atau penyalin itu sendiri.
Dalam versi Blagden disisipkan kisah serangan Jambi terhadap Johor. Hakikatnya peristiwa itu tidak ada kena mengena langsung dengan cerita sebelumnya. Cerita ini digunakan oleh penyalin berbangsa Bugis di istana Riau-Lingga, iaitu Raja Ali Haji yang bertujuan untuk mengangkatkan martabat keturunan Bugis lima bersaudara. Begitu juga penyalin berketurunan Siak pula menambah episod tertentu dengan memasukkan riwayat kekeluargaan Siak bermula dari Raja Kecil.
Dalam proses penyalinan, timbul berbagai perubahan. Hal ini terjadi kerana penyalin mempunyai idea baru yang dijangkanya akan menarik minat pembaca. Penyalin juga mungkin kurang memahami bahasa atau pokok persoalan naskah asal. Mungkin juga tulisan teks asal itu tidak terang atau ketidaktelitian penyalin sendiri sehingga beberapa huruf hilang. Malah penyalin bebas menambah, mengurang, mengubah naskah asal menurut seleranya, disesuaikan dengan situasi dan kondisi zaman penyalin. Unsur-unsur lain seperti pengaruh pemerintah, pengkritik dan penerbit juga menjadi punca. Apa yang jelas ialah setiap naskah salinan itu dianggap sebagai tidak sempurna daripada naskah asal, sebaliknya melahirkan naskah yang berbeza versinya.


1 comment: